Bab 22

9.3K 602 45
                                    

Aku mengeliat kemalasan, meraba-raba di sebelahku cuba mencari keberadaan Haris, namun tiada. Bahagian tempat tidurnya terasa sejuk, bermakna dia sudah lama bangun dari pembaringan. Pantas aku membuka mata. Terkejut melihat cahaya terang sudah mengisi penuh ruangan bilik. Sticky note yang dilekatkan di atas bantalnya cepat kugapai.

'I'm out for work, baby. Sorry tak kejutkan you. I know you're tired. New project has started. Might be extra busy. Apologies in advance in case I don't respond to your call or message. See you later. Love you.'

Aku tersenyum membaca nota itu. Begitulah kebiasaan Haris. Dia akan meninggalkan nota untukku andai tidak sempat berbicara dulu denganku sebelum ke kemana-mana. Dan ya, aku hargai itu. Nota itu aku kumpulkan di dalam laci meja kecil di tepi katil bersaiz king itu. Sudah banyak koleksi notanya aku tinggalkan di situ. Pasti seronok membacanya kembali suatu hari nanti.

Aku mengapai telefon bimbit. Terkejut melihat jam sudah merangkak ke angka 9.05 pagi. Sudah lama rasanya aku tidak bangun selewat ini. Mungkin juga kerana kepenatan. Hampir setiap malam kami menyulam cinta. Aku tidak membantah memandangkan Haris kelihatan agak tertekan kebelakangan ini. Katanya mengendalikan projek besar dari syarikat besar memerlukan komitmen yang lebih besar. Perlukan lebih kerja untuk memastikan semua aspek dapat dicapai dengan jayanya. Jadi jika itu boleh membuatkan dia melupakan sebentar tekanan yang dia rasa, aku rela. Sambil tersenyum, aku membalas notanya melalui WhatsApp.

Reia: Sorry, just woke up. 9.10a.m

Reia: Have a great day at work. 9.11a.m

Reia: Love you, sayang. 9.11a.m

Setelah bermalasan hampir setengah jam, barulah aku ke bilik air. Menyempurnakan rutin pagiku seperti biasa. Aku menduga Haris benar-benar sibuk apabila aku tidak menerima sebarang balasan darinya. Jika diikutkan, dia memang sudah mula sibuk di awal bulan ini. Terkadang pulang lewat demi projek baru mereka. Memandangkan aku pernah bekerja di syarikatnya dulu, jadi aku faham realitinya. Jika dia mengatakan dia sedang sibuk, itu bermakna dia benar-benar sibuk.

Demi menghilangkan rasa bosan, aku ke kebun bunga di depan rumah. Membuka paip air dan mula menyiram bunga-bunga indah itu. Terbuai seketika menyaksikan rama-rama dan serangga-serangga kecil penghisap madu bunga turut sama menghargai keindahan di taman bunga kecilku itu. Sekitar tengah hari barulah aku sibuk mencari makanan, membawanya ke ruang tamu untuk dinikmati di hadapan TV. Itulah antara rutinku kini setelah menjadi suri rumah sepenuh masa. Terkadang aku menyesal menuruti cadangan Haris agar tidak terus bekerja selepas tamat pengajianku enam bulan yang lepas. Katanya aku boleh mengambil peluang ini untuk berehat sepuas-puasnya sambil memikirkan apa yang benar-benar ingin kulakukan nanti. Memang bosan, namun menurut Haris, dia lebih suka begitu kerana masaku akan lebih fleksibel untuk bersamanya. Mungkin juga kerana sering menyuarakan kebosananku padanya menyebabkan dia sangat komited dengan misinya membuatkan aku hamil agar aku punya teman di rumah.

Sekitar pukul 5 petang aku mula memasak nasi dan memilih menu untuk ditempah sebagai makan malam kami nanti. Ya, aku memang sudah belajar memasak, namun kemahiranku masih belum cukup membanggakan untuk membahagiakan perut suamiku. Dan ya, aku masih dilarang untuk memasak ketika berseorangan di rumah. Terlalu berisiko katanya. Aku tidak mampu membantah kerana hampir semua mereka yang mengetahui tahap kemahiranku di dapur turut menyokong cadangannya itu.

Aku masih ingat bagaimana aku merajuk kepada Mama, Papa, Rich dan Hana dulu gara-gara sepakat dengan Haris untuk membantutkan usahaku menjadi tukang masak professional di rumah. Bahkan Ibu dan Baba yang pada mulanya menyebelahiku juga menyatakan persetujuan untuk berpindah pihak setelah melihat hasil kerjaku di dapur. Hampir sejam aku tidak bercakap dengan Haris gara-gara peristiwa itu. Mujur kemahiran memujuknya sangat luar biasa, jadi aku dengan mudah memaafkan bukan sahaja dia bahkan seluruh ahli keluargaku yang turut terlibat menyebabkan aku kekal sebagai tukang masak pembantu sehingga ke hari ini. Sekitar pukul 7 petang, semuanya sudah pun terhidang, namun kelibat Haris masih belum juga kelihatan. Aku mengapai telefonku dan melihat pesanan darinya.

Seseorang Seperti Dia ✔Where stories live. Discover now