PART 1

31 1 0
                                    

Ash, Ashaa dan Datin Dayana berjalan keluar ke pintu masjid. Kebanyakan orang sudah menyusul keluar sebaik sahaja doa dan zikir dialunkan selepas solat witir. Hari ini, malam kedua solat tarawih secara berjemaah di masjid.

"Sabar, tunggu oma cari sandal jap."

Datin Dayana menjenguk ke kiri dan kanan, mencari sandal miliknya. Setelah beberapa saat, dia menyarungkan sandalnya sebelum berjalan ke kereta bersama Ash dan Ashaa. Harap maklumlah, baru siap solat tarawih, selipar banyak jenis yang lebih kurang sama. Jadi kena tengok betul-betul.

"Mama, oma. Suara imam tadi sedap, kan? Syahdu sangat." Ashaa bersuara sambil matanya tertumpu pada sandal yang tersusun rapi mengikut sunnah. Kebiasaannya, akan ada orang yang baik hati menyusun selipar yang berterabur.

Memudahkan urusan orang. Bagus.

"Tulah, mama dengar tadi pun sedap. Tenang-tenang gitu." Ash membalas. Terukir senyuman nipis di bibir merah anaknya.

"Untung isteri dia ma. Husband suara sedap."

Wajah Ash cemberut. Untung? Isteri? Aihh, jauh sangat dah anak dara dia ni fikir.

"Dibuatnya imam tarawih tadi sudah beranak sepuluh? Takkan nak jadi isteri yang kedua pula?"

Ash menyakat. Datin Dayana hanya mendengar dengan senyuman di bibir. Gadis itu pantas menggelengkan kepala.

"Huishh, takpelah mama. Lainlah kalau dia tu belasan, tak pun awal 20-an and cukup syarat Ashaa."

Ashaa memandang ke arah pintu masuk  lelaki, kemudian beralih ke arah tempat parkir kereta. Mencari figura si bapa dan datuknya.

"Tu, papa ngan opa kat sana." Ashaa menunjukkan ke arah Arash dan Dato' Hakem yang baru keluar dari masjid. Segera mereka bertiga berjalan ke arahnya.

"Abang, sedaplah suara imam tarawih tadi. Khusyuk betul saya solat. Tak rasa pun lama." Datin Dayana menegur Dato' Hakem. Arash, Ash dan Ashaa hanya mendengar.

"Kan, abang rasa imam baru tu."

"Assalamualaikum dato'!"

Tiba-tiba seorang lelaki berusia lingkungan 40-an berjubah putih dan berkopiah menegur mereka. Bagi Dato' Hakem, suara itu tidak asing baginya termasuk Datin Dayana dan Arash.

"Waalaikumussalam, imam Hamzah!"

Dato' Hakem menjawab dan bersalaman, begitu juga Arash. Air muka imam Hamzah tenang saja.

"Masyaallah, lama tak jumpa Dato'. Sihat ke sekarang?" Tanya imam Hamzah ramah. Dato' Hakem dan Arash mengangguk perlahan.

"Alhamdulillah, sihat semua. Ni, menantu dan cucu saya." Dato' Hakem memperkenalkan Ash dan Ashaa. Imam Hamzah mengangguk.

"Ehh, ini Ashaa Rizz yang famous kat media sosial baru-baru ni kan. Model House of Armada tu. Lah, cucu Dato' ke."

Dato' Hakem dan Arash mengiyakan. Ashaa mencuit lengan Ash. Wajahnya agak merah. Fuhh, malu dia bukan biasa-biasa. Sampaikan level imam masjid pun kenal.

Ramah sangat berbual, sesekali mata Arash tertancap pada seorang remaja lelaki yang dia mengagak umurnya dalam belasan, wajahnya menunduk sedikit memandang tanah, sesekali meliar ke kanan dan kiri masjid, berdiri di belakang imam Hamzah. Wajahnya putih bersih dan tenang, tiada cacat. Mukanya ala orang Barat pun ada. Berjubah putih, berkopiah yang dililit serban berwarna putih kemas beserta kain rida' yang tersangkut elok di atas bahunya, membuatkan dia ingin tahu siapa insan tersebut bagi imam Hamzah.

"Err imam. Ni siapa ya?" Arash memberanikan diri bertanya. Dato' Hakem dan Imam Hamzah berpaling ke arah figura yang dimaksudkan oleh Arash, termasuk lah juga Ash, Ashaa dan Datin Dayana yang menjadi pendengar tak berbayar.

Lembaran buat Imam Tarawih Where stories live. Discover now