RENÉE
—reborn, born again.
l'histoire se répèteCitra aku di hadapan cermin ruang bilik persendirian dalam kedai ini, aku pandang lama. Anak mata merenung tajam ke arah figura sendiri. Sungguh, menyaksikan diri sendiri bukan berhiaskan ukel konde, cucuk sanggul jawa... Bahkan busana juga sudah ditukarkan kepada kebaya Melayu yang lebih tertutup berbanding pakaian biasa aku.
Aku nampak sangat berbeza. Aku terlihat bagaikan... anak gadis Melayu asli. Hilang terus gambaran darah Jawa yang mengalir dalam pembuluh darah aku.
Aku menampalkan senyuman palsu di bibir. Kalau diikurkan hati, mahu sahaja aku memasang wajah dingin sepanjang masa sejak aku menapak di jeti tadi. Namun begitu, tidak adil untuk aku memperlakukan semua orang di sini sebagaimana seharusnya aku perlakukan kepada Nadim Rajuna. Susuk yang bersalah dan menjadi punca amarah dalam dada aku adalah jiwa. Orang-orang di tanah ini tidak bersalah.
Ketukan sekali di pintu mematikan terus lamunan aku. Mengemaskan songket yang terletak pada bahu aku merentangi ke pinggang, aku melangkah. Sesekali, gelang di tanganku saling bergeletak sesama sendiri menghasilkan bunyi. Apatah lagi saat aku memulas tombol pintu kayu di hadapanku.
Sebaik sahaja pintu terkuak ke dalam, wajah Cempaka menghiasi pandangan aku. Dia tersenyum manis ke arah aku seraya mengisyaratkan agar aku keluar bersamanya. Barangkali, Nadim sedang menantiku di luar.
Sebelum kami membuka langkah, Cempaka sempat mengemaskan cucuk sanggul di kepalaku. Dia juga membetulkan dokoh yang terjuntai di dadaku. Keikhlasan dapat aku garap dari biasan pandangannya.
Kami berjalan keluar dengan langkah tertib. Manakan tidak, kain masing-masing bukaannya kecil. Tidak seperti batik Jawa yang sering aku pakaikan dengan gaya berkemban seperti selalunya. Agaknya ini sebab mengapa dalam buku-buku yang aku baca, anak gadis Tanah Malaya semuanya tampak ayu dan anggun belaka.
"Delima-"Aku mengangkat kepala saat panggilan dari Nadim memecah kesunyian dan mengambil alih gelumat pemikiranku.
Aku tidak tersenyum. Hanya mengamati pemakaian Nadim Rajuna dari atas ke bawah. Seperti yang aku jangka, dia juga merubah pemaiakannya. Dari busana Jawa, kini dia berbaju melayu siap dengan tengkolok di kepala. Kujang tidak ada bersamanya tetapi ianya berganti dengan keris yang tersisip pada bahagian atas sampingnya.
Aku pernah melihat citra yang sama di dalam jongnya. Semasa aku hendak ke dek atas. Foto Nadim yang tergantung pada dinding kayu waktu itu gayanya sama dengan pemakaian Nadim saat ini. Hanya warnanya sahaja yang berbeza.
Nadim, benar-benar tampak berkarisma dengan pakaian asli jejaka keturunannya. Melayu-Sunda.
Belum sempat aku hendak membuka mulut, Nadim sudah mencapai tanganku lalu menarik aku keluar dari kedai Cempaka dan suaminya. Aku menjadi kalut. Langsung tidak sempat hendak berpamitan secara tertib dengan mereka berdua.
"Kau mahu bawa aku ke mana?!" Aku bertanya dalam langkah kalut yang sengaja diberatkan supaya Nadim sukar hendak membawa aku pergi. Nadaku sedikit tinggi. Kaget.
"Segala yang engkau ambil, termasuk gelang tangan yang engkau rosakkan sudah aku bayar. Kita tiada masa hendak berlama-lama. Apa tidak kau lihat langit sudah semakin mendung?" balasnya.
Aku perasan Nadim sedikit tegang. Dalam kata-katanya jua, dia seakan membentak aku kerana aku memberatkan langkahku sekaligus menyukarkan pergerakan kami. Sesekali anak matanya meliar ke sana ke mari.
Mentafsirkan perilakunya, aku berkerut dahi.
"Kau ini sudah kenapa? Kalaupun kau mahu marah atas perilaku aku menolak pilihan gelang tangan itu, tidak ada perlunya kau berkasar sebegini." Aku cuba menarik tanganku dari terus berada dalam pegangan kejap seorang Randi.
![](https://img.wattpad.com/cover/354227935-288-k349576.jpg)