Bab 15: Di Mana Tempat Kita?

749 32 2
                                        

Bab 15

USAI makan malam bersama Armann, Noah kembali ke bilik tidur untuk mengemas baju-bajunya. Dia akan ke Pulau Pinang esok pagi untuk menghadiri sebuah konferens bagi mewakili syarikat tempat dia bekerja. Seronok juga apabila diberi peluang untuk keluar menghadiri konferens sebegitu.

Beberapa helai kemeja dilipatnya dengan kemas lalu dimasukkan ke dalam beg baju bersama tiga pasang seluar slack dan jeans denim kegemarannya.

Dia kembali ke almari baju untuk mencari tali leher pula namun hanya tersenyum sendiri saat terlihat foto lamanya bersama dengan ibunya yang elok terlipat di tepi kain baju. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa dia merindukan ibunya yang sudah hampir 14 tahun meninggal dunia.

Noah masih ingat hari ibunya menghembuskan nafas terakhir. Waktu itu, dia hanya seorang budak lelaki mentah yang baru saja meraikan ulang tahunnya yang ke-14 tahun.

Pada mata orang lain, mungkin dia hanya anak kecil yang tidak tahu akan apa-apa. Namun begitu, Noah mengerti apa yang sedang berlaku. Dia tahu perit dan sakit yang dilalui oleh ibunya yang saat itu menghidapi kanser payudara tahap akhir.

Di sebalik kesedihan yang melanda keluarga mereka, Noah tidak akan pernah lupa akan senyuman yang sering terukir di bibir ibunya itu. Kesan kemoterapi yang mampu membunuh semangat mana-mana manusia di bumi ini masih tidak boleh membunuh semangat ibunya.

Arwah ibunya berjuang berhabis-habisan untuk melawan kanser payudara yang dihidapinya walaupun akhirnya tewas. Namun begitu, Noah tetap bangga.

Dia bangga mempunyai seorang ibu yang cukup tabah dan kuat dalam menghadapi segala dugaan dan cabaran di dalam kehidupan. Dia bersyukur dikurniakan dengan seorang ibu yang cukup penyayang dan santun dalam bicaranya walaupun hanya buat sementara waktu.

Sudah 14 tahun sejak hari ibunya meninggal dunia namun segala memori bersama ibunya masih lagi segar dalam ingatan.

"Noah, kau tengah kemas baju ke?"

Noah terus terbangun daripada lekanya saat Armann menyargah masuk ke dalam bilik tidur. "Ya, tengah kemas baju. Aku nak balik Pulau Pinang esok," jawabnya tenang sambil menghela nafasnya perlahan. Dia terus menutup pintu almari lalu kembali ke katilnya untuk mengemas baju.

Armann mencebik lalu duduk di atas kerusi di meja kerja Noah. "Kau pergi naik kereta ya? Maknanya aku kena naik LRT sajalah dua tiga hari ni sebab kau tak ada," kata Armann pula dengan muka tidak bersalah.

"Belilah kereta, Armann. Kau itu lebih daripada mampu."

"Tak naklah! Kereta kau kan ada?"

"Bab beli kereta, kau tak nak berhabis duit kau. Tapi, kalau bab belanja perempuan kau memang nombor satu. Daripada kau habiskan duit kau berjoli sakan dengan pekerja perempuan dekat pejabat tu, lebih baik kau simpan duit untuk kahwin."

Riak wajah Armann terus bertukar saat Noah mula menegur sikapnya yang suka melayan ramai wanita pada masa yang sama. "Eh, kejap! Sejak bila pula kau buat kerja-kerja dakwah ekspres ni? Tak pernah-pernah lagi kau tegur aku keluar dengan mana-mana perempuan," tanya Armann lagi dalam nada suara sedikit keras.

Noah terdiam seketika dan hanya termenung. Matanya tertumpu ke arah Armann namun fokusnya sudah melayang entah ke mana-mana. "Man, kau pernah terfikir tak yang kita ni dah banyak buang masa? Kita dah 28 tahun tau," katanya tiba-tiba setelah lama mendiamkan diri.

"Oi, kau ni dah kenapa nak serius tiba-tiba?"

"Kau pernah terfikir tak?"

"Chill dude! Baru 28 tahun kut!"

Satu Hari Nanti [ TERBIT ]Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang