Bab 1: Manusia Tidak Bernama

356 14 8
                                    

Dia ialah manusia yang tidak bernama. Atau dia mempunyai nama A700, nama yang diberikan oleh kumpulan saintis, tetapi nama itu seperti meletakkan taraf untuknya sama rendah dengan barang. Nama yang tidak membawa erti. Nama yang diberikan berdasarkan nombor siri yang membawa makna tertentu kepada mereka yang menangkapnya lalu meletakkan dirinya menjadi bahan eksperimen, laksana tikus makmal. Walaupun layanan yang diterimanya tidak setimpal sebelum ini, ketahuilah dia juga seorang manusia, atau itulah yang sering dilaungkan olehnya ketika saban hari di makmal yang baru sahaja hancur diserang zombie ketika dirinya dijadikan bahan eksperimen yang semuanya sangat menyakitkan.

Mungkin itu jugalah memorinya sebagai manusia. Dia tidak mengingati langsung tentang apa sahaja perihal dirinya. Atau juga tentang kisah silamnya. Apa yang dikenalinya tentang memori ialah diseksa untuk setiap hari, atas alasan untuk menangguhkan kiamat yang sedang memayungi mereka. Dia ialah kunci untuk menyelamatkan peradaban yang sudah tumbang kerana murka TUHAN barangkali seperti mana yang dituturkan oleh kebanyakan manusia yang turut bersama dengannya di makmal.

Namun, sekurang-kurangnya, disebalik nyawa yang melayang, mungkin kini sedang bersemadi di dalam perut sang pemakan daging segar ketika zaman ais, atau juga ada yang mungkin kini sedang menikmati hidup bergentayangan tanpa tujuan mencari otak manusia, dia akhirnya benar-benar merasai menjadi seorang manusia seperti hari ini. Dia akhirnya bebas. Bukankah itu salah satu ukuran harafiah untuk seorang manusia?

Hari ini, kebebasan yang dimilikinya membolehkan dia menikmati titisan salju yang sedang turun perlahan dari langit dari tingkap bas yang sedang bergerak, meredah lebuhraya yang sudah lama mati sejak peradaban runtuh gara-gara zaman ais yang sedang melanda manusia, juga betapa 90 peratus populasi manusia bertukar menjadi zombie.

Sebelum ini, dia hanya mampu mendengar tentang salji dan rasa sejuk yang dibincangkan oleh saintis-saintis yang ditugaskan untuk menyelia dirinya pada setiap eksprimen. Sebelum ini, dia hanya mampu menggambarkan tentang kepulan putih yang melayang dari langit terbuka. Sebelum ini juga, dia hanya mampu membayangkan tentang bagaimana rasanya salji yang sedang menggigit tulang hitam, kini dia sedang menggigil keseorangan apabila sedang diselubung rasa sejuk yang menyelimutinya. Mungkin selepas ini, dia mahu menyentuh kepulan salji itu dengan tapak tangannya.

"Kebebasan ni agak overrated," tutur satu suara yang melabuhkan punggungnya disebelah A700. Lelaki yang berambut ikal panjang sehingga paras bahu itu menoleh ke arah seorang gadis berkaca mata yang berambut hitam lurus sehingga ke paras bahu. Apakah gadis itu mampu membaca fikirannya?

"A700 ya? Aku Dr Qisteena. Doktor untuk team mercenaries ini," tutur gadis berkaca mata tadi yang menghulurkan tapak tangannya untuk bersalaman dengan A700. A700 tidak terus menyambut huluran tangan itu sebaliknya matanya sedang menatap wajah Qisteena. Orangnya sawo matang, berkening yang agak tebal, mata yang sangat bulat serta terdapat tahi lalat kecil membentuk beberapa noktah dibawah matanya. Rambutnya pendek paras leher, wajahnya agak cantik, namun sekali imbas dia persis lelaki. Sweater hitam dengan seluar jeans. Seluar jeans yang tersarung pula penuh dengan lukisan-lukisan aneh yang tidak dapat ditafsir dengan sekali imbas sahaja. Ada jam tangan tersarung pada pergelangan tangannya.

"Aku... aku ialah aku," balas A700 sambil membalas huluran tangan.

"Aku tak gemar panggil kau dengan A700. Nama tu terlalu kebendaan," tutur Qisteena yang tiba-tiba berpeluk tubuh. Sekali lagi A700 tersentak. Gadis berkaca mata itu seperti sedang menyelami pemikirannya.

"Kau tahu... dahulu sebelum dunia disekitar kita runtuh. Aku sangat suka dengan seorang penulis ni. Legenda... dia sangat legenda. Aku rasa aku nak beri nama baru untuk kau, sempena dengan nama penulis itu," gumam Qisteena yang kembali menoleh ke arah A700.

"Si... apa?" soal A700 teragak-agak.

"Helmi... Helmi Effendy!" tutur Qisteena dalam nada suara yang sangat riang.

Malaysia Sesudah KiamatWhere stories live. Discover now