Para tetamu mula masuk ke dalam dewan di mana majlis persandingan Iman dan Adrian akan berlangsung. Ibu dan ayah beramah mesra dengan tetamu-tetamu yang hadir. Ahli keluarga Adrian juga turut sama menunggu di hadapan pintu masuk bagi menyambut tetamu.
Di bilik hotel, Iman sedang disolek oleh seorang MUA. Adrian sudah siap terlebih dahulu. Dia melabuhkan duduk di atas sofa sambil melihat Iman yang sedang disolek. Solekan pada muka Iman sangat natural namun mampu menaikkan seri mukanya.
Setelah siap segala-galanya, mereka berdua turun ke dewan. Mereka tiba di hadapan sebuah pintu yang tertutup rapat. Kedengaran suara DJ dari dalam dewan.
"Diminta abang kakak, adik-adik, ibu bapa semua untuk duduk di kerusi yang telah disediakan kerana kita bakal menerima kedatangan pengantin kita."
Semua tetamu duduk di kerusi masing-masing. Tetamu yang hadir tidak ramai jadi mereka mempunyai kerusi dengan nama masing-masing tertera di atas meja. Alunan lagu romantik menyapa gegendang telinga. Lengan disuakan kepada Iman dan Iman merangkul kemas lengan Adrian. Pintu dewan perlahan-lahan terbuka dan mereka berdua melangkah masuk ke dalam.
Sampai sahaja di penghujung, mereka berdua duduk di atas pelamin yang berwarna putih itu. Majlis persandingan mereka pun bermula. Mereka melayan tetamu dan mengambil gambar bersama-sama. Selepas makan, mereka menyambung kembali melayan tetamu-tetamu yang hadir.
Iman sedang sibuk berbual dengan rakan-rakannya sewaktu latihan industri di hotel dahulu. Kak Ana, Encik Haikal, Danial, Lee dan staf yang lain turut hadir ke majlis mereka. Kak Ana memeluk erat Iman yang datang ke meja makannya.
"Tahniah Iman! Ya Allah, tak sangka yang Iman dah jadi isteri orang. Alhamdulillah, semoga bahagia sehingga ke syurga. Kak Ana doakan Iman dan suami dapat anak-anak yang comel, soleh dan solehah." Kak Ana bersuara girang.
"Terima kasih Kak Ana... Semua orang... Iman rindu sangat dengan korang semua tau... Terima kasih sudi datang majlis Iman."
Sibuk berbual dengan rakan-rakannya, tiba-tiba lampu dewan menjadi sedikit malap. Rentak lagu mula dimainkan oleh juruacara. Suara Adrian kedengaran sangat merdu. Iman beralih untuk memandang suaminya itu. Setahu dia, tidak ada pula mereka berlatih untuk bahagian ini.
"Apa ku rasa... Tak pernah ku dengar... Hadir dirimu merubah semua... Dan tanpa ku sedari, kau mengajar diriku.... Membawa hidup erti baru..." Kedengaran suara Adrian mula bernyanyi.
Iman menekup mulutnya. Sebak dan terkejut. Apa yang sedang Adrian lakukan sekarang membuatkan dia terharu.
"Sesungguhnya aku... Telah jatuh pada dirimu. Sesungguhnya aku... Mencintai hanya dirimu... Kerna sesungguhnya, ku sedari kau lengkapi diriku... Sesungguhnya aku... Mencintai dirimu... Sesungguhnya..." Merdu suara Adrian bernyanyi di atas pentas. Kaki dibawa melangkah ke arah isterinya. Jari-jemari disatukan lalu dibawa isterinya itu ke atas pentas. Mata memandang tepat mata bundar Iman.
"Kaulah yang terbaik. Yang pernah diriku miliki... Kan kuberikan sepenuh jiwa.... Hanya untuk dirimu..."
Dahi disatukan dan tangan naik memeluk erat pinggang Iman. Badan bergerak perlahan-lahan ke kiri dan ke kanan. Adrian menamatkan nyanyiannya dengan barisan lirik terakhir.
"Sesungguhnya aku... Telah jatuh pada dirimu.... Sesungguhnya aku... Mencintai hanya dirimu... Kerna sesungguhnya ku sedari kau lengkapi diriku... Sesungguhnya aku... Mencintai dirimu... Sesungguhnya..."
Iman memeluk erat Adrian dan wajah dibenamkan ke dada Adrian. Air mata ditahan daripada jatuh menyembah lantai. Adrian melabuhkan ciuman ke ubun-ubun Iman. Air matanya sudah tidak dapat ditahan dan dia menangis sambil memeluk erat isterinya. Tuhan sahaja yang tahu betapa cintanya dia kepada Iman dan dia bersyukur kerana Tuhan menghadirkan gadis itu kepadanya. Kini, Iman Liyana ialah milik Adrian selama-lamanya.
Para tetamu menepuk tangan dan bersorak. Wajah Lina dan Aiman sudah dibasahi dengan air mata. Aiman menghulurkan tisu kepada Lina untuk mengelap air mata.
"Awak bila lagi nak kahwin dengan saya? Lambat betul. Tengok-tengok, abang awak dengan Iman yang kahwin dulu."
"Abang Adrian memang gelojoh..." Aiman membalas.
Geram dengan jawapan Aiman, kotak tisu yang dipegang terus dilemparkan ke muka Aiman. Aiman pun sama sahaja. Susah betul nak serius.
"Bencilah dengan awak ni! Orang serius ni... Dia main-main pula. Pergilah sana!" Selepas membebel, Lina terus berjalan meninggalkan Aiman yang terpinga-pinga.
"Apa salah aku? Hei, Lina. Sayang, tunggu!" Aiman terus mengejar langkah Lina yang berjalan laju ke meja pencuci mulut. Memang itu sahaja habuan yang bakal meredakan kemarahan Lina sekiranya dia merajuk. Belikan sahaja donut atau kek, emosi Lina bakal kembali seperti biasa.
Pada pukul 11 malam, majlis telah selesai. Iman baru sahaja membersihkan badan. Dia duduk di meja solek dan mula mengeringkan rambut dengan tuala putih. Mereka sekeluarga menginap di hotel itu kerana kepenatan untuk memandu pulang ke rumah.
Pintu bilik mandi terbuka dan Adrian keluar dengan rambutnya yang masih basah. Dia mengeringkan rambut dengan sehelai tuala kecil. Dia mengenakan seluar berwarna kelabu dan baju lengan pendek berwarna putih. Iman memandang lama suaminya itu. Tanpa sedar, senyuman terukir di bibir.
"Bukan main lagi dia tenung kita. Nak apa sayang?" Adrian berdiri di hadapan Iman lalu dicuit pipi mulus isterinya itu. Adrian perasan bahawa Iman menjadi lebih manja setelah menjadi isterinya namun dia tidak kisah.
"Tak nak apa pun. Saja tengok abang. Kacak nak mati suami sayang ni. Erk!" Iman membuat riak seperti ditikam dengan pedang. Dia berpura-pura pengsan. Terletus tawa Adrian. Ada sahaja kerenah Iman yang mencuit hatinya.
"Abang memang kacak pun. Sayang je yang susah nak nampak." Adrian memuji diri sendiri. Iman mencebik. Hidungnya dikembangkan dan mata dijulingkan ke atas.
"Masuk bakul angkat sendiri. Menyampah kita." Iman kembali melakukan aktiviti memakai serum mukanya.
Adrian berjalan ke arah katil dan merebah badannya. Badan terasa sengal dan pinggangnya sakit. Iman berjalan mendekati suaminya lalu dia berbaring di atas lengan Adrian. Tubuh Adrian dipeluk erat. Adrian menarik Iman supaya rapat dengannya lalu dipeluk tubuh kecil itu.
"Terima kasih abang sebab nyanyi lagu tadi. Sayang suka sangat-sangat."
"Anything for my queen." Adrian membalas.
Di dalam pelukan yang hangat, mereka berdua beransur ke alam mimpi yang indah. Mulai esok, mereka bakal menjalankan kehidupan sebagai suami isteri dan mereka yakin bakal ada halangan dan masalah. Namun, mereka berjanji untuk mengharunginya bersama-sama dan mempertahankan perkahwinan ini sehingga akhir hayat.
YOU ARE READING
Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)
Ficción GeneralIman Liyana ialah seorang gadis sunyi yang suka memendam rasa bagi menjaga hubungannya dengan orang lain. Kebiasaannya itu telah memakan diri apabila dia disahkan mengalami penyakit Major Depressive Disorder (MDD). Setelah berjumpa dengan beberapa k...