BAB 21

32 3 1
                                    

Sewaktu perjalanan pulang dari rumah Erica, Iman sempat singgah di sebuah kedai. Dia membeli aiskrim coklat dan roti berperisa strawberi. Setibanya di hadapan pintu rumah, dia terdengar suara kanak-kanak perempuan berbicara. Dia menoleh ke arah suara itu dan kelihatan si kecil yang ditemui sewaktu di studio itu sedang berbual dengan kucingnya, Bulat.

Iman melaung memanggilnya dan dia menoleh lalu melambai ke arah Iman. Iman tersenyum sambil menunjukkan beg plastik berisi roti strawberi dan aiskrim itu. Dia berjalan ke arah rumah Iman bersama-sama kucingnya yang berwarna hitam dan putih itu.

"Hai! Kenapa main sendiri ini?" soal Iman.

"Mana ada main sendiri. Saya main dengan Bulat."

Si kecil itu bersuara lalu mengangkat tinggi kucingnya seperti dalam cerita Lion King. Iman mengambil Bulat daripada tuannya lalu kucing berbaka parsi itu dibelai. Iman mengajaknya untuk duduk di hadapan pintu rumah sebelum roti berperisa strawberi itu diberikan kepadanya. Dia laju membuka plastik roti itu dan makan dengan penuh berselera.

"Awak tak takut ke main dekat luar malam-malam macam ini? Bahaya, tahu?"

Dia menggeleng sambil mulut masih mengunyah roti itu. Mulutnya yang comot dengan krim strawberi itu dikesat menggunakan tisu. Gelojoh betul.

"Tak. Saya dah biasa. Saya selalu main dekat luar dengan Bulat. Ambil angin malam sambil healing. Hehehe."

"Awak pergi mana tadi, Iman?" soalnya kepada Iman.

"Oh, saya pergi jumpa kawan saya. Dia sakit sikit."

Anak kecil itu mengambil pula aiskrim yang ada di dalam beg plastik itu lalu dibuka pembalutnya dan disuapkan ke dalam mulut.

"Dia sakit apa?" soalnya.

"Dia tak sihat sikit saja. Dia tak ada selera nak makan sebab demam. Nak tidur saja."

Dia mendengar dengan penuh peka. Iman merenung dia yang asyik menjilat aiskrim itu. Dia memakai baju berlengan pendek serta seluar pendek paras lutut. Iman melihat pula ke arah badan sendiri yang memakai pakaian berlapis-lapis. Iman kembali menoleh ke arahnya.

"Awak tak sejuk ke? Pakai seluar pendek. Jaket apa pun tak pakai. Makan aiskrim pula."

"Tak."

Kebal betul anak kecil ini. Mereka berbual agak lama sebelum si kecil itu meminta diri untuk pulang. Banyak yang mereka bualkan. Bulat diserahkan kepada tuannya sebelum dia berjalan terkedek-kedek pulang ke rumah sambil memeluk kucing yang sedikit berisi itu.

"Bye awak! Saya masuk dulu!"

Iman melambai kembali ke arahnya. Setelah memastikan dia masuk ke dalam rumah dengan selamat, Iman membuka kunci pintu lalu masuk ke dalam rumah. Sampah-sampah tadi dibuang ke dalam tong sampah sebelum duduk dilabuhkan di atas sofa. Jaket ditanggalkan lalu diletakkan di sebelah. Badan yang keletihan dibaringkan lalu telefon pintar dicapai. Hati terdetik untuk membuka mesej-mesej yang pernah dihantar oleh Adrian.

Disebabkan hati yang merindui sosok itu, jarinya seakan-akan bergerak sendiri menekan nombor telefon Adrian. Telefon pintar itu ditekap pada telinga. Satu detik. Dua detik. Tiga detik. Lama dia menunggu untuk Adrian menjawab tetapi panggilan itu masuk ke dalam mel suara. Seolah-olah Adrian sedang mendengar di sebelah sana, Iman teruskan berbicara.

"Assalamualaikum Adrian. Saya tahu awak masih marah dekat saya. Maaf saya telefon awak macam ini. Tapi, saya nak cakap sesuatu..."

Tubir mata mula terasa hangat. Sungguh, dia merindukan kehadiran lelaki itu. Lelaki asing yang tiba-tiba menjadi salah seorang sahabat baiknya. Namun, kehadiran lelaki itu terasa lebih istimewa daripada hanya sekadar sahabat baik. Dengan suara yang menahan sebak, Iman meneruskan kata-kata.

Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)Where stories live. Discover now