Deruan ombak yang memukul persisiran pantai menjadi penemanku pada saat ini. Laut yang luas memenuhi pandangan aku tenung dengan perasaan yang bercampur.
"Andainya hidup aku macam laut ini... yang tak tahu bila dan dimana penghujungnya," aku menghela satu keluhan berat.
Aku mengeluarkan telefon dari poket seluar lalu menangkap gambar matahari terbenam. Gambar dan suasana yang indah ini membuat aku tersenyum seketika.
"Tersenyum seorang diri ini mesti teringat buah hati," tegur seseorang.
Aku terus menoleh ke kiri. "Adik mana ada buah hati, lainlah kakak tu."
Baizura tertawa lucu sebelum melabuhkan punggung di sebelah. Bahuku dirangkul erat lalu turut sama membuang pandangan pada matahari terbenam.
"Rasa tenang jiwa bila tengok pemandangan macam ini. Suasana pun romantik. Kalau datang dengan pasangan mesti seronok," sempat Baizura berseloroh.
"Tak payah datang dengan pasangan pun dah seronok. Datang dengan kakak lagi bermakna," bidas aku.
Baizura tersenyum lebar sebelum pipi aku dicuitnya.
"Walau apa pun terjadi adik kena teruskan hidup. Jangan pernah mengalah," Baizura melontarkan kata-kata semangat.
Aku memandangnya kehairanan. Tiba-tiba sahaja?
"Kakak tahu emosi adik tak stabil kebelakangan ini sebab itu kakak nak adik kuat. Walaupun cuma adik yang sakit tapi kami semua yang ada di sekeliling turut rasa. Dugaan ini bukan untuk adik seorang je tapi untuk kami juga. Jadi, adik kena ingat yang adik tak pernah berseorangan," ujar Baizura sambil mengusap bahuku.
"Tak salah kita rasa mengalah, cuma jangan pernah berputus asa. Walaupun tanpa kami, adik akan sentiasa ada malaikat dan Allah bersama adik. Mana tahu lepas ini adik sihat dan muncul jodoh untuk adik," sempat Baizura selitkan gurauan yang penuh maksud.
Aku yang baru hendak rasa terharu terus menjulingkan mata ke atas. Di kala nyawa seperti dihujung tanduk begini tiada masa aku hendak fikir tentang jodoh. Memang fikir mati sahaja hampir setiap masa. Pening betul ada kakak yang susah serius ini.
"Jomlah balik, sudah nak masuk maghrib. Nanti nenek bising," ajakku seraya bangun.
Baizura menghulurkan kedua tangannya pada aku, minta ditarik bangun. Siapa yang sakit sekarang? Dia atau aku?
"Andai jodoh adik sudah sampai nanti, adik kahwin ya?" Sebaik sahaja berdiri itu yang keluar dari mulut Baizura.
Aku mengerutkan kening. "Kakak itu yang kena kahwin dulu. Kenapa suruh adik pula?"
"Ala, kakak cuma nak adik gembira hidup dengan pasangan adik. Bukannya kakak boleh temankan adik selalu macam ini," Baizura memeluk lenganku dari sisi seraya jalan beriringan.
"Tak kahwin pun boleh gembira, kak. Kahwin tak semestinya menjamin kebahagiaan. Ada banyak cara nak gembira dan hidup bahagia. Bukan melalui perkahwinan saja," aku membidas laju. Beria betul kakakku yang seorang ini hendak aku kahwin. Buang tabiat agaknya.
"Yalah, whatever you said but at the same i want you to reconsider about it. Please?" Rayu Baizura dengan nada manja.
Sampai sahaja di kereta, aku terus bersandar pada pintu sambil berpeluk tubuh. Wajah Baizura aku pandang.
"Kenapa kakak nak sangat adik kahwin? Kakak sendiri pun single. Adik tak nak kahwin sebab adik tak nak susahkan sesiapa. Cukuplah sekarang ini adik sudah susahkan atuk, nenek dengan kakak untuk jaga adik. Adik sudah bersedia nak mati," kataku tanpa nada.
"Sunat untuk kita sentiasa ingat tentang mati. Adik tak salah dan kakak faham situasi adik. Ini bukannya soal siapa susahkan siapa. Kakak minta adik pertimbangkan sebab kakak nak adik bagi peluang pada diri adik untuk rasa apa itu bahagia dengan rasa cinta," balas Baizura.
YOU ARE READING
[C] Bertemu Jodoh Kita
Romance[COMPLETE] Hidup Elnne Mahira jauh dari kata sempurna. Bukan sahaja sakit malah dibenci ibu bapa yang melahirkannya tetapi sebaliknya bagi Baizura, kakak kandung Elnne Mahira yang sangat menyayanginya. Namun semua keceriaan tidak kekal apabila kesih...