Kini tibalah hari yang dinanti-nantikan oleh para kerabat diraja dan seluruh rakyat kerajaaan Allumi. Semua hadir di istana Allium pada tengah hari itu. Ada yang terbang, ada yang melalui sungai dan ada yang berjalan kaki. Para bangsawan pula menaiki kereta kuda masing-masing.
Hafia turun dari kereta kuda. Dia melepaskan keluhan berat. Anjung istana dipenuhi rakyat jelata. Manakala ruang tamu istana ditempati oleh generasi bangsawan daripada Baron hinggalah Archduke. Kelihatan Duli Yang Maha Mulia sedang berbual mesra dengan beberapa orang kenamaan. Hafia pun tidak mengenali orang-orang itu kerana baru kali ini dia bersua muka dengan mereka. Wajah-wajah asing sering dilihatnya di sepanjang jalan masuk ke kawasan istana Allium.
Hafia menunduk menyembunyikan wajah. Nasiblah dia berpurdah pada hari ini. Kalau tidak, habis hangus mukanya kerana ditimpa rasa malu dan gemuruh. Brella berjalan di sebelahnya dengan tenang. Dia sentiasa bersedia membantu puteri bangsawan itu bila perlu.
Hafia berasa rimas. Ingin sahaja dia pulang ke mansion Heildrich. Biar dia meluangkan masa seorang diri di sana daripada menghadiri upacara penobatan putera mahkota ini.
Hafia melabuhkan punggung di sebuah sofa yang agak terasing di satu sudut ruang tamu diraja itu. Semua mata tertumpu ke arahnya. Dia memalingkan muka ke arah lain. Berpura-pura tidak peduli.
Nasib baiklah para bangsawan itu kembali berbual sakan dengan Duli Yang Maha Mulia. Masing-masing memegang segelas wain merah yang manis dan memabukkan.
Hafia tunduk. Dia berasa canggung dengan situasi seperti ini. Tiada yang sudi berbual dengan dia. Dia seolah-olah tidak wujud di sana.
Dia merenung jam pasir yang diletakkan di atas meja emas. Jam pasir itu menunjukkan jam tiga setengah. Hafia menahan keluhannya daripada terlepas. Dia susah hati kerana belum menunaikan solat asar. Mujurlah, dia sempat menunaikan solat zuhur di mansion Heildrich tengah hari tadi.
Brella melihat ke arah gadis remaja itu. Dahi gadis itu asyik berkerut.
"Puteri nak solat asarkah? " soalnya. Hafia tersentak. Dia menggangguk-angguk.
"Kalau macam tu... ikut hamba. " kata Brella. Hafia berdiri lalu mengikuti wanita tua itu. Mereka keluar dari ruang tamu diraja, melalui koridor yang luas dan bermandikan cahaya lampu kemudian mereka menaiki tangga.
Akhirnya mereka tiba di sebuah ruang yang agak tersembunyi. Di luar ruang misteri itu terdapat satu pili air. Hafia mengintai dari tingkap ruang itu, di dalam sebuah rak kayu ada beberapa helai tikar sejadah dan telekung putih polos yang dilipat kemas.
Hafia menatap muka Brella. Meminta penjelasan daripada ketua pembantu rumah itu.
Brella menghela nafas dalam-dalam sebelum menghembuskannya perlahan-lahan. Dia berbisik ke telinga gadis bangsawan itu.
"Ruang ni adalah rahsia kerajaan Allumi. Tuanku tak boleh bagitau kepada sesiapa pun. Ruang ni dibuat khas untuk tetamu yang beragama Islam. "
Hafia terjeda seketika. Dia mencerna kata-kata Brella. Matanya berkedip-kedip.
"Puteri, ambillah air wuduk lepas tu solat asar ke dalam. Nanti ada lagi yang lalu di kawasan ni... " Brella melilaukan pandangan ke serata arah. Takut nanti ada mata yang memerhatikan mereka ketika ini.
Hafia pun bergegas mengambil air sembahyang dan masuk ke dalam ruang rahsia itu. Daun pintu ditutup rapat. Tirai dilabuhkan.
Hafia menunaikan solat asar dengan khusyuk. Telekung putih polos tampak sesuai dengan dirinya.
YOU ARE READING
Kingdom Of the Dreams
Fantasía❤Bismillahir rahmanir rahim❤ Hafia ialah seorang gadis yang suka berangan. Cita-citanya melambung setinggi gunung namun tidak pernah digapai kenyataan. Bukannya dia tidak pernah berusaha merealisasikan impian-impiannya, tapi sikap kurang perca...