BAB 14

18 1 0
                                    

"Argh! Siap juga akhirnya!"

Iman meregangkan badan yang terasa sengal itu. Dia mengambil masa dua hari untuk menyiapkan suntingan gambar-gambar Aiman. Akhirnya, gambar-gambar tersebut sudah siap untuk diserahkan kepada tuan empunya badan.

Nombor Aiman didail lalu ditekap telefon pintar pada telinga.

"Helo..." suara Aiman menyapa gegendang telinga.

"Assalamualaikum, Aiman. Gambar-gambar awak, saya dah siap edit. Awak boleh datang ambil dekat studio saya." Iman memberi salam.

"Waalaikumussalam, Iman. Maaf, saya ada dekat Malaysia sekarang ini. Ada perjumpaan dengan kawan-kawan sekolah. Kalau saya minta abang Adrian yang pergi ambilkan, boleh?"

"Oh, boleh. Saya tunggu, ya? Maaf mengganggu, awak."

"Tak ganggu pun. Kejap, saya telefon abang Adrian. Terima kasih, Iman. Assalamualaikum."

"Walaaikumussalam, okey. Jaga diri."

Panggilan dimatikan. Iman merenung gambar-gambar yang disunting itu. Kelihatan senyuman Aiman dan Adrian. Otak mula berfikir. Bagaimana dia menjadi kawan kepada dua adik beradik itu sedangkan dia sangat susah untuk berasa selesa dengan orang lain.

Sementara menunggu kehadiran Adrian, dia meluangkan masa di ruang rehat staf. Studionya disambut baik oleh pelanggan. Kebanyakan antara mereka ialah golongan remaja yang datang untuk mengambil gambar secara 'self-taking photo'. Untuk khidmat jurugambar pula, Iman banyak memberikan tugas-tugas itu kepada Erica dan Ben.

Sedang dia leka melihat komen-komen di media sosial rasmi, Leo menyeru namanya.

"Miss Iman, Mr. Adrian is here to see you."

"Okay, be right there. Thank you, Leo."

Iman bangun daripada duduk menuju ke kaunter. Kelihatan Adrian yang sibuk berbual mesra dengan Linda.

"Assalamualaikum, saudara. Staf saya yang ini sudah berpunya. Kalau awak nak mengorat, saya ada seorang lagi staf. Tapi, muda sangat kot untuk awak."

Adrian memusingkan badan memandang Iman di belakangnya.

"Kalau saya nak mengorat, saya tak mengorat dia. Saya mengorat yang dekat depan saya ni," katanya sinis.

"Ha? Mana? Mana? Ada orang lain ke dekat sini?"

Iman berpura-pura mecari gerangan yang disebut oleh Adrian.

"Itu, belakang awak tu." Adrian juga memainkan peranan dalam lakonannya.

"Takutlah pula bila awak cakap macam itu. Hahahaha."

Terletus tawa Adrian. Lain betul personalitinya dengan pertemuan pertama mereka di hotel dahulu. Iman membawa Adrian ke ruang rehat staf.

"Kejap ya, saya ambilkan CD dengan album gambar."

Iman bergegas ke pejabat untuk mengambil barang yang hendak diserahkan kepada Adrian.

"Uhuk! Uhuk! Argh..."

Terhenti langkah Iman yang ketika itu sedang berjalan mendekati Adrian. Dia melihat Adrian yang batuk dengan kuat dan menyeringai kesakitan sambil memegang dadanya. Adrian mengambil sehelai sapu tangan lalu dilap mulutnya sebelum kembali menyimpan sapu tangan itu ke dalam poket seluar. Iman kembali menghampirinnya.

"Awak tak sihat ke, Adrian?" soal Iman.

"Tak sihat sikit. Batuk pula dua tiga hari ini. Nanti okeylah ni."

"Jangan lupa makan ubat. Ini barangnya."

Sekeping CD dan sebuah album gambar diserahkan kepada Adrian. Iman lebih sukakan gambar yang boleh dipegang dan ditilik serta dapat diwarisi oleh generasi yang akan datang.

"Terima kasih. Erm... Awak sibuk tak sekarang? Nak lunch sekali?" pelawa Adrian.

"Boleh juga. Kejap, saya ambil beg saya."

Adrian menganggukkan kepala dan Iman masuk ke pejabat untuk mengambil beg tangannya. Setelah itu, dia sempat berpesan kepada staf-staf untuk menjaga studio. Mereka semua tidak keluar membeli makan tengah hari kerana Iman sudah memesan beberapa jenis makanan untuk menjadi santapan mereka. Maka, mereka berada di studio sepanjang waktu rehat.

Iman dan Adrian memilih untuk makan tengah hari di sebuah kafe yang terletak di seberang jalan. Semuanya asbab Iman mempunyai kerja lain yang perlu disiapkan sebaik sahaja waktu rehat tamat. Jadi, dia perlu bergegas pulang ke studio selepas makan tengah hari.

"Iman... Boleh saya tahu? Kenapa awak pilih untuk buka bisnes photography ni? Kenapa bukan bisnes yang berkaitan dengan bidang awak?" soal Adrian.

"Hmm... Satu, sebab saya suka ambil gambar. Masa saya masih lagi bergelar seorang pelajar, saya dah mula ambil upah untuk photoshoot gambar perkahwinan orang. Kedua, saya belum ada kekuatan untuk handle bisnes yang besar macam restoran dan hotel. Yang terakhir... Saya tak ada modal sebanyak itu nak mulakan bisnes yang besar terus. Hahaha..." terang Iman panjang lebar.

"Tapi, kenapa di Edinburgh? Kenapa bukan dekat Malaysia?" soal Adrian lagi.

"Mungkin sebab saya nak cuba sesuatu yang baru. Masa saya kecil, saya selalu berangan untuk sambung belajar dekat universiti yang Aiman belajar tu. Tapi, mungkin belum ada rezeki untuk sambung belajar ke peringkat seterusnya. Jadi, saya buat bisnes dan kumpul duit dulu."

"Bagusnya awak. Pandai cari peluang." Adrian memuji kesungguhan Iman dalam mencari rezeki sendiri.

Iman tersenyum kecil mendengar kenyataan itu. Jika sahaja Adrian tahu betapa susahnya dia ingin memujuk keluarganya terutama sekali ibu untuk melepaskan dia ke Edinburgh.

"Awak pula? Awak memang tinggal di Edinburgh ke? Tinggal dengan Aiman saja?" soal Iman pula.

"Taklah, kami tinggal dengan pakcik kami. Lepas ibu dengan ayah meninggal, pakcik saya bawa kami tinggal dekat sini. Kiranya, kami membesar dekat sini."

Iman hanya mengangguk faham. Setiap kali Adrian menyentuh tentang ibu dan ayahnya, hati rasa sesak. Bagaimana agaknya dia membesar tanpa kasih sayang daripada ibu bapa? Entah mengapa, Iman ingin tahu lebih lagi tentang lelaki di hadapannya ini. Dia mahu tahu kesusahan yang Adrian hadapi. Dia mahu tahu apa yang membuatkan Adrian gembira. Segala cerita liku hidupnya ingin Iman tahu sekiranya Adrian mahu bercerita.

Tanpa Iman sedar, dia merenung Adrian lama. Adrian yang sedang menikmati secawan kopi itu melihat Iman dengan tanda tanya.

"Kenapa awak tengok saya macam tu? Siap senyum lagi. Ada apa-apa dekat muka saya ke?"

Adrian meletakkan cawannya di atas meja sebelum tangannya meliar di atas mukanya.

"Hahaha. Tak ada apalah. Saya tengah berfikir tadi. Tak sedar pula yang saya tengah renung awak."

Iman berdalih sedangkan memang dia tersenyum melihat Adrian sebentar tadi. Entah mengapa, ada satu rasa di dalam hati yang tidak dapat ditafsirkan. Perasaan itu sudah lama wujud di dalam hati sejak pertama kali mereka berdua bertentang mata.

Tanpa sebarang bicara lagi, mereka menghabiskan makanan tengah hari sebelum kembali ke studio.

"Terima kasih sebab sudi ajak saya makan tengah hari," kata Iman.

"No big deal, shorty."

Tak habis-habis memanggil Iman pendek. Dasar hantu galah. Iman hanya menggeleng sebelum memusingkan badan. Baru sahaja dia berura-ura untuk menarik pintu utama studio itu, namanya diseru oleh suara yang sangat dia kenali. Iman dan Adrian berpaling ke arah suara itu.

Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)Where stories live. Discover now