Bab 11
SEBAIK saja mereka berjalan keluar dari klinik universiti, Noah dan Safiyyah berpandangan. Mereka sama-sama tersenyum melihat langit sudah kembali cerah dan hujan sudah berhenti.
"Terima kasih banyak, Encik Noah. Sebab dah tolong saya," kata Safiyyah sambil tersipu malu. Baru sebentar tadi mereka bergaduh manja di hentian bas. Kini, lelaki itu pula sudah banyak membantunya.
Noah mengangguk perlahan. Dia turut tersenyum. Pergelangan tangan Safiyyah ditatapnya lama. "It'll take a while to heal. Jaga diri awak. Jangan angkat barang berat pula," pesan Noah persis seorang suami kepada isterinya. Hari ini saja sudah dua orang memanggil mereka berdua sepasang suami isteri. Sejujurnya, Noah suka. Tak tahulah kenapa.
"Baiklah. Saya balik asrama saya dulu, Encik Noah."
"Boleh saya hantarkan?"
Safiyyah terdiam seketika. Lama juga wajah Noah dipandang sebelum gadis itu akhirnya menganggukkan kepalanya malu-malu. Mereka berjalan beriringan ke asrama Safiyyah yang terletak tidak jauh dari klinik universiti. Lebih kurang 300 meter saja.
Safiyyah menoleh ke arah Noah yang masih lagi mendiamkan diri. Dengan sepantas kilat, dia melihat Noah dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Rambut hitam pekat, tidak terlalu pendek atau panjang.
Hidung Noah mancung, tidak sepertinya. Kulit lelaki itu boleh tahan cerah. Tinggi lampai, lebih tinggi daripada Safiyyah yang sudah cukup tinggi berbanding kawan-kawannya.
"Ada apa-apa yang tak kena dengan muka I?" tanya Noah sambil tersenyum nakal apabila dia perasan yang Safiyyah sedang memerhatikannya sejak dari tadi.
Safiyyah terus melarikan pandangan. Pipinya sudah memerah. "Tak.. tak ada apa-apa! Saya cuma tertanya-tanya macam mana bahasa Melayu Encik Noah boleh sangat fasih." Safiyyah sekadar mencari alasan kerana tidak mahu Noah curiga.
"Kita kan orang Malaysia? Mestilah kena pandai berbahasa Melayu."
"Betul juga."
"Lagi pun, saya ramai kawan-kawan berbangsa Melayu."
"Encik bersekolah di mana dahulu?"
"Banyaknya soalan? Macam nak interviu bakal suami pula."
Pipi Safiyyah kembali merona merah apabila terkenangkan semula kejadian tadi. Mula-mula, pemandu teksi kemudian jururawat di kaunter pendaftaran pula. Sekarang, Noah pula?
Safiyyah serta-merta mendiamkan diri kerana tidak mahu memperbodohkan dirinya lagi. Betul kata Noah tadi. Kenapa pula dia perlu banyak bertanya? Siapa Noah pada dirinya untuk dia bertanya soalan begitu?
Noah dan Safiyyah berhenti di hadapan pagar asrama sebaik tiba di perkarangan asrama Safiyyah. Baru saja Safiyyah hendak mengucapkan terima kasih sekali lagi, tiba-tiba telefon bimbit Noah berdering.
Noah mengangkat jari telunjuknya ke arah Safiyyah, meminta seminit dua untuk dia bercakap telefon. Lelaki itu tersenyum lega apabila mendapat panggilan daripada kliennya yang tiba-tiba hendak membatalkan pertemuan mereka.
"Nasib baik klien I cancel meeting hari ini," kata Noah sebaik saja dia memutuskan panggilan telefon dan kembali menyimpan telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar.
Safiyyah rasa bersalah. Kalau bukan sebab dia ke klinik tadi, pasti Noah tidak terlambat untuk berjumpa dengan kliennya. "Saya minta maaf, Encik Noah. Saya tak berniat nak buat encik lambat," kata Safiyyah dalam nada bersalah. Kalau ikutkan hati, dia pun tidak suka menyusahkan orang.
Noah menggeleng. Dia menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih. "Bukan salah you, Safiyyah. You saved a child's life. Itu lebih penting," kata lelaki itu dengan senyuman di bibir.
YOU ARE READING
Satu Hari Nanti [ TERBIT ]
RomantizmMarissa Safiyyah dan Noah Lee tidak pernah terfikir akan jatuh cinta. Sehingga takdir kembali menemukan mereka. SUDAH TERBIT JUN 2019! #30 Indonesia (as of 18.09.2020) #1 Islam (16.12.2021)