Bab 6

10K 609 54
                                    


            Aku memasuki ruang pejabat Everlast Design&Deco dengan semangat baru. Berjanji pada diri yang aku tidak akan mensia-siakan peluang yang ada ini untuk belajar sesuatu yang baru sekaligus cuba mendekati pemiliknya, Haris Raslan. Walaupun sudah 3 hari kejadian yang membawa aku ke sini berlalu, namun ia masih segar di ingatanku. Walaupun ia kejadian yang memalukan namun kerana peristiwa itulah aku berpeluang untuk bekerja dekat dengan jejaka idamanku. Benar kata orang setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Masih segar di ingatan bagaimana hari terakhirku di marketing department berlalu. Bagaimana aku mendapat balik maruahku yang tercalar dengan sedikit cenderahati yang aku tinggalkan buat Linda. Aku ingat lagi wajahnya setelah aku menjatuhkan bom yang membuatkan dia terkelu sehingga tidak mampu berkata apa-apa ketika itu.

"Apa awak nak?" Soalnya sinis saat aku berdiri di depannya.

"Cik Linda, kalau betul saya tak masukkan marketing plan tu dalam fail seperti yang Cik Linda cakap pagi tadi, saya minta maaf. Ni salinan pelan pemasaran yang baru. Saya dah edit dan buat pembaharuan. Saya dah tunjuk dan tinggalkan pelan asal pada Cik Sara. Cik Linda boleh gunakan kalau rasa sesuai." Ujarku cuba mengawal intonasi agar kekal formal. Walaupun aku tiada niat untuk berbaik dengannya, aku tetap perlukan penutup yang berpihak padaku. Aku tidak mahu menjadikan peristiwa memalukan pagi tadi sebagai komunikasi terakhir antara aku dan Linda. Aku ingin komunikasi terakhir kami memberikan aku gambaran bahawa maruahku sudah kembali ke tempat asalnya. Lama Linda memandangku sebelum akhirnya membuka dokumen itu. Dia kelihatan kagum selepas membelek beberapa helaian, namun tidak memberikan sebarang komen. Aku hanya tersenyum dalam hati melihat gelagatnya.

"Okay nanti saya tengok." Balasnya kemudian sambil menutup dan meletakkan fail itu di atas meja. "Tak ada apa-apa lagi kan?" Soalnya kemudian selepas melihat aku masih di situ.

"Oh sebenarnya ada." Jawabku yakin. Linda menjingkitkan keningnya, namun tidak mengatakan apa-apa. Dia hanya memandangku dengan pandangan tiada perasaan. Seolah tidak sabar mengakhiri perbualan kami itu. "Hari ni, hari terakhir saya kat sini. Jadi saya nak ucapkan terima kasih atas tunjuk ajar dari Cik Linda selama saya ditugaskan di sini." Ucapku memulakan mukadimah.

"Dah agak dah." Gumamnya sendiri namun cepat ditangkap oleh telingaku.

"Cik Linda cakap apa tadi?" Soalku sengaja buat-buat tidak dengar.

"Memandangkan awak ada hubungan 'istimewa' dengan HR Manager, saya memang dah agak dia akan tolong tukarkan awak ke jabatan lain. Tegur sikit, dah mengadu." Ujarnya sinis.

"Memang betul sangkaan Cik Linda." Ujarku tidak berdalih. "Cuma satu saya nak pesan. Cik Linda boleh lupakan hasrat untuk dekati Encik Richard." Tambahku dan melihat wajahnya berubah merah tiba-tiba.

"Kenapa pula saya nak dengar cakap awak?" Soalnya dengan nada marah yang cuba ditahan.

"Sebab Encik Richard yang Cik Linda tergila-gilakan tu, abang kandung saya." Jawabku membuatkan dia ternganga tidak percaya. "Jadi Cik Linda dah faham kenapa kan?" Soalku namun tidak menerima jawapan memandangkan dia sudah terpaku di tempat duduknya. Mungkin terlalu terkejut mendengar kenyataan itu. Dengan senyuman puas aku melangkah meninggalkannya.

"Awak memang betul-betul adik kandung Encik Richard?" Soal Sara yang rupanya mencuri dengar perbualan kami sebentar tadi. Aku tersenyum sambil mengangguk, mengiyakan. "Wow. Patutlah. Padan muka Linda." Komen Sara sambil tersengih sendiri. Mengingati saat itu masih mampu membuatkan aku tersenyum sendiri. Aku bersyukur kerana mengikut nasihat Haris. Meninggalkan jabatan itu secara bermaruah memang memberikan kepuasan tersendiri.

"Hai, awak Reia Ellana kan?" Tegur suatu suara membuatkan aku tersedar bahawa aku telah hanyut dalam khayalan sebentar tadi. Pantas aku mengangguk dan tersenyum pada wanita yang kukira berusia awal 30an itu. "Hai, saya Stephanie. PA Encik Haris. Bos bagitahu, awak akan lapor diri hari ini." Terangnya sambil tersenyum mesra.

Seseorang Seperti Dia ✔Where stories live. Discover now