BAB 36

29 1 0
                                    

Iman menyusun buku-buku di atas rak. Dia bergerak pula ke arah katil dan menarik cadarnya. Bantal-bantal ditepuk lalu disusun satu per satu. Telefon pintar di atas meja dicapai lalu dia merebahkan badan di atas katil. Telefon pintarnya dihidupkan dan dia mula melayari media sosialnya.

Dia berguling-guling di atas katil setelah bosan dengan melayari media sosial. Telefon pintar itu dicampak ke sampingnya. Siling putih itu ditenung. Dia kembali mencapai telefon pintarnya.

Telefon pintarnya mengeluarkan nada dering. Panggilan itu dijawab setelah dia melihat nama pemanggil itu. Siapa lagi kalau bukan si kekasih hati.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam. Hai sayang saya. Buat apa tu sayang saya? Dah makan ke sayang saya? Rindu saya tak sayang saya? Saya rindukan sayang saya ni." Suara garau Adrian kedengaran riang.

Iman menjulingkan mata sebelum tersenyum. Bukan main gatal lagi Adrian sekarang. Kalau dahulu, boleh terbelah orang-orang yang memandang Adrian kerana pandangannya yang tajam itu.

"Belum rasmi lagi. Jangan nak gatal sangat ya Encik Adrian. Awak nak apa telefon saya ni?"

"Alah, awak ni... Tak romantik langsung. Hmph!" Adrian melentukkan suaranya tanda dia merajuk.

"Adrian... Jangan nak mengada lah. Awak nak apa sebenarnya gedik-gedik macam ni?"

Terletus tawa Adrian di hujung panggilan.

"Hahaha. Tak lah... Saya saja telefon awak sebab bosan. Kan seronok kalau kita kahwin cepat-cepat. Boleh saya selalu ada dengan awak. Erm... Kita kahwin esok nak?"

"Bila kali terakhir awak kena penampar? Jangan nak mengada eh. Awak ingat kahwin tu benda main-main ke?" Iman sudah mula berasa geram dengan perangai Adrian yang tidak serius itu.

"Baiklah, Cik Iman Liyana. Bila awak akan balik ke Edinburgh?" Adrian kembali serius.

"Mungkin Isnin depan kot. Kenapa?"

"Awak dah beli tiket ke?" Adrian menyoal lagi.

"Belum."

"Okey! Awak jangan beli. Biar saya yang belikan. Kita balik sekali. Nanti bagi details dekat saya. Bye!" Adrian menjawab sebelum panggilan terus dimatikan.

Terkebil-kebil Iman dibuatnya. Dia menggaru keningnya yang berkerut itu. Tangan dan kaki dibentangkan seluas-luasnya di atas katil. Pintu bilik diketuk lalu dibuka daripada luar. Iman mengangkat kepalanya sedikit untuk melihat gerangan di sebalik pintu itu. Emir dan along masuk ke dalam bilik Iman. Mereka duduk di atas katil di mana Iman berbaring.

"Anak dara cuba tidur elok-elok sikit. Tak sopan betul. Terbongkang macam tu. Dah nak kahwin pun perangai tak semenggah langsung." Along membebel melihat adiknya yang terbaring di atas katil itu. Emir hanya tertawa.

"Erm... Along." Iman memanggil. Dia menggapai tangan kakaknya itu.

"Ya? Dah kenapa pula ni?"

"Along rasa Iman boleh ke jadi isteri yang baik nanti? Iman takutlah... Betul ke keputusan Iman ni? Tak terburu-buru ke?" Iman menyoal.

"Insya-Allah, semuanya akan baik-baik saja. Jangan risau... Along dah soal siasat bakal suami Iman tu. Siap bagi amaran lagi. Along yakin yang dia akan jaga Iman dengan baik. Semua orang buat kesilapan, Iman. Tapi, Iman boleh belajar untuk jadi seorang isteri dan ibu yang baik. Along pun belajar perlahan-lahan lepas kahwin dulu."

Iman mengangguk. Dia mengalihkan pandangan ke arah Emir. Tersengih-sengih dia kepada Emir.

"Kau pula bila nak kahwin?"

Dahi Emir berkerut dan mulutnya terlopong. Dia menggelengkan kepala dengan laju. Tangan disilangkan menjadi huruf 'X'.

"Memang tak lah! Mengarutlah akak ni. Salah makan ke apa? Lagipun, Emir ni masih sekolah lagi tau. Tak nak lah Emir kahwin."

Iman tersenyum sinis. Berlagak betul adiknya itu. Tengok sajalah nanti bila Emir sudah dewasa. Yang tidak mahu berkahwin itulah yang bakal mencintai sedalam-dalamnya. Iman mampu berkata-kata seperti itu kerana dia juga tidak mahu berkahwin seperti Emir dahulu namun dia akan berkahwin juga dengan Adrian.

"Eleh. Okey tak apa. Kita tengok nanti bila kau dah besar. Tengok-tengok nanti, kau yang paling angau."

Emir menjelirkan lidah. Along hanya menggelengkan kepala. Mereka bertiga berbual-bual. Terdengar suara kuat mereka yang menghiasi rumah agam itu. Ibu dan ayah yang berada di ruang tamu hanya tersenyum gembira. Sudah lama rumah mereka tidak dihiasi dengan tawa riang anak-anak.

"Dah lama tak dengar dia orang gelak kuat sampai macam tu kan abang?"

Ayah tertawa halus. Kepala dianggukkan. Mata memandang isterinya di sebelah. Tangan kanan naik merangkul bahu ibu dan ciuman dilabuhkan ke ubun-ubun ibu.

"Akhirnya, keluarga kita dah kembali macam dulu. Abang rindu sangat dengan keluarga kita yang bahagia. Sekarang, kita kena pertahankan keluarga ni sampai bila-bila. Terima kasih sayang sebab sudi lahirkan anak-anak. Terima kasih juga sebab sudi jadi isteri abang." Ayah bertutur dengan nada sebak.

Ibu tersenyum ikhlas dan memeluk erat ayah. Dia tahu bahawa banyak silapnya sepanjang bergelar seorang ibu namun dia mahu mengubah segala-galanya sekarang demi keluarganya.

"I love you, abang. Terima kasih sebab selalu ada dengan Mel."

"I love you too, sayang."

"Haa! Apa ni bermesra-mesra di khalayak ramai?"

Ibu dan ayah terkejut apabila mendengar suara anak-anak dari belakang. Mereka menoleh ke belakang. Terlihat Emir, Iman, dan Emilia yang tersengih-sengih melihat mereka berdua.

"Suka hatilah. Ni isteri ayah. Cemburulah tu. Wuek!" Ayah bersuara.

"Eh, kita pun ada suami kita tau." Along membalas.

"Kita pun nak ada suami dah nanti. Boleh jugak nak bersayang-sayang." Giliran Iman pula membalas.

"Wuek! Geli anak tekak. Wuek! Nak muntah... Wuek! Wuek!" Emir menekan perutnya dan sebelah tangan lagi menutup mulutnya lagak seperti orang ingin muntah.

"HAHAHA!" Tawa mereka terletus. Ibu dan ayah menarik tangan anak-anak mereka lalu dibawa ke dalam pelukan.

"Sayang anak-anak ibu dengan ayah. Terima kasih sebab membesar dengan baik. Maafkan kami kalau pernah sakitkan anak-anak kami ni."

"Kami pun sayang ibu dengan ayah!" Mereka bertiga menayangkan senyuman gembira kepada ibu dan ayah.

Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)Where stories live. Discover now