Malangnya, apa yang dirancangkan tidak menjadi. Gulam masih lena membuta di sebelahnya sementara Aidi masih terus memandu. Begitu juga dengan Komander Azzmel yang sepertinya keletihan selepas hari yang sangat panjang. Namun, selepas beberapa ketika, barulah Aidi menyedari bahawa seluruh penghuni bas tersebut sedang dibuai mimpi indah masing-masing, sementara dia seorang diri memandu bas sekolah itu menuju ke destinati yang dituju.
Jadi, inilah yang dirasai oleh Gulam pada setiap malam mereka mengembara di atas jalanan? Keseorangan sambil ditemani oleh kesunyian alam. Untuk hari itu, alam mendatangkan hujan salju yang sayu turun dari langit sambil Aidi memandu perlahan. Tidak lama lagi, selepas keluar dari jalan lama itu, dia akan masuk ke Lebuh Raya Bentong, lalu terus memasuki ke persimpangan yang akan membuatkan mereka memanjat kawasan tanah tinggi.
Bosan kerana bas itu terlalu sunyi, lantas Aidi menghidupkan radio. Sebenarnya pada waktu seperti itu, radio masih lagi wujud walaupun siaran televisyen sudahpun mati. Namun, baisanya isi kandungannya adalah berkenaan propaganda Perdana Menteri Khairy untuk memastikan dia kekal bersemayam di atas takhta.
"Anda bersama dengan saya Acha dan sahabat saya... Nazirah di siaran rahsia Jebat. Khabar-khabar angin mengenai pasukan revolusi pemberontakkan melawan Khairy akan terus dimainkan dari semasa ke semasa di radio ini..." Suara yang berkumandang daripada cerung radio membuatkan kedua-dua kening Aidi terangkat. Dia mengintai pada frekuensi yang dimainkan. Bukan frekuensi biasa-biasa. Lantas dia menoleh ke arah Gulam. Jadi, setiap malam Gulam akan setia mendengar siaran radio rahsia Jebat?
"Keputusan Pertempuran Dataran Merdeka akhirnya berjaya dimenangi oleh pasukan pemberontak ARAD! Angkatan tentera Loyalist yang dipimpin oleh Jeneral Amir Wijaya yang setia di belakang Perdana Menteri Khairy akhirnya mengangkat senjata apabila beberapa pasukan tentera yang berpaling tadah kepada raja-raja Melayu akhirnya turun ke medan perang! Jeneral Amir Wijaya telah menyerahkan senjatanya bersama sisa-sisa tentera Loyalist." Berita yang disebarkan melalui siaran Jebat itu terus berkumandang.
Bas sekolah yang dibawa oleh Aidi kini sudah mula memasuki Lebuh Raya Bentong. Dia tidak menggunakan bahagian yang menghala keluar daripada Kuala Lumpur kerana betapa jalan tersebut terlalu penuh dengan banjiran kereta yang sudah 10 tahun ditinggalkan tanpa pemandu suatu masa dahulu. Jalan menuju ke arah Kuala Lumpur pula kelihatan kosong, jadi jalan itu yang digunakan oleh Aidi mengarah ke Genting Highland meskipun kalau pada 10 tahun lalu, Aidi akan mencatat sejarah sebagai salah seorang pemandu gila dalam sejarah Malaysia yang memandu melawan arus.
"Menyambut kemenangan ulung kita selepas kekalahan demi kekalahan ARAD, kami di Jebat ingin memasang kagu revolusi yang sentiasa tertanam dalam jiwa kita, para pemembenci dictator dan pemerintahan tirani!" Suara DJ Radio berkumandang lagi. Muzik terus dimainkan manakala Aidi begitu kusyuk mendengar.
Apakah kau mendengar nyanyian itu?
Nyanyian manusia penuh amarah
"Lagu propaganda yang hebat..." gumam Aidi mengulas pada lirik awal dan tempo laguyang dipersembahkan.
Inilah muzik sebenar rakyat
tidak mahu lagi diperhambakan!
Bila detakan jantungmu
samalah gema paluan gendang
itulah kehidupan yang bakal bermula
kala esok menjelang!
"Tak sangka yang masih ada lagi manusia yang percayakan pada kebebasan pada dunia akhir zaman ni," tutur Aidi sambil tersenyum sinis.
YOU ARE READING
Malaysia Sesudah Kiamat
HorrorTamadun runtuh. Manusia tinggal dalam tembok batu dan besi yang sempat dibina, memisahkan mereka dengan dunia luar yang penuh dengan kesejukan yang menggigit dan juga zombie yang meliar dalam pelbagai spesis yang menakutkan. Setiap koloni yang dibi...