Bab 20

20 5 0
                                    

"MAMA," Raffa separuh berbisik.

"Raf ada kelas ke hari ni?" tanya Puan Adelia dengan suara yang ceria.

Kedengaran suara Puan Adelia di hujung talian sebaik Raffa menjawab panggilan itu. Mengeratkan pegangan pada telefon pintarnya. Entah kenapa agaknya mamanya itu boleh menelefonnya pada hari ini.

Selalunya mamanya itu sibuk saja memanjang.

"Hmm," Raffa jawab perlahan.

Dia meletakkan pen berdakwat hitam di atas kertas sambil diperhatikan Qistina. Perbincangan mereka terganggu sejenak.

Dia mengerling Qistina sekilas. Rahangnya itu bergerak. Dia memusing badannya ke sebelah kiri sambil berdeham sejenak. Menyandar sebelah tangannya ke atas kerusi. Gayanya itu seperti tidak mahu langsung Qistina mendengar perbualan mereka.

Qistina yang duduk menghadap Raffa malas hendak mengganggu perbualan itu, dia buat-buat khusyuk seraya meneruskan kerjanya yang tergendala.

"Mama minta maaf call Raf time macam ni. Raf tengah sibuk ya?" Puan Adelia serba salah.

Raffa diam sejenak.

"Qis ada ke dekat situ?" Puan Adelia tiba-tiba bertanya.

Raffa sama sekali tidak menyangka dengan pertanyaan mamanya itu. Nampak sangat yang mamanya itu sudah menyukai Qistina. Tidak pasal-pasal...

Dia memerhati gelagat Qistina dengan ekor mata. "Hmm... Ada."

"Selalu ke kau orang studi berdua? Nanti kenalkanlah mama lagi dengan bakal menantu mama tu ya." Puan Adelia bernada mengusik pun ada, tertawa halus di hujung talian.

Raffa menggeleng perlahan. Sudah mulalah mamanya. Kalau bab begitu mamanya memang agak sporting.

"Mama nak apa?" Dia bertanya tanpa menjawab pertanyaan yang mamanya itu ajukan.

Dia rasa tak selesa... mamanya pasti salah faham. Memikirkan yang dia ada hubungan istimewa dengan Qistina. Jika tidak, mamanya tak mungkin bertanya lebih-lebih. Nak-nak, Qistina ada bersamanya ketika ini.

"Mama ingat nak ajak Raf keluar petang ni. Mama datang rumah lepas tu terus ambil Raf. Hmm, sayang? Mama rindu sangat dengan anak mama ni." Luah Puan Adelia.

"Bagilah mama peluang kali ni aje, Raf."

Berharap sangat yang mood anaknya itu okey. Lambat-laun terpujuklah hati Raffa supaya menerimanya kembali seperti dulu. Terdengar bunyi hembusan nafas di hujung talian.

"Ajak ajelah Kak Tasha. Raf takde masa hari ni." Ucap Raffa malas.

Qistina yang sejak tadi memasang telinga, terus angkat mukanya. Dia memandang raut Raffa yang agak tegang. Ada sesuatu yang sedang bermain dalam fikirannya ketika ini. Sedikit-sebanyak dia boleh menangkap apa maksud di sebalik kata-kata Raffa.

"Raf..." Puan Adelia cuba bersuara.

"Nanti-nanti ajelah. Raf call mama balik." Raffa lekas memintas.

Dia terus mematikan talian. Tiada lagi kedengaran suara mamanya itu. Tanpa sebarang reaksi, Raffa mencampak telefon pintarnya itu ke meja.

Mukanya itu berserabut.

Sebaik mamanya itu menelefonnya, dia tiba-tiba saja teringatkan Dato' Izham. Mungkinkah mamanya benar-benar serius dengan Dato' Izham... lelaki berpengaruh itu? Masing-masing mula rapat sejak perpisahan di antara kedua-dua orang tuanya.

Bermakna... boleh dikatakan masih baru lagi. Tak sampai setahun, mamanya itu sudah mendapat pengganti papanya.

Raffa beriak sinis. Mengepal penumbuknya. Dia berdendam dengan Dato' Izham. Punca mamanya boleh berpisah dengan papanya.

BAD CAMPUS LOVE STORYWhere stories live. Discover now