Iman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Dia sudah berjanji dengan Lina untuk bersiar-siar sekitar Pulau Pinang hari ini. Dia tiba agak awal di Pulau Pinang. Jadi, dia mengambil keputusan untuk membeli secawan kopi sebelum duduk di sebuah kerusi.
Dia sudah menelefon Lina dan Lina sedang dalam perjalanan untuk menjemputnya di lapangan terbang itu. Sudah lama Iman tidak menghirup udara di bumi Pulau Pinang. Kali terakhir dia menjejakkan kaki ke negeri itu adalah pada waktu cuti sekolah rendah dahulu.
Selepas Emir lahir, dia jarang pergi berjalan-jalan bersama-sama keluarga. Dia banyak meluangkan masa di kampung bersama-sama datuk. Mungkin kerana layanan ibu dan ayah sudah tidak sama seperti dahulu dan mereka suka melebihkan Emir dalam segala benda.
Maklumlah, Emir itu anak lelaki tunggal dalam keluarga. Dia pula dipaksa untuk mendapatkan benda yang dia mahu dengan berdikari sendiri. Jika dia mahu membeli barang-barang yang berkenan di hati, dia akan mengumpul duit sekolah dengan berpuasa. Tidak pernah dia meminta duit tambahan daripada ayah dan ibu.
Manakala, Emir pula hanya perlu membuat suara kasihannya dan ibu serta ayah akan memberikan wang lebih kepada untuk membeli permainan. Mungkin juga Iman membesar dalam keadaan diri sendiri sudah pandai berdikari sehingga membawa diri ke negara orang.
Sewaktu membesar di kampung bersama-sama datuk dan nekwan dahulu, datuk sering membawa Iman ke dusun duriannya menaiki motor yang sudah dimamah usia itu. Walaupun Iman tidak gemar memakan durian, dia suka pergi ke dusun durian milik datuk kerana suasana di dusun itu sangat sejuk dan tenang. Dia selalu membantu arwah datuk untuk mengutip durian-durian yang sudah jatuh ke tanah. Zaman itu, penggunaan telefon pintar oleh anak-anak muda tidak begitu berleluasa. Jadi, inilah aktiviti dia sewaktu kecil. Meluangkan masa bersama-sama alam.
"Iman!"
Lina menjerit memanggil Iman yang sedang leka menghirup kopi itu. Nasib tidak tersedak air kopi itu. Beberapa pasang mata melihat ke arah Iman dengan pandangan yang pelik. Dia menunduk meminta maaf kepada mereka sebelum berjalan ke arah Lina.
"Lina! Apa menjerit macam tu? Malu dekat orang."
Bahu Lina ditampar dengan sedikit kuat. Malu Iman dibuatnnya apabila Lina menjerit di tempat awam begitu. Bahu yang ditampar itu diusap perlahan oleh tuan empunya badan untuk menghilangkan rasa sakit.
"Hehehe. Maaf, Iman. Teruja sangat nak jumpa dengan Iman."
Iman tersenyum sebelum memeluk Lina erat. Rindu akan telatah Lina yang sering menjadi penyeri kehidupan harian Iman sewaktu menjalani latihan industri di Langkawi dahulu. Lina membalas pelukan sebelum mereka berjalan ke arah kereta. Bagasi dimasukkan ke dalam tempat duduk belakang. Iman mengambil tempat di bahagian penumpang manakala Lina pula di tempat pemandu. Enjin kereta dihidupkan dan kereta itu meluncur laju keluar dari kawasan lapangan terbang itu.
Setelah beberapa minit memandu, mereka tiba di Padang Kota. Kempunan mahu makan pasembur di situ. Iman melihat di sekeliling kawasan itu. Banyak perubahan yang berlaku di kawasan itu. Dia teringatkan memori ketika masih kecil.
Setiap kali selepas makan di Padang Kota itu, dia akan membeli sebuah pistol belon dan bermain-main bersama-sama kanak-kanak yang lain. Dia juga akan berlari-lari dan memecahkan buih-buih yang berterbangan di situ. Suasana malam disitu lebih meriah kerana keluarga-keluarga yang datang untuk bersiar-siar dengan anak-anak. Lampu-lampu di situ yang menjadi perhiasan waktu malam.
Iman duduk di sebuah meja di hadapan kedai pasembur dan melihat Lina yang sedang memilih makanan. Setelah beberapa minit menunggu, Lina meletakkan sepinggan pasembur di hadapan Iman. Terbeliak mata dibuatnya. Banyaknya! Berapa harga semua ini?
"Banyaknya, Lina! Mesti mahal ni."
Lina hanya tersengih menunjukkan barisan giginya yang tersusun rapi itu.
"Alah, sekali-sekala. Makan sajalah. Lina belanja."
Iman terharu. Baiknya Lina menyambut dia datang ke negeri itu.
Mereka makan dan berbual-bual. Banyak perkara yang dibualkan kerana sudah lama tidak bersua muka. Linalah yang menjadi sahabatnya di Langkawi walaupun dia masuk latihan industri sewaktu Iman sudah hampir tamat latihan.
Perut sudah diisi lalu mereka berjalan-jalan di sekitar Pulau Pinang itu. Mereka mencuba kopi di sebuah kafe yang baru dibuka di situ. Setelah penat berjalan, mereka pergi ke hotel untuk mendaftar masuk. Iman dan Lina berkongsi bilik untuk menjimatkan duit. Mereka berdua menunaikan solat sebelum badan direbahkan ke atas tilam yang empuk itu.
Iman berbual-bual lagi dengan Lina sambil berbaring di atas katil. Mereka mengambil bilik yang mempunyai dua katil berasingan kerana Iman tidak selesa untuk tidur sekatil dengan orang lain.
"Semua orang sihat ke dekat hotel, Lina? Lama tak dengar khabar."
Iman bertanyakan soalan mengenai staf-staf di hotel kerana sudah lama tidak mendengar khabar mereka. Lina yang sedang melipat telekung di atas katil itu menjawab soalan Iman.
"Semua orang okey saja. Tapi, lepas Iman habis intern... Management jadi teruk."
Kening Iman bertaut rapat. Pengurusan menjadi teruk? Apa maksud Lina?
"Kenapa pula? Apa yang jadi?" soal Iman.
Lina mengeluh mengenangkan apa yang jadi sewaktu dia menjalani latihan industri berseorangan di hotel itu setelah Iman meninggalkan hotel itu.
"Lepas Iman keluar, suasana jadi sunyi saja dekat hotel itu. Tak seronok langsung."
Iman hanya diam mendengar penjelasan Lina itu. Dia membiarkan Lina meluahkan segalanya yang dipendam. Lina menyambung sesi luahan hatinya.
"Tak lama lepas itu, Encik Haikal berhenti kerja. Ganti dengan pengurus besar baru. Banyak masalah yang jadi lepas Encik Haikal berhenti kerja. Hotel rugi sebab banyak kenalan pengurus besar yang baru itu duduk di hotel dan makan secara percuma."
Iman terlopong mendengar penjelasan Lina itu. Mulut yang terbuka luas itu ditutup dengan sebelah tangan. Mana boleh macam itu. Rugilah hotel. Lina yang melihat reaksi Iman itu tertawa kecil.
"Mesti Iman tak sangka yang situasi hotel tu boleh berubah secara drastik, kan?"
Iman hanya mampu menganggukkan kepala.
"Ada satu hari itu, assistant manager kita tegur pengurus besar baru itu sebab dia mabuk masa waktu bekerja. Dia siap ajak budak-budak housekeeping mabuk sekali dekat hall."
Iman menjadi lagi terkejut dengan kenyataan Lina yang ini. Rata-rata staf housekeeping adalah beragama Islam. Tak akanlah mereka sanggup untuk minum air kencing syaitan itu?
"Budak-budak tu minum ke?" soal Iman.
Lina mengeluh sebelum menganggukkan kepala. Iman terkedu. Tidak tahu apa yang patut dia ucapkan. Kecewa? Mungkin. Sedih juga mungkin.
"Memang teruk jugalah mereka kena marah dengan Kak Ana. Kak Ana bagi tazkirah terus dekat mereka. Masa pengurus besar baru itu kena tegur, dia mengamuk dalam pejabat. Pengurusan memang jadi teruk sangat. Lepas Lina keluar, Kak Ana pun berhenti kerja. Dia balik kampung supaya dekat dengan anak-anak katanya."
Lina sudah siap melipat telekungnya dan mula berbaring di atas katil. Badan dipusingkan bagi menghadap Iman untuk meneruskan sesi bergosip mereka.
YOU ARE READING
Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)
Ficción GeneralIman Liyana ialah seorang gadis sunyi yang suka memendam rasa bagi menjaga hubungannya dengan orang lain. Kebiasaannya itu telah memakan diri apabila dia disahkan mengalami penyakit Major Depressive Disorder (MDD). Setelah berjumpa dengan beberapa k...