Bab 17: Kasta Yang Berbeza

67 4 1
                                    

Maniac menjauhkan diri daripada A700 yang sedang tersandar pada dinding berdekatan. Jelas, apa yang dilakukan oleh Maniac tadi menyebabkan lelaki itu keliru. Dia dikatakan memiliki memori yang sama dengan Helmi Mikhael, seorang tentera yang merupakan bekas suami kepada Shakila. Tetapi dalam memori Shakila, betapa sebenarnya Helmi Mikhael seharusnya sudah mati. Jadi, kalau lelaki itu sudah mati, kenapa dia boleh memiliki memori yang sama?

Maniac pada asalnya mahu menghampiri Azzmel selaku ketua mereka. Lelaki itu berdiri cekal, sambil merenung tajam wajah Maniac sebelum Maniac menggeleng. Dia menghampiri Reen yang sedang berdiri sambil memegang lengan Ben Mazalan. Pada ketika, Maniac menatap kedua-duanya.

"Memori kau orang berdua... mesti sama..." tutur Maniac sambil berpeluk tubuh. Untuk seketika, Ben Mazalan menoleh ke arah Reen disebelahnya sebelum dia mengangguk.

"Memori aku bermula dengan aku diambil sebagai anak angkat untuk Keluarga Mayor Syazwan, gabenor untuk Koloni Bukit Bintang," gumam Ben Mazalan.

"Dan kau berkhidmat sebagai butler untuk keluarga mereka?" soal Maniac.

"Pak Akob. Dia yang melatih aku," balas Ben Mazalan.

"Dari usia?" soal Maniac.

"7 tahun," balas Ben Mazalan.

"Sama umur dengan perempuan tu?" soal Maniac. Untuk seketika, Ben Mazalan menoleh ke arah Reen disebelahnya.

"Dia belum lahir lagi masa tu," balas Ben Mazalan.

"Beza umur antara korang?" soal Maniac.

"Aku 31, Reen 21," balas Ben Mazalan.

"Dah bersedia?" soal Maniac. Ben Mazalan mengangguk. Untuk seketika, Reen dan Ben Mazalan saling berpegang tangan manakala Maniac meletakkan tapak tangannya pada dahi Ben Mazalan. Serentak itu, latar disekitar mereka terus berubah.

Pavilion, suatu masa dahulu, ketika tamadun masih lagi berdiri megah di bumi Malaysia, pernah menjadi tempat pusat membeli-belah yang sinonim untuk golongan kaya. Ketika tamadun hancur disekitar mereka, dan ketika tembok batu tinggi itu didirikan oleh manusia melindungi mereka dari dunia luar yang sangat menggerunkan, sepertinya Pavilion tetap membawa imej kastanya. Tempat itu menjadi tempat tinggal untuk para manusia yang berstatus tinggi, serta mereka yang kaya-raya.

Biasanya, mereka inilah yang menjadi penyumbang kepada pembinaan tembok batu mengitari kawasan sekitar Bukit Bintang. Bagi rakyat biasa yang tidak mampu untuk tinggal di Pavilion, mereka akan tinggal dikawasan setinggan di dalam penempatan itu. Biasanya untuk penghuni Pavilion, kawasan itu sebolehnya tidak mahu langsung dijejaki oleh mereka. Untuk cenderawasih yang lahir diatas dulang emas itu, dia sangat menggemari kehidupan seekor gagak, istilah yang selalu digunakan oleh ayahnya.

"Reen! Tumpukan perhatian pada apa yang saya ajar awak ni!" tegur Ben Mazalan sambil menunjukkan cara untuk meleraikan serta menyambung semula sepucuk pistol yang namanya tidak beberapa diingati oleh Reen.

"Awak..." panggil Reen lembut.

Mereka berdua sedang berada ditingkat tertinggi bangunan Pavilion itu, yang juga merupakan kediaman rasmi Mayor Syazwan. Terdapat sebuah bilik khas di dalam itu yang menempatkan pelbagai senjata api. Untuk rekod, lelaki tua yang menjadi ketua di penempatan itu memang suka menyimpan senjata api dan sangat bertegas supaya Reen belajar untuk mengendalikan senjata api. Ben Mazalan, butler yang berkhidmat untuk keluarganya menjadi guru Reen yang paling setia meski Reen terlalu banyak karenah.

"Ya Cik Reen?" soal Ben Mazalan sambil meletakkan bahagian-bahagian pistol yang dileraikannya itu di atas meja.

Reen kelihatan menghampiri sebuah tingkap dalam bilik senjata itu. Dia kelihatan mengintai sesuatu daripada tingkat bilik itu sebelum termenung jauh. Ben Mazalan yang memerhati dari tadi sekadar tersenyum.

Malaysia Sesudah KiamatWhere stories live. Discover now