BAB 22

18 2 0
                                    

Iman bangun daripada baring lalu duduk bersila di atas katil. Mata yang masih tertutup digosok sambil sebelah tangan lagi menutup mulut yang sedang ternganga luas. Dia mencelikkan mata lalu dicapai telefon pintar. Sudah pukul enam lima setengah pagi. Dia bingkas bangun masuk ke dalam bilik mandi untuk membersihkan diri dan bersiap-siap untuk menunaikan solat Subuh. Terdapat perbezaan masa antara waktu solat Subuh di Malaysia dan di Edinburgh.

Setelah solat, dia membancuh kopi segera yang disediakan oleh pihak hotel lalu duduk di meja tulis. Dia mengeluarkan komputer riba daripada beg dan mula memainkan cerita kartun kegemarannya ketika kecil. Dihirup kopi segera yang masih panas itu sambil melayan cerita kartun itu. Walaupun sudah semakin berusia, namun dia suka menonton cerita-cerita yang sering dimainkan sewaktu kanak-kanak. Ia membuatkan Iman rasa tenang seperti anak kecil. Tamat sahaja cerita kartun itu, dia bersiap-siap untuk keluar. Dia perlu mengasuh Rayyan hari ini memandangkan ibu dan bapanya mahu meluangkan masa berdua.

Iman memilih untuk memakai kasut sukan supaya senang mahu mengejar Rayyan nanti. Anak kecil itu sangat-sangat aktif apabila dia berasa teruja. Jadi, Iman menjadikan ia sebagai langkah berjaga-jaga. Sediakan payung sebelum hujan. Selesai bersiap, dia turun ke lobi hotel dan menunggu keluarga kakaknya untuk tiba.

Dia duduk di sebuah sofa berwarna merah yang terletak di kawasan lobi hotel itu. Fon telinga dipakai lalu mendengar lagu sambil memerhatikan kawasan sekeliling.

"Acu! Rayyan dah sampai!"

Anak saudara kesayangannya sudah sampai. Rayyan melaung dari jauh sebelum melepaskan genggaman tangan mamanya dan berlari ke arah Iman. Rasanya, Rayyan boleh menjadi atlet berjaya di sekolah jika diasah bakat berlarinya.

Iman bersalaman dengan along seperti biasa. Rayyan sudah menarik-narik tangan maksunya untuk bergerak.

"Acu, jomlah pergi sekarang. Rayyan nak pergi jalan-jalan dengan acu."

"Kejap, Rayyan. Mall pun tak buka lagi. Kita pergi makan dulu, ya?"

Rayyan menunjukkan tanda okey dengan jarinya. Along dan suaminya beransur pergi.

"Jaga anak along elok-elok. Rayyan, jangan nakal-nakal. Mama suruh acu cubit nanti kalau nakal."

Along sempat memberi pesanan kepada Iman dan anaknya sebelum beredar. Hilang sahaja kelibat mereka berdua, Iman dan Rayyan pula bertolak ke sebuah restoran kecil di sebelah hotel.

Tiba di restoran itu, Iman memesan sekeping roti telur untuk Rayyan dan sekeping lagi untuk dirinya. Rayyan hanya memilih untuk minum air kosong yang dibawa di dalam beg kecilnya manakala Iman memesan secawan teh ais. Beberapa minit selepas itu, makanan dan minuman dihidangkan. Iman menyuap roti telur itu ke dalam mulut Rayyan. Sambil-sambil menyuap anak kecil itu makan, dia berbual-bual dengan Rayyan.

"Rayyan dekat sekolah macam mana? Seronok tak bila dah masuk sekolah?"

"Seronok! Rayyan dah ada kawan baik, tahu?"

Iman menyuap lagi roti telur ke dalam mulutnya sebelum bertanyakan soalan lagi.

"Oh, ya? Apa nama dia?" soal Iman lagi.

"Nama dia Mateen. Mateen sakit autisme. Macam cerita peguam Korea itu."

'Autism Spectrum Disorder'. Penyakit yang boleh dikatakan sangat jarang berlaku dan kesedaran mengenai penyakit ini dalam kalangan masyarakat masih lagi rendah.

Ada juga beberapa peakit ini mempunyai daya ingatan yang sangat kuat walaupun tidak memberikan respon yang baik jika nama mereka dipanggil. Mereka cenderung untuk ingat setiap kejadian yang berlaku di sekeliling mereka. Penyakit ini sangat jarang berlaku sehinggakan Iman hanya pernah melihat individu yang menghidapnya beberapa kali. Dia mempunyai perasaan ingin tahu yang sangat kuat apabila melihat mereka.

Rayyan menyambung lagi kata-katanya sambil dia sendiri yang menyuap makanan ke dalam mulut dengan tangan kecilnya.

"Mateen pandai. Rayyan suka baca buku cerita dengan dia masa rehat."

Rayyan menguyah roti telur itu lalu ditelan sebelum menyambung. Iman hanya memerhati gelagat anak kecil itu.

"Tapi, Mateen selalu kena buli dekat sekolah. Rayyan yang selalu tolong dia. Rayyan suka berkawan dengan Mateen."

"Bagusnya Rayyan. Kenapa Rayyan suka berkawan dengan Mateen?" soal Iman.

"Sebab Mateen baik. Dia selalu tolong Rayyan tulis karangan. Lepas itu, Mateen handsome sangat acu. Rambut dia style."

"Habis itu, Rayyan tak handsome ke?"

Rayyan menggelengkan kepala.

"Rayyan tak handsome tapi Rayyan comel. Hehehe."

Iman hanya tertawa sebelum menghabiskan makanan di atas pinggan. Mereka bergerak ke KLCC kerana Rayyan mahu pergi ke Aquaria. Sepanjang perjalanan, Rayyan tidak melepaskan genggaman tangan Iman. Iman berpesan kepada Rayyan agar tidak melepaskan tangannya kerana risau anak kecil itu hilang di kalangan orang ramai.

Rayyan sedang leka melihat ikan-ikan di dalam akuarium dan kata-katanya ditangkap oleh gegendang telinga Iman. Hampir tersembur air kosong yang sedang diminum apabila mendengar kata-kata anak saudaranya itu.

"Sedapnya tengok. Teringat asam pedas yang mama masak," bisik Rayyan.

Iman mendongak ke atas melihat ikan pari yang menjadi sasaran Rayyan untuk dimasak asam pedas itu. Terletus tawanya tanpa dapat ditahan lagi. Ada-ada sahaja budak kecil ini.

Selepas puas berpusing di dalam Aquaria, Rayyan menarik Iman untuk masuk ke sebuah kedai buku. Habis ditawaf seluruh kawasan dalam kedai buku itu, akhirnya ada beberapa buah buku yang menarik perhatiannya. Sementara Rayyan membelek-belek buku di situ, Iman juga melihat beberapa buah buku untuk dibeli.

Mata tertancap pada sebuah buku di atas rak yang sedih tinggi itu. Kelihatan nama A.H ditulis pada buku tersebut. Ia merupakan buku yang ditulis oleh Adrian. Tajuk buku itu dibaca.

"Aku pergi dulu..."

Iman menoleh ke arah Rayyan untuk mendapatkan bantuan.

"Rayyan, tolong acu boleh tak?"

"Tolong apa, acu?"

"Acu dukung Rayyan, tolong ambilkan buku yang warna hitam tu."

Rayyan terus meninggikan kedua-dua tangannya meminta untuk didukung. Iman mengangkat anak kecil itu sedikit tinggi dan akhirnya Rayyan berjaya mengambil buku itu lalu diserahkan kepada maksunya. Rayyan kembali duduk di hadapan rak buku kanak-kanak itu sambil membaca sebuah buku.

Iman membelek buku pada tangan. Dia membaca sinopsis di belakang buku tersebut lalu direnung semula tajuk buku itu. Tiba-tiba, dia teringatkan buku Adrian yang dibeli dahulu. Buku itu selamat sampai dan disimpan di atas rak buku di rumah. Buku itu pun masih belum dibuka plastiknya.

"Kenapa tajuk buku dia semuanya broken ini? Putus cintakah? Muka segak bergaya macam itu pun kena tinggal ke?"

Iman memilih beberapa buah buku lagi untuk dibeli lalu dia mengajak Rayyan untuk membuat pembayaran di kaunter. Rayyan memilih beberapa buku cerita berbahasa Melayu dan Inggeris manakala Iman membeli novel untuk dijadikan bahan rujukan. Dia perlu menambahbaik prestasinya dalam dunia penulisan.

Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)Where stories live. Discover now