BAB 2

62 1 0
                                    

Kring! Kring!

Pengera pada telefon pintar berbunyi. Iman mencari telefon pintarnya dalam keadaan kedua-dua mata masih tertutup rapat. Setelah mendapatkan telefon pintar tersebut, dia mematikan pengera yang mengganggu lenanya itu. Perlahan-lahan, dia mencelikkan mata yang terasa sangat berat. Itulah padahnya apabila tidur lambat. Terpapar pada skrin telefon pintar, sekarang menunjukkan jam 5.30 pagi.

"Ya Allah, malasnya aku nak pergi kerja harini!" keluhnya.

"Andwae Iman! Kita harus kekal produktif, barulah berjaya dalam hidup," katanya memberi semangat kepada diri sendiri.

Tanpa membuang masa, Iman bergegas ke bilik mandi dan menunaikan solat subuh. Setelah siap memakai uniform kerja, dia bergerak ke hotel. Sepanjang perjalanan ke hotel, dia berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan beristigfar. Dia sering melakukan amalan ini setiap kali bergerak ke tempat kerja dengan harapan segala urusannya pada hari tersebut dipermudahkan. Lebih-lebih lagi, apabila dia berasa malas untuk membantu persiapan majlis yang dijalankan di hotel hari ini.

Setelah 30 minit memandu, Iman tiba di hotel dengan selamat. Dia menyapa staf-staf yang lain dan memulakan syif sebagai seorang staf front office di hotel itu. Rutin kerja berjalan seperti biasa. Dia menguruskan urusan check-out dan check-in guest. Hari ini, dia terpaksa bekerja lebih masa kerana majlis tersebut akan dilaksanakan pada waktu malam. Jadi, dia perlu menunggu sebentar selepas tamat syif hari ini. Iman sedang mengemas barang-barangnya sebelum semua staf yang terlibat dengan pengurusan majlis diminta untuk berkumpul bagi sesi penyampaian taklimat oleh Encik Haikal, pengurus besar di hotel ini. Majlis yang bakal dijalankan hari ini ialah majlis perjumpaan antara seorang penulis terkenal bersama-sama peminatnya. Setelah taklimat selesai disampaikan, mereka berpecah kepada beberapa kumpulan dan menjalankan tugas masing-masing.

Sewaktu menyiapkan susunan kerusi dan meja, Iman tertanya-tanya pasal gerangan penulis tersebut. Dia bertanya kepada Kak Ana yang sedang sibuk menyusun kerusi.

"Kak Ana, akak kenal ke dengan penulis tu? Encik Haikal kata dia terkenal. Apa nama dia? Mana tahu kalau Iman pernah terbaca buku dia ke?" Iman sememangnya gemar membaca hasil penulisan oleh penulis tanah air.

"Entahlah, akak tak minat baca buku ini. Tapi, Encik Haikal ada cakap yang nama penulis itu... A.H? Akak pun tak kenal dia siapa, tapi katanya dia seorang penulis misteri," terang Kak Ana. Dahi Iman berkerut.

"Kenapa misteri? Dia halimunan ke akak? Dan, kenapa nama dia A.H?" soalnya lagi.

"Isy, Iman ni! Ada ke patut kata dia itu halimunan. Dia misteri sebab dia tak pernah tunjukkan muka penuh dia walaupun kepada peminat-peminat dia. Pasal nama dia, akak pun tak tahu kenapa namanya macam itu," kata Kak Ana lagi. Iman mengangguk faham. Lalu, ada sesuatu yang terlintas dalam kepala.

"Iman rasa kan akak, Iman tahu maksud nama dia lah akak," katanya.

"Apa dia?" soal Kak Ana kebingungan.

"Nama dia kan A.H. Iman rasa dia mewakili...," jedanya menimbulkan rasa ingin tahu daripada Kak Ana.

"Mewakili AHAHAHAHAH!" kata Iman sambil ketawa besar.

Hilang terus riak yang menunjukkan rasa ingin tahu pada muka Kak Ana. Kini, wajahnya digantikan dengan riak geram dengan lawak hambar Iman itu.

"Dahlah, malas akak nak layan Iman. Jangan cakap dengan akak," rajuk Kak Ana.

Iman pula? Dia masih dengan tawanya. Entah apa yang kelakar pun tidak tahu.

Setelah siap dengan segala persediaan sebelum majlis, Iman menuju kembali ke kaunter resepsi hotel. Iman ingin pergi mengganggu Lina yang bekerja sebagai staf syif malam.

Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)Where stories live. Discover now