LELAKI berbaju serba hitam itu berdiri menyandar di keretanya sambil menyilang kaki dengan rokok di celah jari-jemari.
Bibir terlukis senyuman sinis.
Dia tajam memerhati perlakuan beberapa orang kepercayaannya yang sibuk membelasah seseorang sehingga hampir pengsan. Cecair merah pekat menyembur keluar daripada mulut bekas orang suruhannya itu akibat perutnya disepak terajang tanpa henti. Lelaki itu akhirnya rebah ke tanah. Tak mampu lagi hendak melawan. Apatah lagi bergerak walaupun hanya sejengkal cuma. Seluruh tubuhnya lemah tak berdaya.
Mereka masih tercegat sambil memeluk tubuh di sekelilingnya tanpa langsung berganjak. Kawasan kilang di situ begitu sunyi dan sepi. Kegiatan mereka langsung tiada sesiapa pun yang menyedarinya. Boleh dikatakan selamat. Mereka hanya menanti setiap patah kata yang keluar sebagai arahan. Arahan yang tidak harus dibuat main-main oleh mereka.
Semuanya telah diupah untuk menyiasat latar belakang sang pembelot itu. Yang selama ini dia selidiki selama berminggu lamanya itu, secara terang-terangan telah mengkhianati kepercayaan yang selama ini dia berikan.
Mujurlah dia mendapat tahu perihal itu terlebih dulu. Sebelum segalanya terlambat.
"Bos, nak kasi setel terus ke?" soal salah seorang di antara mereka.
Dia tak terus menjawab. Menghela nafasnya dengan pandangan terpaku lama kepada lelaki yang teruk dibelasah di depannya.
Rokok di celah jarinya itu disedut dalam-dalam, lalu menghembusnya ke udara. Mata terpejam sejenak seakan memikirkan sesuatu. Rokok itu dia campakkan ke tanah. Memijak ia dengan kasut hitam berkilatnya dengan riak muka biasa.
Namun, masih lagi ketara raut bengisnya.
Dia terlalu marah. Sehinggakan sukar nak diungkap dengan kata-kata. Tergamak bekas orang suruhannya itu mengkhianatinya.
Dia sukar mahu menerima hakikat itu. Pantang baginya apabila ada seseorang yang sengaja menipunya. Benda lain mungkin boleh dia pertimbangkan lagi. Menipu bukanlah mainannya. Tapi, maruah baginya.
Sebelah tangannya menyeluk poket jean. Langkahnya itu kemas, tidak terlalu laju atau pun terlalu perlahan. Auranya cukup dirasai oleh mereka yang ada bersama. Menggerunkan walaupun usianya jauh berbeza dan cukup muda.
Selangkah demi selangkah dia mendekati sambil diperhati oleh mereka. Sebaik kian mendekati, perlahan-lahan dia duduk mencangkung seraya menghadap bekas orang suruhannya itu. Seluruh muka yang habis lebam-lebam itu dia pandang dengan raut cukup sinis. Dia melipat kedua-dua hujung lengan kemeja berwarna hitam sehingga ke paras lengan tanpa sedikit pun pandangannya itu berganjak.
Bekas orang suruhannya itu cuma menunduk. Menghembus nafasnya berat. Mukanya itu pucat lesi.
"Syahir..." Dia menyebut nama itu senafas, lalu menarik rambut Syahir. Mencengkamnya kasar sehingga kepala Syahir terdorong ke belakang.
Syahir menyeringai kesakitan.
"Tolong, jangan apa-apakan aku... Aku menyesal." Syahir separuh merayu.
"Kenapa nak menyesal? Hmm? Bukan ke... Ini pilihan kau sendiri?" Dia menduga.
"Dasar penipu."
Cengkaman pada rambut Syahir semakin kuat. "Arghhh..." teriak Syahir.
"Tak... Mereka yang paksa aku. Orang-orang Dato' tu sendiri. Bukan aku yang nak belot!" Syahir menjawab berani.
Merah padam mukanya dengan nafas turun naik. Kesabarannya hilang entah ke mana. Buk!
Tumbukan padu hinggap ke muka itu menyebabkan kepala Syahir terteleng ke kanan. Tak cukup dengan itu, sekali lagi rambut Syahir dicengkam kuat.
Hujung bibir Syahir berdarah. Dia mengesat kesan darah dengan belakang tangan, lalu tertawa kecil. Membiarkan kolar bajunya direntap.
YOU ARE READING
BAD CAMPUS LOVE STORY
RomanceA Wattpad Story ˚ ༘♡ ⋆。˚ "Perempuan yang tak reti nak berjalan dengan betul sampai langgar aku semalam, rupanya, satu group dengan aku." -RAFFA "Awak ni menakutkan." -QISTINA Raffa Fathurrahman... Nama Raffa begitu dikenali di fakulti. Agak popular...