"Apa yang sedap dekat sini, kak?" soal Aiman.
"Dekat sini popular laksanya. Lepas itu, minum air kelapa fresh," jawab peniaga itu sambil tersenyum.
"Kalau macam itu, kami nak laksa empat dengan air kelapa empat."
Peniaga itu mencatat pesanan dan beredar dari meja makan. Mereka membuat keputusan untuk singgah di Batu Feringghi setelah puas bersiar-siar di dalam taman rama-rama. Setelah beberapa minit menunggu, makanan dan minuman dihidangkan di atas meja.
Masing-masing memulakan santapan dengan penuh berselera. Semuanya kelaparan akibat tidak bersarapan pada pagi tadi. Mereka cuma menjamah makanan ringan dan aiskrim yang dijual di taman rama-rama itu sahaja.
"Sedapnya!"
Mereka semua memandang Aiman. Pengunjung di sekeliling juga memandang pelik ke arahnya. Iman dan Adrian menutup muka sambil menahan rasa malu apabila diperhatikan seperti itu. Urat malu Aiman memang sudah putus agaknya.
"Kak! Saya nak tambah laksa lagi satu."
Aiman membuat pesanan tambahan. Iman melihat ke dalam mangkuk sendiri. Masih banyak laksa yang tidak disentuh. Biar betul si Aiman ini?
"Saya pun nak tambah lagi satu, kak."
Lina pun sama?! Iman hanya menggeleng dan meneruskan santapan. Suapan demi suapan. Akhirnya, mangkuknya sudah kosong. Air kelapa disedut menggunakan penyedut minuman sambil menikmati pemandangan pantai yang indah. Angin menghembus lembut membuatkan kawasan itu berasa sejuk.
"Laksa dua."
"Terima kasih!" ucap Aiman dan Lina.
Peniaga itu menghantar pesanan Lina dan Aiman ke meja. Iman menyandarkan badan ke kerusi sambil menyilangkan tangan ke dada.
"Korang berdua ni biar betul? Tak kenyang lagi ke?" soalnya.
"Hehehe, sedap sangatlah laksa ini. Lama tak makan laksa."
Aiman bersuara sebelum kembali menyuap laksa itu ke dalam mulut. Lina? Dia sudah diam membisu menyuap laksa itu berkali-kali ke dalam mulut. Iman yang sedang melihat mereka menyuap laksa ke dalam mulut dengan penuh berselera itu kembali berasa lapar. Iman memanggil peniaga itu.
"Kak, saya pun nak tambah lagi satulah laksa."
Iman membuat pesanan sambil tersengih. Mereka semua mentertawakan Iman termasuk peniaga itu.
Setelah selesai makan, mereka berjalan-jalan di pantai yang terbentang luas itu. Kelihatan ada keluarga yang bermandi-manda di situ. Adrian dan Aiman berjalan-jalan di hadapan meninggalkan Iman dan Lina di belakang. Langkah perlahan ditemani angin yang menghembus lembut. Mata dipejam sambil telinga mendengar bunyi ombak yang menampar pantai. Dirinya rasa tenang menikmati ciptaan Tuhan.
"Iman okey ke sekarang?" soal Lina.
Mata dibuka lalu dilirikkan ke arah Lina di sebelah. Bibir mengukir senyuman lemah.
"Depends. Bila Iman stres atau sedih ke, suara-suara suka muncul. Tapi, dah tak kerap macam dulu."
Lina diam dan sabar mendengar.
"Tapi, bila Iman ada dengan korang semua... Iman rasa tenang."
Iman dan Lina mengambil keputusan untuk duduk. Duduk dilabuhkan dan lutut ditarik rapat ke dada. Masing-masing membisu sebelum suara Iman memecahkan kesunyian.
YOU ARE READING
Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)
Ficción GeneralIman Liyana ialah seorang gadis sunyi yang suka memendam rasa bagi menjaga hubungannya dengan orang lain. Kebiasaannya itu telah memakan diri apabila dia disahkan mengalami penyakit Major Depressive Disorder (MDD). Setelah berjumpa dengan beberapa k...