Kedinginan yang terasa sampai ke tulang membuat aku terjaga. Aku buka mata dan cahaya malap lampu menyapa pandangan. Aku lihat sekeliling, tempat ini tampak seperti hospital cuma agak usang. Kemudian aku nampak Luthfi yang sedang tidur di kerusi berdekatan pintu.
Aku bangkit dari pembaringan lalu turun dari katil. Perlahan-lahan aku membuka langkah agar tidak menganggu tidur jejaka itu.
"Hm? Awak sudah bangun?" Dalam pisat-pisat Luthfi menegur. Sempat dia menguap sebelum mata dibuka sepenuhnya.
Aku hanya mengangguk. Aku ingin meneruskan langkah yang terbantut tetapi dihalang Luthfi.
"Eh awak nak ke mana? Baru aje sedar, kan? Pergi rehat," ujarnya dengan nada sedikit tegas.
"Saya nak ke tandas. Awak nak bersihkan ke kalau saya membuang atas katil itu?" Balasku penuh sarkastik.
Luthfi tergamam sebelum membiarkan aku. Selamat sahaja masuk ke tandas, aku pun melepaskan hajat yang terpendam. Hampir sepuluh minit juga aku bertapa di dalam ini. Seusai mencuci tangan aku melangkah keluar.
Belum sempat aku menutup pintu tandas sepenuhnya, seorang kanak-kanak memeluk kakiku. Aku terus menoleh kerana terkejut.
"Khalilah?" Aku menyentuh bahu anak kecil itu.
"Ibu kata kak jura dah tak ada tapi ibu tipu! Kak jura ada sini, kak jura yang peluk adik malam tadi!" Teriak Khalilah dalam esaknya.
Ibu Khalilah iaitu ibu saudara Nadeera menghampiri aku.
"Maafkan makcik ya Mahira. Makcik sudah cakap dengan dia banyak kali tapi dia tak mahu dengar," ujarnya dengan nada penuh serba salah.
Aku hanya menghadiahkan senyuman pasrah. "Tak apa makcik, saya faham. Lagipun dia kecil lagi. Sukar untuk dia hadam perkara begini," balasku.
"Lilah rindu kakak. Kakak kata Lilah boleh peluk kakak banyak-banyak nanti," Khalilah mendongak memandang aku.
Aku tidak membalas. Tangannya yang memeluk kaki aku dilepaskan lalu aku berjalan dan duduk di atas katil.
"Sini," aku senyum sebelum mendepakan tangan. Khalilah terus berlari ke arah aku lalu tubuhku dipeluknya erat.
Luthfi yang dari tadi menjadi penonton setia juga tersenyum kecil melihat gelagat kanak-kanak perempuan yang satu ini.
Kepala Khalilah aku usap lembut. "Kaki Lilah sudah okey? Sakit lagi tak?"
Khalilah menggeleng. "Lepas kakak peluk kaki sudah sembuh," jawabnya.
Aku tertawa lucu. Pandai juga membodek dia. Selepas itu kami berbual hingga Khalilah tertidur di atas riba aku.
"Makcik bawa dia ke bilik dia ya? Terima kasih Mahira sebab sudi melayankan kerenah Lilah ini," ujar sang ibu seraya mendukung anaknya.
"Sama-sama makcik," balasku ringkas bersama senyuman kecil.
Hilang sahaja susuk dua beranak itu, Luthfi mendekati aku. Aku pula bersandar di kepala katil.
"Sudah lama ke awak kenal Khalilah itu? Kenapa dia panggil awak 'kak jura'?" Soal Luthfi.
"Saya tak kenal pun tapi arwah kakak pernah cerita pada saya tentang dia," jawabku.
Luthfi tidak membalas tetapi bersedia untuk mendengar bait kataku yang seterusnya.
"Sebelum Baizura jumpa dia, dia senyap sangat ibarat orang bisu. Jadi, Baizura gunakan peluang itu untuk dekat dengan dia. Well, you know how friendly she was. Mula-mula Khalilah takut tapi bila dia dapat rasa yang Baizura itu memang baik, dia perlahan-lahan buka hati. Dia dan Baizura sangat rapat. Baizura jugalah yang ajar dia bercakap dan membaca. Sebab itu dia terkesan bila Baizura tak datang jumpa dia lagi," panjang lebar aku bercerita.
YOU ARE READING
[C] Bertemu Jodoh Kita
Romance[COMPLETE] Hidup Elnne Mahira jauh dari kata sempurna. Bukan sahaja sakit malah dibenci ibu bapa yang melahirkannya tetapi sebaliknya bagi Baizura, kakak kandung Elnne Mahira yang sangat menyayanginya. Namun semua keceriaan tidak kekal apabila kesih...