Sudah tiga hari sejak pergaduhan antara Iman dengan Adrian. Tiga hari jugalah tiada khabar daripada Adrian. Iman pernah bertanyakan khabar Adrian kepada Aiman. Aiman memberitahu bahawa Adrian telah pulang ke tanah air pada dua hari yang lepas.
Hari ini, Iman hanya meneruskan rutin untuk menyunting gambar-gambar klien. Sejujurnya, dia mula berasa bosan dengan kerja ini. Dia merindukan tugas utamanya iaitu mengambil gambar klien. Dia rindu nak berinteraksi dengan klien. Namun, tangannya masih belum pulih sepenuhnya. Tangannya akan menggigil apabila kamera itu diangkat sedikit tinggi ketika mengambil gambar. Iman berasa bosan manakala Erica pula sangat gembira kerana akhirnya dia dapat menggunakan bakatnya dalam mengambil gambar klien.
Setelah siap menyunting, Iman memasukkan semua gambar ke dalam pemacu kilat USB untuk diserahkan kepada klien. Lalu, dia keluar dari pejabat menuju ke meja Linda. Selalunya, gambar-gambar ini akan dicuci dan dicetak sebelum dimasukkan ke dalam album gambar tetapi pasangan pengantin baru ini mahu gambar mereka untuk dihantar dalam bentuk digital.
"Linda, ini pendrive untuk Mr. Matthew. Semua dah siap, nanti Linda call dia untuk datang ambil, okey?"
Linda hanya mengangguk dan mengambil pemacu kilat USB itu. Setelah menyampaikan pesanan itu kepada Linda, dia kembali ke dalam pejabat untuk menyunting gambar-gambar klien yang lain pula. Dia berasa seperti perlu mencari beberapa orang staf lagi untuk menyunting gambar-gambar ini. Dia sudah seperti mayat hidup kerana menyunting gambar-gambar yang banyak ini seorang diri.
Dia duduk di kerusi lalu tangan mencapai tetikus namun pergerakkannya terhenti di situ. Satu detik. Dua detik. Tiga detik. Masih tiada pergerakkan untuk menyunting. Hanya renungan yang dalam diberikan kepada komputer. Otak terasa kosong. Tiba-tiba, telefon dia mengeluarkan bunyi menandakan ada pesanan teks yang baru masuk.
Iman mencapai telefon pintar yang diletakkan di atas meja lalu mesej itu dibuka dan dibaca. Mesej tersebut merupakan daripada pihak penerbit bagi buku-buku yang dikeluarkan dahulu.
"Assalamualaikum, Ilana! Jualan untuk buku awak naik bulan ini!"
Iman masih berdiam diri membaca mesej itu. Dia merenung nama yang digunakan oleh pihak penerbit. Nama penanya, Ilana. Gabungan nama Iman Liyana. Sudah lama dia tidak mendengar gelaran itu setelah habis belajar. Mungkin kerana sudah lama dia tidak mengeluarkan buku baru. Manuskrip yang terkini baru sahaja dihantar kepada pihak penerbit beberapa minggu yang lepas. Setelah itu, mesej baru dihantar oleh pihak penerbit.
"Akak nak tanya ini... Tahun ini, awak boleh ikut serta tak untuk jumpa dengan pembaca?
"Akak rasa dah tiba masanya untuk awak berjumpa dengan pembaca. Ramai yang tanya kami kalau-kalau awak ada nanti. Ramai yang nak jumpa awak, tahu?"
"Awak dah menulis dengan kami untuk dua tahun dah... Tapi, awak belum pernah berjumpa dengan pembaca. Awak dah habis belajar, kan? Apa kata awak ikut serta untuk tahun ini punya?"
Otak sedang giat memikirkan keputusan yang perlu diberikan kepada pihak penerbit. Memang benar kata-katanya, Iman sudah menjadi penulis selama dua tahun. Namun, dia masih tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan pembaca kerana mempunyai kekangan masa sewaktu belajar dan perlu menjalani latihan industri.
Setelah beberapa minit mesej itu direnung, Iman berfikir dan terus berfikir. Akhirnya, dia membuat keputusan. Mesej itu dibalas dengan menggunakan bahasa yang sopan.
"Waalaikumussalam, akak. InsyaAllah, Ilana akan sertai untuk event tahun ini. Ucapkan terima kasih pada seluruh team sebab bersusah payah untuk jual buku saya. Bilanya akan berlangsung event itu?"
Iman menghantar mesej itu kepadanya. Beberapa minit menunggu, masih tiada balasan daripada pihak sana. Kaki mula bergerak-gerak sambil jari-jemari diketuk-ketuk pada meja.
Ting!
Mesej yang diterima laju dibuka dan dibaca. Mata tekun membaca mesej yang panjang lebar itu.
"Minggu depan pada hari Sabtu. Tapi, kali ini tak ramai pun. Hanya ada beberapa orang penulis yang lain. Kuota untuk pembaca pun dibuka untuk seratus orang sahaja bagi setiap penulis. Mungkin kerana kurang staf kot untuk handle event tu nanti. Jadi, awak datang eh? Akak nak bagitahu team untuk sediakan semuanya."
Mesej dibalas lagi.
"Baik, akak. Jumpa nanti. Mungkin Ilana akan balik hujung minggu ini. Apa-apa nanti, Ilana telefon akak. Terima kasih, assalamualaikum."
"Orait, waalaikumussalam. Hati-hati nanti."
Telefon pintar ditutup lalu dia kembali memandang komputer di hadapannya. Dia membuat keputusan untuk ikut serta kerana dia juga ingin berjumpa dengan para pembaca. Lagipun, sudah lama dia tidak pulang ke Malaysia.
Jam sudah menunjukkan pukul empat petang.Iman mula mengemas barang-barang dan pulang. Dia pulang sedikit awal hari ini memandang banyak kerja yang sudah diselesaikan. Pelanggan-pelanggan juga tidak ramai pada hari ini, jadi dia memutuskan agar membenarkan semua staf untuk pulang sedikit awal. Lampu-lampu ditutup, pendingin hawa dimatikan lalu pintu utama dikunci sebelum kaki melangkah pulang ke rumah.
Petang keesokan harinya, Iman mengemas barang-barang yang bakal dibawa bersama-sama ke Malaysia. Studio ditutup untuk hari ini. Ada beberapa buah bagasi yang penuh dengan barang-barang peribadi manakala sebuah bagasi lagi dipenuhi dengan cenderamata yang bakal dihadiahkan kepada semua pembaca yang datang berjumpa dengannya nanti.
Selesai mengemas, Iman bersiap untuk pergi ke rumah Erica. Dia ingin melawat Alice dan Amy. Mereka berdua tinggal di rumah Erica buat sementara waktu. Erica dengan rela hati menawarkan tempat tinggal untuk dua beranak itu sehingga Alice sihat sepenuhnya dan mendapat kerja yang tetap.
Setibanya di rumah Erica, dia mengetuk pintu itu beberapa kali sehingga pintu akhirnya dibuka oleh Erica. Kedatangan dia ke rumah Erica sudah dimaklumkan terlebih dahulu agar tidak mengganggu masa mereka sekeluarga.
"Hi, Miss Iman. Come in. We're just about to have dinner. My mom cooked something for you, too. Don't worry, it's completely halal."
Iman tersenyum kepadanya lalu masuk ke dalam rumah itu. Kasut ditanggalkan sebelum masuk ke ruang tamu. Keluarga Erica sudah faham dengan amalannya untuk membuang kasut sebelum masuk ke dalam rumah kerana sudah beberapa kali dia datang ke rumah mereka untuk melawat Alice dan Amy. Malah, mereka pun sudah mengamalkan budaya membuka kasut ketika berada di dalam rumah untuk menjaga kebersihan.
Dia berjalan masuk ke ruang tamu lalu dirinya disapa beberapa orang anak kecil termasuk Amy. Mereka berlari ke arah Iman sambil ketawa girang sebelum memeluk kakinya. Iman tersenyum sebelum membongkok lalu memeluk mereka semua.
Anak-anak kecil itu merupakan adik beradik Erica serta Amy yang merupakan anak tunggal Alice. Mereka menjadi kawan bermain apabila Amy mula tinggal di rumah mereka. Rumah yang sudah riuh rendah dengan suara anak kecil itu menjadi lebih meriah dengan kehadiran Amy yang sangat ceria sifatnya.
YOU ARE READING
Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)
Tiểu Thuyết ChungIman Liyana ialah seorang gadis sunyi yang suka memendam rasa bagi menjaga hubungannya dengan orang lain. Kebiasaannya itu telah memakan diri apabila dia disahkan mengalami penyakit Major Depressive Disorder (MDD). Setelah berjumpa dengan beberapa k...