Azzmel mengangkat kedua-dua tapak tangannya di udara, merenung ke arah muncung-muncung AK-47 yang sedang diarahkan kepadanya. Shakila disebelah turut mengangkat kedua-dua tangannya di udara, merenung tajam ke arah konco-konco Aishah. Azzmel sekadar tersenyum melihat setiap anak buahnya sedang berada dalam posisi yang sama dengannya. A700 dan Ammar pula sedang diarah melutut oleh 4 orang anak buah Aishah yang melompat masuk ke dalam gelanggang.
Cuma Qisteena seorang sahaja yang tidak menunjukkan sebarang respon kepada mata senjata yang sedang diacukan kepadanya, sebaliknya kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket sweater hitamnya, sekadar mendongak memandang langit, memerhati penuh minat pada awan yang sedang berarak di langit.
"Awan tu... cantik kan Rick?" soal Qisteena.
"Qisteena... kau..." Rick menoleh tidak percaya melihat betapa tenangnya Qisteena yang tidak mengendahkan langsung senjata yang sedang tepat diacukan di kepala, tubuh dan kakinya.
"Hebatkan alam ini... masa maut sedang menghampiri kita barulah kita sedar betapa sebenarnya kita sangat bertuah... dikurniakan TUHAN nikmat sebegini?" gumam Qisteena membuatkan Rick menggeleng. Pada waktu seperti itu pun, Qisteena ada sesuatu yang lebih menggamit perhatiannya daripada memikirkan untuk keluar hidup-hidup dari Pekan Harimau.
Tidak jauh dari mereka, betapa Aidi dan Gulam sedang bertengkar antara satu sama lain. Mereka juga tidak mengendahkan senjata yang sedang diacukan kepada mereka, sebaliknya sedang berdiri menghadap antara satu sama lain, dan perang mulut antara mereka berdua pun bermula.
"Kalau kau mati Aidi, aku akan ukirkan kat batu nisan, lelaki gay yang meminati One Direction," teriak Gulam, tidak mahu kalah.
"Kalau kau mati pula, aku akan ukir kat batu nisan kau, lelaki jiwang yang acah-acah metal dan rockers," kata Aidi pula, menghentakkan tapak kakinya beberapa kali.
"Kalau macam tu, janganlah mati musibat!" teriak Rick dari jauh, tidak puas hati dengan betapa rakan-rakan seperjuangannya dalam kumpulan mercenaries itu seolah-olah tidak pernah gentar akan maut yang sedang menunggu mereka disisi kehidupan. Rick kemudian melarikan fokus pada Reen dan Ben Mazalan yang sedang berada pada satu sudut stadium itu.
Betapa Reen sedang menunduk manakala Ben Mazalan sedang merayu kepada konco-konconya Aishah untuk menyerahkan nyawanya untuk ditukarkan dengan nyawa Reen. Pemandangan itu memang sudah dapat diramal oleh Rick, walaupun masih menunjukkan betapa terdapat seorang lagi ahli dalam kumpulan itu yang agak angkuh berhadapan dengan maut.
Namun, yang paling mencuri perhatian di dalam struktur berbentuk colloseum itu adalah apabila ratu pekan yang terletak di sebelah lebuhraya yang sudah lama ditingalkan itu bangkit berdiri. Betapa amat mengejutkan Rick ialah bagaimana gadis selemah itu, atau itulah gambaran pertama Rick ketika melihat Aishah mampu mengawal ratusan lelaki yang setia menjadi pengikutnya di pekan itu.
Aishah yang tubuhnya sekadar dibalut oleh kain sutera yang agak lut-sinar itu sekadar melangkah sambil dua lelaki botak setinggi lebih 6 kaki, berbadan ketul-ketul dan tegap, mengiringi Aishah laksana seorang pegawal peribadi yang setia.
"Aishah..." gumam Azzmel sewaktu Aishah menghampirinya.
"Kau memang bodoh Azzmel. Sama bodohnya macam kau jatuh cinta pada aku masa awal apokalips dulu," tutur Aishah namun Azzmel sekadar tersenyum mendengarnya. Shakila disebelah berasa pelik melihat ketenangan yang masih dimiliki oleh Azzmel.
"Itu kebodohan pertama dan terakhir yang aku buat Aishah," kata Azzmel pula.
"Jadi, aku harap kau tak buat kebodohan kedua dalam hidup kau. Serahkan A700 pada aku, dan, kami akan lepaskan kau," kata Aishah.
"A700? Kalau aku serahkan dia pada kau, bermaksud aku melakukan sebuah kebodohan lagi dalam hidup aku. Aku lebih rela mati daripada membiarkan ia berlaku!"
YOU ARE READING
Malaysia Sesudah Kiamat
HorrorTamadun runtuh. Manusia tinggal dalam tembok batu dan besi yang sempat dibina, memisahkan mereka dengan dunia luar yang penuh dengan kesejukan yang menggigit dan juga zombie yang meliar dalam pelbagai spesis yang menakutkan. Setiap koloni yang dibi...