BAB 25

17 2 0
                                    

"Macam mana perasaan awak? Seronok dapat jumpa pembaca?" soal Adrian kepada Iman.

"Seronok sangat. Saya tak sangka yang pembaca saya ramai sampai macam itu. Tapi saya gugup jugalah tadi. Pertama kali kan..."

Iman menjawab soalan Adrian itu. Masih terasa gemuruh apabila berjumpa dengan pembaca tadi.

"Hahaha. Saya dulu pun macam itu. Gemuruh tak boleh bawa bincang. Esok, giliran saya pula untuk jumpa dengan pembaca. Awak nak datang tak?"

Adrian mempelawa Iman untuk pergi ke perjumpaan peminatnya pula. Mesti pembacanya lebih ramai. Teringat masa perjumpaannya dengan pembaca di hotel dahulu. Bukan main ramai lagi yang datang.

"Erm... Tak kot. Sebab saya kena jumpa klien esok."

Iman terpaksa menolak kerana ada seorang klien yang mahu berjumpa dengannya esok untuk berbincang pasal hari persandingannya nanti. Klien ini agak penting kerana beliau merupakan anak kepada seseorang yang sangat berpengaruh.

Tidak tahu mengapa dia memilih Iman untuk mengambil gambar perkahwinannya. Dinyatakan bahawa majlis persandingannya bakal diadakan di sebuah hotel di London. Mungkin dia bakal berkahwin dengan seorang warga United Kingdom. Dia mahu berjumpa dengan Iman secara bersendirian.

"Sampai ke Malaysia bisnes awak berkembang, ya? Masyuk," kata Adrian.

"Mana ada. Klien kali ini special case sikit. Anak Tansri kalau tak silap saya."

Adrian hanya mengiyakan sahaja. Masing-masing terdiam. Kemudian, Iman bersuara lagi untuk memecahkan kesunyian itu. Tiba-tiba, dia teringatkan bukunya yang baru sahaja dibaca sebentar tadi.

"Adrian... Saya nak tanya satu soalan, boleh?" soal Iman.

"Soalan apa itu?"

"Saya ada terbaca buku awak. Tapi, kenapa buku awak semuanya sedih-sedih?"

Kesemua bukunya yang dilihat pada rak kedai buku semuanya bertajuk sedih seperti orang putus cinta. Dia pernah bercintakah sebelum ini?

Tanpa Iman sedar, rasa cemburu datang mencuit hati. Namun, siapalah dia untuk berasa cemburu dengan lelaki itu? Dia tidak layak langsung untuk berasa cemburu.

"Oh, itu... Nanti awak akan tahu juga."

Masing-masing kembali mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang mahu dibualkan lagi. Iman pula hanyut dalam fikiran sendiri sehingga tidak sedar bahawa Adrian sedang menyeru namanya.

"Iman? Iman? Awak ada dekat situ lagi ke?" soal Adrian.

Iman tersedar daripada lamunan lalu menjawab soalannya itu.

"Ya, saya ada saja dekat sini. Saya terfikir saja tadi."

"Awak fikir apa? Ada masalah ke?" soal Adrian lagi.

"Tak adalah. Saya cuma terfikir macam mana kita boleh jadi kawan. Masa awal-awal dulu, macam anjing dengan kucing."

Adrian tertawa di hujung talian.

"Saya pun tak tahu. Hahaha. Dah jodoh mungkin..."

Muka terasa bahang. Pipi Iman berubah warna merah seperti tomato.

Iman tidak membalas kata-kata Adrian kerana berasa janggal dan malu. Suara Adrian kembali menyapa gegendang telinga.

"Awak pergi Penang bila?" soalnya.

"Saya pergi lusa nanti. Ada kawan saya yang akan jemput dekat sana."

"Erm... Kalau macam itu, nanti saya gerak dengan Aiman. Kita jumpa dekat sana, ya?" katanya lagi.

"Okey. Nanti, bawa kereta elok-elok."

Sempat Iman berpesan kepada Adrian agar memandu dengan baik. Banyak kes kemalangan jalan raya yang berlaku sejak kebelakangan ini. Mata Iman terasa semakin berat lalu mata dipejam. Suara Adrian kedengaran sayup sahaja.

"Okey. Haih... Dah lama tak pergi sana. Masa saya kecil dulu, saya selalu pergi sana dengan keluarga. Saya selalu duduk dekat hotel di Batu Feringghi. Mama dengan papa selalu bawa saya mandi pantai dekat Batu Feringghi. Saya dengan Aiman selalu bina istana pasir dengan ibu bapa saya. Saya rindu mereka sangat-sangat."

"..."

"Iman... Awak suka pergi mana dekat Penang itu?" soal Adrian.

Diam. Sepi. Tiada sahutan daripada pihak Iman.

"Iman?" panggil Adrian.

Masih tiada sahutan. Tiba-tiba, dengkuran halus menyapa pendengarannya. Adrian tertawa halus di sebelah sana.

"Iman? Awak dah tidur ke?" soalnya lagi.

Adrian menyambung kata-katanya walaupun Iman tidak mendengar sepatah pun.

"Saya nak cakap terima kasih dekat awak sebab muncul dalam hidup saya. Awak buatkan hari saya kembali bernyawa. Saya berharap ia akan kekal seperti ini sampai akhir hayat saya."

"..."

Adrian melepaskan keluhan perlahan. Lalu, dia tersenyum lemah sebelum mengucapkan selamat malam kepada Iman.

"Selamat malam, precious. Awak akan selama-lamanya berharga dalam hidup saya."

Panggilan dimatikan. Iman pula telah masuk ke alam mimpi dek terlalu penat.

Di bilik hotel, Adrian masih terjaga melihat pemandangan bandar yang dihiasi dengan lampu-lampu itu. Dia menyarungkan jaket putih untuk melindunginya daripada angin malam.

Dia mengeluarkan telefon pintarnya lalu ikon galeri ditekan. Dia melihat gambar-gambar mereka berdua bersama-sama Aiman di Edinburgh. Dia tersenyum lemah. Gambar yang terpapar pada skrin telefon pintarnya itu diusap dengan ibu jari.

Air matanya menitis laju menyembah bumi. Hatinya terasa sayu. Dia mahu memori itu untuk sentiasa bersama-sama dengannya dalam hidup ini. Dia tidak mahu memori itu lenyap daripada mindanya.

"Aku tak boleh lupakan mereka. Saya tak nak lupakan awak, Iman. Apa yang patut saya buat, precious? Ya Allah, sesungguhnya hati aku sudah terpaut kepadanya. Namun, aku takut untuk mendapatkannya. Aku lepaskan dia dibawah jagaan-Mu. Lindungilah dia untukku."

Air mata diseka sebelum Adrian masuk ke dalam bilik hotelnya. Dia merebahkan badan ke atas katil lalu tangan kanannya diletakkan di atas dahi. Kepalanya berdenyut kuat. Mungkin kerana stres memikirkan masalah-masalah yang dihadapi.

Tepat pada pukul 4 pagi, Iman bangun daripada tidur dan terus masuk ke dalam bilik mandi. Dia mencuci muka lalu mengambil air wuduk. Seusai keluar daripada bilik mandi, telekung dan sejadah dicapai. Sejadah berwarna hijau gelap itu dihampar ke atas lantai mengikut arah kiblat. Telekung disarungkan ke badan lalu solat sunat ditunaikan. Selesai solat sunat, dia duduk di atas sejadah sambil berselawat ke atas Rasulullah SAW sementara menunggu masuknya waktu untuk solat Subuh.

"Ya Allah, sesungguhnya aku telah jatuh hati kepada salah seorang hamba-Mu. Aku menyukainya kerana dia membawa ketenangan dan kegembiraan kepada aku. Aku yakin bahawa Engkau hadirkan dia di dalam hidup aku untuk membawa sesuatu kebaikan kepadaku. Sepanjang aku berkenalan dengannya, hanya ketenangan yang aku rasa. Jadi, aku berdoa kepada-Mu wahai yang Maha Esa. Sekiranya lelaki ini baik untukku, maka Engkau jagalah dia untukku. Aku lepaskan dia di bawah jagaan-Mu. Amin."

Setelah berdoa, Iman mencapai senaskah al-Quran dan sehelai demi sehelai muka surat dibaca. Kedengaran suara azan berkumandang menandakan sudah masuk waktu untuk solat. Dia bingkas bangun dan menunaikan solat sebaik sahaja azan tamat.

Hari ini, dia perlu berjumpa dengan seorang klien yang bakal mengadakan majlis perkahwinan di London nanti. Dia memilih untuk berjumpa klien secara tertutup dan profesional. Iman menyiapkan pakaian yang bakal dipakai ketika bertemu dengan klien nanti.

Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)Where stories live. Discover now