Dek kepenatan, Iman dan Rayyan pulang ke hotel untuk berehat sementara tunggu mama dan papanya datang mengambilnya di hotel. Kasut ditanggalkan dan mereka masuk ke dalam bilik. Beg Rayyan yang digalas diletakkan di sebelah katil sebelum mereka merebahkan badan ke atas katil.
Rayyan mengambil buku ceritanya lalu mula membacanya. Iman hanya meneman Rayyan membaca sambil memperbetulkan bacaan anak saudaranya itu. Tiba-tiba, telefon pintar Iman berbunyi menandakan ada panggilan yang masuk. Dia mencapai telefon pintar lalu dijawab panggilan itu tanpa melihat nama pemanggil.
"Helo..."
"Assalamualaikum, Iman." Satu suara garau menyapa pendengaran Iman.
Dia menjauhkan telefon dan melihat nama pemanggil. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat nama Adrian yang terpapar pada skrin telefon. Telefon pintar itu kembali ditekap pada telinga kembali dan menjawab salam.
"Waalaikumussalam, Adrian. Ada apa awak telefon saya ini?"
"Awak sibuk tak malam ini?" soaln Adrian.
"Tak sibuk pun. Kenapa?"
"..."
Iman kembali bertanya kepada Adrian yang membisu itu.
"Adrian? Kenapa awak tanya?"
"Jumpa saya dekat Secret Recipe. Saya hantar location. Hati-hati nanti."
Belum sempat Iman membalas, panggilan itu terus dimatikan. Dia terkedu dengan tindakan Adrian. Suara Adrian juga kedengaran beku seperti kali pertama pertemuan mereka dahulu. Marah sangatkah dia pada Iman?
Telefon pintar diletakkan di atas meja kecil sebelah katil. Iman melihat Rayyan yang sudah tertidur bersama-sama buku ceritanya. Dia mengambil buku cerita itu lalu disimpan kembali ke dalam begnya dan tidur bersama-sama Rayyan.
Selepas maghrib, along dan suaminya datang untuk mengambil Rayyan di hotel. Berjalan sakan pasangan dua sejoli itu sehingga malam baru datang mengambil anak mereka. Setelah mereka beredar pulang, Iman bergerak ke restoran di mana Adrian mahu berjumpa.
Setibanya di restoran makanan Barat itu, Iman melirik ke arah kelibat Adrian yang sedang duduk membelakanginya. Dia berjalan ke arah lelaki itu. Langkah terasa berat mahu mendekati. Setibanya di hadapan Adrian, Iman menegur lelaki itu perlahan.
"Hai Adrian. Dah lama ke awak sampai?"
Adrian mendongak untuk melihat Iman.
"Baru sampai saja. Duduklah, order makan dulu."
Iman melabuhkan punggung di atas kerusi dan pelayan di situ datang ke meja untuk mengambil pesanan. Setelah pelayan itu beredar, suasana kembali berasa janggal. Masing-masing membisu namun Adrian terus merenung ke arah Iman. Iman pula sibuk melarikan pandangan ke arah lain.
Adrian meminta diri untuk pergi ke tandas. Iman hanya mengangguk dan menghantar sosok tinggi lampai itu pergi dengan renungan lembut. Tiada secalit senyuman pun pada wajah. Mungkin juga Adrian masih marahkan dia.
Iman menunggu lama namun tiada tanda-tanda bahawa Adrian akan kembali ke meja. Otak sudah memikirkan perkara yang negatif. Adakah dia ditinggalkan seorang diri di sini? Iman terus menunggu sehingga hampir lima belas minit masa terbuang. Makanan juga sudah dihidang oleh pelayan.
Malas berfikir panjang, Iman bangun daripada duduk dan memulakan langkah untuk beredar. Sampai hati Adrian melayan dia begini? Diri berpusing untuk berjalan keluar, namun langkahnya terhenti.
![](https://img.wattpad.com/cover/370836505-288-k317690.jpg)
YOU ARE READING
Bukan Mahu Mati, Cuma Mahu Menghilang... (C)
Genel KurguIman Liyana ialah seorang gadis sunyi yang suka memendam rasa bagi menjaga hubungannya dengan orang lain. Kebiasaannya itu telah memakan diri apabila dia disahkan mengalami penyakit Major Depressive Disorder (MDD). Setelah berjumpa dengan beberapa k...