QISTINA benar-benar kehairanan. Raffa langsung tak tegur dia semasa berada dalam kelas.
Dia senyum pun Raffa langsung tak membalas. Buat-buat tak nampak. Mungkin Raffa benar-benar sibuk agaknya?
"Raf," dia menegur sebaik ternampak kelibat Raffa lalu berhampiran mejanya itu.
Qistina menutup buku nota, lalu memandang belakang tubuh tegap itu. Dia menunggu sejak tadi kerana sepatutnya mereka perlu teruskan perbincangan berkaitan tugasan projek Prof. Rahmat seperti biasa.
Raffa menoleh sedikit. Masih tidak bersuara.
Benar-benar memelikkan hati Qistina.
"Raf? Awak tengah sibuk ke? Kalau tak dapat sambung discussion petang ni, kita sambung esok pagi ajelah." Ucap Qistina.
"Ikutkan saya tak kisah pun." Dia menyambung.
Raffa berpusing.
"Itu aje yang kau nak cakap? Baik tak payah kalau sekadar nak buang masa aku." Raffa membalas, mula bereaksi jengkel. Seolah-olah mahu tunjukkan yang dia tidak berminat langsung mahu meneruskan perbincangan subjek itu.
Qistina terkesima. Air mukanya berubah. Genggaman sebelah tangannya itu dikuatkan.
Kenapa pula? Hatinya tertanya-tanya.
"Raf... awak..." dia mencari ayat yang sesuai.
"Awak masih fikirkan tentang mama awak ke?" nada Qistina benar-benar mengambil berat.
Perlahan-lahan dia mendekati Raffa seraya memandang wajah itu.
Raffa sengaja tidak membalas pandangan Qistina. Mengepal penumbuknya. Nafasnya ditarik. Suara lembut itu sekali lagi cuba merentap ketenangannya.
"Jangan." Raffa ucap senafas, lalu memalingkan mukanya.
"Jangan cuba-cuba nak dekati aku. Aku tak suka."
Jelas di mata Qistina kini yang Raffa nampak benar-benar rimas. Dia mematungkan dirinya. Bagai terpaku.
"Apa kena dengan awak ni?" Qistina bertanya bersama kerutan di dahinya. Dia tidak faham apa sebenarnya yang berlaku.
Mengapa Raffa tiba-tiba berkelakuan aneh? Belum pernah pun Raffa bersikap begini melainkan sewaktu mula-mula dulu. Ketika itu mereka baru hendak saling mengenali.
"Apa masalah awak? Saya nak tahu. Saya tahu yang awak tengah ada masalah. Kalau tak, takkanlah awak berubah sampai macam ni. Awak tak bercakap langsung masa dalam kelas. Beritahu, Raf. Ini mesti pasal mama awak, kan?" gesanya.
"Atau... Ada masalah lain yang awak tak cerita?" Qistina beriak risau. Dia buat tidak peduli langsung dengan cara Raffa memandangnya ketika ini. Tidak mampu dia sorokkan lagi apa yang dirasai itu. Dia merisaukan Raffa. Salahkah dia rasa begini?
"Selama hari ni apa yang kau rasa? kau rasa okey dengan aku?" soal Raffa tiba-tiba.
Raffa membalas dengan tenungan tajam. "Kau sukakan aku ke?"
Qistina tergamam. "Raf..." dia cuba bersuara.
"Kenapa awak tanya macam tu?" soalnya seraya mengalih pandangan ke tempat lain. Dadanya tiba-tiba berdebar.
Raffa perasan, lalu tersenyum. Sinis.
"Gaya kau ambil berat dekat aku... Aku tahu yang kau sukakan aku." Raffa separuh berbisik.
Dia mengerling sekilas. Ketara yang Qistina bermuka kemerahan.
"Kenapa kau diam? Hmm?" duga Raffa.
Qistina mengeratkan kedua-dua genggamannya. "Saya cuma..." dia angkat muka.
"Salah ke saya tanya macam tu?"
"Aku betul-betul tak sangka..." Raffa berpusing ke depan semula. Kedua-dua tangannya menyeluk poket. Rahangnya itu bergerak.
Qistina tersentak.
"Ada sesuatu yang aku nak kau tahu. Buang jauh-jauh perasaan kau tu kalau betullah sangkaan aku ni. Aku tak pernah anggap kau lebih-lebih... Kenapa pula kau nak menyibuk pasal hal peribadi aku? Aku nak kau tolong aku dalam subjek prof. Itu aje.
"Aku benci bila ada perempuan yang ambil berat pasal aku termasuklah, kau. Aku rimas. Lagipun kau tu... Bukannya taste aku. Aku tak berminat langsung dengan perempuan macam kau. Kau sedar tak? Takde apa yang menarik pun tentang diri kau... Sejak mula-mula lagi aku kenal kau." Ucap Raffa tanpa memandang muka itu.
Pandangannya dihantar jauh ke depan. Rautnya sungguh beku.
Qistina terus-terusan terpaku. Tawa kecil meletus dari bibir Raffa. Raffa geleng perlahan. "Qis..."
"Aku mengaku yang aku cuma main-mainkan kau aje. Nak tengok kau macam mana. Rupanya kau pun sama aje. Macam perempuan lain yang aku kenal. Senang nak dapat. Bila dah puas... Aku buang mereka jauh-jauh. Seumpama petik jari aje. Ibarat sampah." Raffa berkata tanpa riak bersalah seraya memetik jarinya itu sambil diperhati Qistina.
"Kau dengan mereka... Tak ada bezanya."
Qistina terpanar. Dia memandang air muka sinis itu. Sudah cukup membuatnya terluka. Pedih! Raffa bukan saja menyedarkan dirinya... yang dia siapa? Raffa pula siapa? Bahkan menghina dan mencacinya pula. Memperlekehkan maruahnya. Harga dirinya. Menyamakan dia dengan perempuan murahan.
Apalah dosanya terhadap Raffa? Sampai tergamak Raffa kata dia begitu?
Bermakna... benarlah apa yang dia rasai sebelumnya. Mujurlah dia tidak berterus terang sejak awal perihal rahsia yang selama ini dipendamnya itu. Mustahil ada mana-mana lelaki yang sudi menerima kekurangannya. Kalaulah Raffa tahu sejak awal rahsianya, sudah lama Raffa bertindak membuangnya agaknya. Langsung tidak menegurnya. Hendak pandang muka pun tidak sudi.
Tetapi...
Mengapa dia seakan sukar hendak menerima kata-kata yang keluar dari mulut Raffa? Padahal dia seperti boleh mengagaknya sejak mula lagi. Yang tidak mungkin Raffa menyukainya.
Sepatutnya dia tidak perlu rasa apa-apa pun. Sepatutnya... dia kini lebih tenang. Tidak perlu lagi nak tertanya-tanya. Atas sebab kenapa Raffa terkadang melayaninya dengan begitu istimewa? Meskipun belum pernah... dia merasakan begini. Belum pernah... ada mana-mana lelaki yang membuatnya jadi seperti ini.
Matanya terpejam sesaat. Dia cuba untuk senyum... meskipun hatinya ketika ini sangat-sangat sakit. Agak lama dia mendiamkan diri.
"Ada lagi ke yang kau nak tahu?" sengaja Raffa berkata. Dia angkat keningnya. Memandang muka Qistina yang jelas terluka dengan kata-katanya. Dia berpuas hati.
Bibir Qistina sedikit bergetar.
"Kau..."
"Cukup, Raf." Qistina laju memotong percakapan itu. Mengepal erat penumbuknya.
"Terima kasih sebab sedarkan saya walaupun saya tak seperti apa yang awak tuduh. Masih sedar diri apa tujuan saya ada dekat sini. Dan, saya nak kita pun sama-sama sedar."
Raffa terpaku.
Masing-masing diam membisu.
Qistina akhirnya membuka mulut. "Ya, tak mungkin..."
"Takkan ada apa-apa pun yang istimewa antara awak dan saya." Suaranya itu perlahan. Namun, jelas kedengaran di deria telinga Raffa.
Tanpa memandang muka Raffa, Qistina mencapai beg galas bahunya itu dan berlalu pergi. Membiarkan pandangannya itu tiba-tiba dikaburi dengan air jernih.
YOU ARE READING
BAD CAMPUS LOVE STORY
Roman d'amourA Wattpad Story ˚ ༘♡ ⋆。˚ "Perempuan yang tak reti nak berjalan dengan betul sampai langgar aku semalam, rupanya, satu group dengan aku." -RAFFA "Awak ni menakutkan." -QISTINA Raffa Fathurrahman... Nama Raffa begitu dikenali di fakulti. Agak popular...