Bab 8: Kelas Tutorial

916 26 0
                                    

Bab 8

MATA Jiha pantas melirik ke arah kirinya saat melihat Mohd Ibrahim yang baru saja lalu di sebelah mereka. Lelaki itu jelas sedang mencuri pandang ke arah Safiyyah yang sedang sibuk bersembang dengan Sabrina dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya.

"Nazratul yasar, ya Safiyyah." Jiha senyum ke arah kawan baiknya itu dan cepat-cepat menyuruh Safiyyah supaya menoleh ke kirinya untuk melihat Ibrahim yang jelas mahu Safiyyah supaya memandangnya.

"Li maza?"

Safiyyah yang sudah terpinga-pinga terus menoleh ke kirinya seperti yang dikehendaki Jiha. Dia terus menelan liur saat melihat Ibrahim yang sudah berhenti berjalan dan kini sedang menyusun langkah ke arah mejanya pula. Dia terus berpura-pura seperti sedang sibuk bersembang dengan Sabrina dan Jiha.

Semakin dekat langkah Ibrahim ke mejanya, semakin Safiyyah tidak selesa dengan lelaki itu. Tambah pula, ada dua orang lagi pelajar Arab yang mengikuti Ibrahim dari belakang.

"Assalamualaikum, ya Safiyyah. Sedang sarapan dengan kawan-kawan, ya?" Ibrahim menanya sambil tersenyum ke arah Jiha dan Sabrina juga.

Safiyyah angguk dan hanya memandang wajah Ibrahim sekilas sebelum berpaling semula ke arah dua rakan karibnya itu. "Na'am. Saya sedang makan sarapan. Awak dah sarapan ke Ibrahim?" Dia sekadar menyoal.

"Sudah. Makan dengan Abu Bakar dan Youssef di kafe tadi."

Safiyyah tidak membalas dan terus diam.

"Err, Safiyyah." Ibrahim memanggil lagi.

"Ya, Ibrahim. Li maza? Tak eloklah kalau orang tengok awak bercakap dengan saya di sini," sambung gadis itu pula.

Jelas Safiyyah tidak berapa selesa dengan kehadiran Ibrahim di situ walaupun ada kawan-kawan mereka di sisi. Tidak timbul isu mereka berduaan kerana ada lagi pelajar lain di situ yang sedang menikmati sarapan mereka.

"Saja saya nak sampaikan salam ibu dan ayah pada awak."

"Baiklah, wa'alaikumussalam. Sampaikan kembali salam saya pada ibu dan ayah awak."

Ibrahim tersenyum pasrah lalu menganggukkan kepalanya sebelum meminta diri untuk pergi dahulu kerana ada pekerjaan yang harus dia siapkan dengan Abu Bakar dan Youssef yang setia menunggunya dari tadi.

Sebaik saja lelaki itu beredar dan sudah hilang daripada pandangan, Safiyyah terus menarik nafas lega.

Jiha kerut dahinya. "Kenapa dengan kau ni, Safiyyah?" Dia terus menyoal gadis yang duduk di hadapannya itu. Sakit pula hati dia apabila melihat Ibrahim yang baik itu dilayan sebegitu rupa oleh Safiyyah.

"Aku tak buat apa-apa pun, Jiha. Kenapa kau marah aku ni?"

"Kenapa layan Ibrahim sampai macam tu sekali? Dia tu baiklah," tambah Sabrina pula.

Safiyyah hanya mendiamkan diri dan mendengar saja kedua kawan baiknya cuba mempertahankan Ibrahim. Entah kenapa timbul rasa bersalah dalam hatinya saat Jiha dan Sabrina menegur kelakuannya yang tidak kena itu.

Bukannya Safiyyah membenci Ibrahim tetapi dia tidak gemar akan sikap lelaki itu yang suka mendekatinya setiap kali ada peluang. Hari itu di kelas, hari ini pula di kafe. Selalu saja Ibrahim datang menjenguknya di tempat ramai orang. Sengajakah dia?

"Tunang datang nak berkongsi khabar gembira. Kau buat jual mahal pula," kata Jiha dengan senyuman senget. Dia suka melihat reaksi wajah Safiyyah yang serta-merta berubah.

Safiyyah terus angkat wajahnya dan menoleh ke arah Sabrina. "Khabar gembira?" tanya Safiyyah pula dalam nada bersalah. Ada berita gembira apa yang Ibrahim hendak sampaikan padanya?

Satu Hari Nanti [ TERBIT ]Where stories live. Discover now