RENÉE
—reborn, born again.
l'histoire se répèteMinuman di dalam gelas yang sudah berpeluh di atas meja, hanya aku mainkan penyedut minumannya. Mata menelek sejenak ke arah jam dinding yang tergantung pada salah satu ruangan kafe bertemakan Jawa Tradisional ini. Sekadar hendak menyemak masa.
Irama gamelan dan bauan dari lilin aroma terapi meneroka ke segenap indera dengar dan bauku. Kafe ini tidak terlalu ramai manusia. Barangkali memandangkan sekarang masih lagi awal pagi.
Meskipun boleh dikata yang aku tidak berapa bersemangat hendak menemui klien baruku hari ini, aku tidak punya pilihan lain. Kata Henry, aku tidak dicutikan sebentar daripada menjadi seorang sharp-shooter disebabkan oleh insiden yang berlaku tempoh hari. Bahkan, bapaku sendiri memberikan aku skop tugas yang baharu.
Tempat aku akan diisi oleh Calipher dan aku... ditugaskan menjadi pengawal peribadi seorang klien baharu.
Aku menyandarkan badanku setelah tulang belakang aku terasa sedikit lenguh menampung bahagian atas badanku sejak tadi. Sementara menanti gerangan yang agak lewat berbanding waktu yang sudah ditetapkan oleh Henry untuk aku bertentang sepasang mata dengan si jejaka, aku mencapai Samsung Note edisi terbaru yang berada di dalam beg kecilku.
Peti masuk emel aku pilih dari senarai aplikasi dan tangan pantas sahaja mencari emel kiriman orang suruhan Henry malam tadi. PDF yang tersemat sama di dalam emel itu, aku buka.
Mataku meliar dari barisan pertama dalam dokumen berkenaan. Ini bukan kali pertama aku menelaah dokumen ini. Ini kali kedua setelah fail ini hanya aku baca sekilas dua sahaja pagi buta semalam.
Nama klien aku baca. Hardi Pradana Indurasmi. Seorang pewaris tunggal kepada pengarah syarikat milikan keluarga di Bandung, Indonesia. Lelaki itu adalah anak tunggal kepada Hardi Arthadewa, seorang pengarah toko pembinaan dan rekaan dalaman yang terkenal di Bandung.
Sejarah pendidikan dan pengalaman pekerjaan lelaki yang terkenal dengan panggilan Hardi yang bermakna tinggi itu, aku baca lebih teliti kali ini. Sekadar hendak memuatkan beberapa maklumat penting di dalam kepala kalau-kalau Hardi bertanya nanti. Manalah tahu kan?
Lagipun, bukannya aku faham sangat memandangkan seluruh dokumen ini berbahasa seberang.
"Excuse me?" Kepalaku terangkat dari merenung skrin telefon. Wajah seorang jejaka berkumis nipis bersama sebelah tangan melambai tanda mendamba perhatianku, menyapa citra penglihatanku. "Miss Reine?"
Aku tidak terus menjawab. Sempat anak mataku menjeling ke arah gambar bersaiz passport yang terkepil sama di dalam dokumen ini, lalu beralih pula ke arah si jejaka yang kini merenungku bersama senyuman manis.
Sama.
Aku menegakkan duduk seraya telefon bimbit aku tidurkan dan masukkan semula ke dalam beg di sisi. Aku bangkit, mempelawa Hardi untuk duduk di hadapanku.
"Selamat pagi mbak. Maaf ya aku telat. Ada gawat tadi di kantor." Hardi menyapa aku sebaik punggungnya terhenyak pada kerusi rotan beralaskan kusyen di hadapanku. Aku hanya mengangguk.Meraikan penjelasannya walaupun hakikatnya, dia tidak perlu menjelaskan apa-apapun."Tidak mengapa. Saya faham." Aku membalasnya sepatah. Suasana sepi sesaat sebelum seorang pelayan menghampiri meja kami. Mungkin baru menyedari akan kehadiran pelanggan baru mereka hari ini.
Sementara pesanan Hardi diambil oleh seorang gadis berkebaya Jawa, aku sempat menelek citra wajah dan penampilan jejaka berketurunan seberang ini. Rambutnya hitam pekat dan sedikit panjang, Dapat aku lihat sebahagian rambutnya yang didandan, berkilat barangkali memberitahu aku bahawa lelaki ini sangat mementingkan kekemasan mahkotanya.
Orang kata, rambut aset bagi lelaki kan?
Anak mata aku jatuh pada dahi licinnya yang tidak terlalu luas. Sebagaian rambut terjuntai menutupi dahinya hingga ke kening yang terbentuk elok. Di bawah payung keningnya, bulu mata Hardi sedikit lentik pada perkiraan aku. Entahkan rawatan penjagaan entahkan genetik. Dari sisi wajahnya yang sedang berbicara dengan pelayan, aku tertarik pada ukiran tulang pipinya yang agak prominen hinggalah ke rahangnya yang sedikit tajam. Hidungnya pula mancung.