Setelah tiga bulan berada di rumah keluarga, akhirnya hari ini Iman bakal terbang ke Edinburgh. Banyak cabaran yang perlu tempuhi untuk memujuk ibu supaya setuju dengan pilihan hidup sendiri.
"Ibu izinkan kamu pergi. Tapi ibu warning awal-awal. Kalau ada masalah ke apa, jangan cari ibu dengan ayah sebab kamu sendiri yang pilih jalan ini." Suara ibu masih terngiang-ngiang di dalam kepala.
"Tak apa, ayah izinkan Iman pergi. Janji dengan ayah, jaga diri, jaga solat, dan jangan lupa keluarga dekat sini. Kalau ada masalah, pulanglah ke pangkuan keluarga. Kami akan sentiasa ada di sini untuk Iman. Jangan risau pasal ibu. Dia cuma risaukan keselamatan Iman saja, cuma cara dia tunjuk itu agak berlainan daripada orang lain. Iman jangan ambil hati ya, sayang?" pujuk ayah.
Setelah selesai segala urusan, Iman duduk di kerusi menunggu di dalam lapangan terbang itu. Sambil itu, dia mengambil beberapa keping gambar di sekitar lapangan terbang itu untuk mengurangkan rasa bosan. Tiba-tiba, kedengaran suara seseorang yang paling dia sayang.
"Acu! Rayyan datang ni!" jerit anak saudaranya sambil berlari ke arah Iman. Dengan kostum arnabnya.
"Ya Allah, tak panas ke pakai kostum tebal macam itu? Kita dekat Malaysia kot."
Rayyan berlari semakin laju ke arah Iman sambil tersenyum lebar memperlihatkan dua batang gigi yang persis seperti seekor arnab itu.
"Ya Allah! Jangan lari, sayang. Jatuh nanti!"
Tanpa menghiraukan pesanan maksunya, Rayyan terus berlari dan memeluk kaki Iman. Dari jauh, Iman melihat kelibat along bersama-sama suaminya berjalan mendekati. Iman bersalaman dengan kakaknya.
"Along dengan abang Man datang sendiri je ke? Ayah dengan ibu mana?" soal Iman.
"Ibu dengan ayah ada urusan penting, itu yang along datang dengan abang Man tu. Lagipun, along nak tengok adik along yang seorang ni untuk kali terakhir sebelum dia terbang ke negara orang," balas along. Emir pula sedang menjalani kem motivasi di sekolahnya untuk beberapa hari. Iman sedikit terkilan namun cepat-cepat dihalau perasaan itu daripada terus menjadi racun dalam hatiku.
"Acu, kenapa acu kena pergi Edi... Edin...apa tu?" soal Rayyan sedikit susah.
"Edinburgh, sayang. Acu pergi sana sebab kerja," balas Iman sambil mengusap lembut kepala Rayyan.
"Tapi, siapa nak main dengan Rayyan nanti? Rayyan tak ada kawan nak main sama-sama. Acu janganlah pergi. Temanlah Rayyan dekat sini," ujar Rayyan dengan air mata yang mula bertakung.
"Mama dengan papa kan ada? Rayyan kan boleh kawan dengan mama dan papa? Acu janji, nanti acu balik selalu untuk jumpa Rayyan, ya? Paklang pun ada untuk main dengan Rayyan. Dah, jangan menangis." Iman menyeka lembut air mata Rayyan.
"Tak nak! Paklang tak pandai main. Bosan," kutuk Rayyan. Iman terus peluk Rayyan apabila dia sudah mula menghamburkan tangisnya. Rayyan sememangnya rapat dengan maksunya kerana Emir jarang melayan kerenah Rayyan.
Makin berat hati untuk melepaskan mereka pergi namun Iman yakin bahawa keputusan yang diambil ini adalah yang terbaik. Pengumuman untuk masuk ke balai perlepasan sudah kedengaran. Dia bersalaman dengan kakaknya buat kali terakhir dan terus berjalan untuk masuk ke balai perlepasan. Dia risau hati akan terasa lebih berat untuk meninggalkan mereka. Suara Rayyan bergema di dalam lapangan terbang itu.
"Acu! Janganlah tinggalkan Rayyan! Rayyan nak ikut acu!" raung Rayyan dengan tangisannya yang semakin menggila. Along memeluk erat anak tunggalnya itu.
Tanpa menoleh ke belakang, Iman teruskan berjalan.
"Maafkan acu, sayang." Hanya ayat itu yang mampu disebutkan di dalam hati sambil menahan air mata daripada gugur.
Sebaik sahaja tiba di dalam balai perlepasan, ada sedikit masa lagi sebelum para penumpang dibenarkan menaiki kapal terbang menuju ke Edinburgh. Seperti biasa, Iman mengeluarkan kamera untuk mengambil beberapa keping gambar. Saat sedang leka melihat gambar-gambar yang diambil, dia ditegur oleh seorang wanita tua. Kelihatannya seperti pelancong.
"That's a very nice picture you have there," tegur wanita yang sedikit berumur itu.
"Thank you, ma'am. I appreciate that compliment," balas Iman dengan senyuman.
"Where are you heading to, dear? soal wanita itu.
"I'm heading to Edinburgh. I'll be working there. How about you?" Wanita itu hanya menganggukkan kepalanya.
"I'm heading to Edinburgh as well. Heading back home from a trip in Malaysia. What do you do in Edinburgh?"
"I'm a photographer. I will open my studio in Edinburgh in another few weeks."
Wanita itu kelihatan kagum sebelum membalas.
"Wow! That's impressive. Do you mind taking a picture of me and my husband, Richard? pinta wanita itu.
"Sure, I'll be glad to do so." Iman pun mula mengambil gambar mereka dengan penuh minat.
Setelah selesai mengambil gambar mereka, para penumpang sudah mula beratur untuk menaiki kapal terbang. Iman mengucapkan terima kasih kepada pasangan suami isteri itu sebelum beratur. Tanpa dia sedar, setiap perbualan diperhatikan oleh seseorang. Setelah pagar dibuka, dia terus menaiki kapal terbang tersebut.
Iman lebih suka terbang pada waktu malam kerana pemandangan bandar di bawah awan yang disinari dengan cahaya lampu yang berwarna-warni itu sentiasa menarik minatnya. Perjalanan sepanjang 16 jam itu terasa amat panjang sehinggakan sudah beberapa kali terjaga daripada tidur, namun dia masih berada di atas awan.
Tepat pada jam 9.20 pagi, Iman akhirnya mendarat di Lapangan Terbang Edinburgh selepas transit daripada Lapangan Terbang Heathrow. Seusai sampai di pintu utama, Iman menghubungi Linda untuk menjemputnya di lapangan terbang tersebut.
"Helo Linda, Kak Iman dah sampai ni. Boleh tolong datang ambil akak tak?"
Linda membalas di hujung talian, "Ya Kak Iman. Kejap ya, Linda pergi ambil sekarang. Akak tunggu kejap tau?" Iman membalas sebelum menamatkan talian.
"Okey, hati-hati bawa kereta tu."
Ya, Linda ialah seorang rakyat Malaysia yang berhijrah ke sini kerana mengikuti suaminya yang bekerja sebagai seorang pensyarah di Edinburgh.
Semasa menunggu ketibaan Linda, Iman duduk di atas bagasi sambil menolaknya ke depan dan ke belakang. Tiba-tiba, dia ditegur oleh seorang lelaki. Nampak seperti orang British, akan tetapi pertuturannya mengejutkan Iman.
"Hai, awak. Maaf mengganggu, tapi saya terdengar perbualan awak dengan seorang wanita tua dekat airport sebelum terbang ke sini. Awak ni photographer, ya?" soal lelaki itu. Iman terkebil-kebil melihat lelaki itu.
Dalam keadaan terpinga-pinga, dia menjawab pertanyaan lelaki itu.
"Err, betullah tu. Saya photographer. Baru je nak mula bisnes sendiri. Kenapa awak tanya?"
Soalan itu dijawab dengan sedikittakut-takut kerana dia tidak mengenali lelaki di hadapannya ini. Peka betultelinganya sehingga boleh mendengar perbualan antara Iman dan wanita tua dilapangan terbang sebelum itu.
YOU ARE READING
Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)
General FictionIman Liyana ialah seorang gadis sunyi yang suka memendam rasa bagi menjaga hubungannya dengan orang lain. Kebiasaannya itu telah memakan diri apabila dia disahkan mengalami penyakit Major Depressive Disorder (MDD). Setelah berjumpa dengan beberapa k...