RENÉE
—reborn, born again.
l'histoire se répèteSelendang batik, aku kemaskan. Pandangan diliarkan ke segenap cakupan indera lihat yang terbentang di hadapanku. Dalam kebisuan bibir, aku sempat mengagumi keriuhan suasana jeti meskipun pada aku sekarang masih awal. Fajar baru sahaja menyapa dunia beberapa ketika lalu sewaktu aku menjamah hidangan Nadim di dek atas tadi.
"Mari." Randi—Nadim Rajuna menghulurkan tangannya kepada aku. Barangkali, dia berharap aku akan menyahut bantuannya untuk aku maju ke hadapan. Bersama riak biasa, aku hanya menunduk beberapa darjah sebagai jawapan. Langkah aku tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan menuruni kayu yang menjadi titi antara jong empunya Randi, dan jeti pelabuhan.
Sayup-sayup, aku mendengar tawa kecil lelaki berkumis itu. Namun, aku langsung tidak berpaling.
Disebabkan kerasnya dalam menolak setiap suaan yang dia beri kepada aku, dia melajukan langkah untuk berjalan di sampingku. Langkah aku mati sebaik kaki berpijak pada jeti.
"Mbak Endang... endi?" Aku bertanya kepadanya bersama nada yang dikeraskan.
Senyuman yang terlakar pada bibir berkumis tipis kepunyaan Nadim Rajuna langsung tidak pudar. "Mbak Endang... tugasnya cuma di atas kapal. Dia pembantu tetamu di kapal. Di luar, kamu... di bawah tanggungjawabku. Kamu tamuku, Delima."
Aku mendecit. Tanpa membalas, aku menyambung langkah yang teracun mati sebentar tadi. "Kau mau bawa aku ke mana di tanah Malaya ini, Nadim?" Soalan pokok yang tidak jadi aku tanyakan di atas kapal tadi, aku ajukan kini. Nadim masih berada di sisiku. Sesekali, lenganku yang hanya ditutupi dengan selendang batik ini hampir bersentuhan dengan lengannya.
"Aku juga tidak tahu—" Bicaranya jeda. Sama jeda dengan langkahku. Dalam kegamatan suasana orang berdagang hasil laut di atas jeti ini, aku berkerut merenungnya. Merenung senyumnya.
"Aku berpikir untuk membawa kau berjalan-jalan dahulu di sini sebelum kita dua melunaskan desakan kita masing-masing."
Mendengarkan ceritanya, aku jadi marah sendiri. "Kau tahu aku tidak berminat hendak berlama-lama di sini. Kalau bukan kerana apa yang kita bincangkan semalam, aku tidak akan pernah setuju menurut cowo ora waras koyo mu, kangmas." Aku membalas separa bertegas.
"Aku tahu tetapi... bertemanlah dengan musuhmu sebelum musuhmu hendak kau tumbangkan. Kau pernah dengar itu?" Nadim terus menonong berjalan ke arah hadapan tanpa langsung menantiku. Aku terkesima sementara anak mataku menjadi pengikat langkahnya yang semakin menjauhi aku."Opo maksudmu kuwi?" soal aku dalam orakan langkah mengejar bukaan kakinya yang luas-luas. Nadim melebarkan senyum sementara dia menunduk sekali-sekala. Menyapa orang-orang yang menegurnya.
"Aku tahu kau membenciku. Kau berharap agar sanggul yang kau benamkan dalam dadaku kelmarin bisa melumpuhkan aku. Aku tahu itu..."
Kami berjalan beriringan. Sesekali, aku memulangkan senyuman yang aku terima dari orang-orang yang berpapasan dengan Nadim Rajuna. Melihat betapa ramai orang yang menunduk hormat kepadanya, aku kira ini bukan kali pertama Nadim Rajuna berlabuh di sini.
"Aku juga tidak ingin bermusuh denganmu, Delima. Namun... andailah dengan namaku diselimutkan oleh kebencianmu, aku iso mendapat perhatianmu, dengan suka hati... aku rapopo."
Aku mengolengkan mata ke arahnya saat dia cuba membujuk aku dengan kata pujangganya. Lelaki, apa lagi yang harapkan kalau bukan bicara yang tersirat seribu makna dan dusta? Hanya Raden Pruwadi Wiryawan sahaja yang berbeza pada mata aku.
"Teruskan bermimpi." Aku melajukan langkahku. Nadim hanya ketawa kecil di belakangku. Enggan menghiraukan perjaka itu, aku berjalan dengan derapan yang agak deras. Dalam beberapa edtik, aku sudah memasuki kawasan yang kuagak sebagai pasar pagi di sini.