Bab 3: Buat Pilihan

979 33 0
                                    

Bab 3

SAFIYYAH merenung dinding di hadapannya dengan tatapan kosong. Jam sudah menunjukkan ke arah nombor 2.00 pagi. Adiknya yang paling kecil sekali, Syakeer, kini sudah terbungkang tidur di atas katilnya sejak dua jam yang lalu.

Namun, dia masih lagi berjaga kerana pekerjaannya yang masih belum siap. Ada lagi dua tugasan dan kalau boleh dia hendak siapkan secepat mungkin sebelum dia balik ke universitinya petang Ahad nanti.

Dia mengeluh perlahan memikirkan pertanyaan ayahnya usai mereka makan malam tadi. Imam Hassan tak habis-habis dengan soal jodoh dan perkahwinan anaknya yang keempat itu.

Almaklumlah, adik-beradiknya yang lain sudah pun berumah tangga dan seperti sudah tiba masa buat Safiyyah yang sudah berumur 23 tahun untuk melakukan perkara yang sama kali ini.

Safiyyah jadi tidak tenang. Bukannya dia tidak mahu terima lamaran Ibrahim anak Imam Saleh tu. Lelaki itu seuniversiti dengannya lagi. Orangnya tinggi lampai, berkulit sawo matang sedikit tetapi jelas terpancar kejernihan pada wajahnya.

Pelajar ijazah sarjana jurusan undang-undang Syariah dan juga ahli debat di universiti mereka. Setiap kali ada demo debat di universiti mereka, adalah muka si Ibrahim tu.

Bahasa Arabnya fasih malah lelaki itu sendiri pernah ke Jordan mewakili universitinya dalam pertandingan debat Bahasa Arab. Pada mata Imam Hassan, Ibrahim sudah cukup sempurna buat dijadikan menantunya.

Ayahnya memang suka benar dengan pemuda yang seorang itu. Boleh kata setiap hari jugalah ayahnya menelefon untuk bertanya khabar Ibrahim yang Safiyyah sendiri tidak tahu apa.

Namun, Safiyyah juga apa kurangnya. Dia sendiri di tahun ketiga pengajiannya di bidang Sains Politik. Pertama kali dia berjumpa dengan Ibrahim adalah sewaktu dia menghadiri ujibakat untuk masuk ke kelab debat Bahasa Arab.

Rezekinya bukan di situ tetapi Safiyyah tidak putus asa. Dia perginya pula ujibakat untuk kelab debat Bahasa Inggeris. Kini, sudah hampir tiga tahun dia mewakili universitinya setiap kali ada pertandingan debat.

Dia antara pelajar yang sentiasa ada di senarai dekan setiap semester. Memang pada rakan-rakan di universitinya pun, Safiyyah seperti ditakdirkan buat Ibrahim.

Tetapi, ada sesuatu tentang Ibrahim yang membuatkan Safiyyah tidak yakin. Dia masih belum boleh jawab pertanyaannya sendiri.

NOAH terjaga saat dia sedang lena dalam tidur. Dia meraba-raba ruang kosong di sebelahnya untuk mencari iPhone edisi terbaru yang dia beli sebulan yang lepas.

Saat melihat nombor 3.00 pagi jelas terpampang di skrin telefon bimbitnya itu, dia segera bangun dari baringnya dan mengeluh panjang. Baru tiga jam saja dia lena selepas pulang dari blind date tak guna tadi.

Seluruh badannya terasa sengal-sengal. Dia benar-benar perlukan rehat yang secukupnya. Noah melompat keluar dari tilam empuknya dan mengatur langkah menuju ke ruang dapur untuk mendapatkan segelas air.

Tekaknya terasa kering pula dan semestinya air kosong sejuk menjadi pilihan di waktu-waktu begini. Seluruh tubuhnya terasa segar dengan serta-merta saat dia menelan air sejuk dari peti ais itu.

Dia tersenyum gembira dan kembali ke bilik untuk menunaikan solat sunat Tahajjud dengan kesempatan yang ada. Usai mengambil air sembahyang, Noah terdengar bunyi telefon bimbitnya bergetar menandakan ada mesej yang baru masuk.

"Siapa pula yang nak mesej aku pukul 3.00 pagi ni?" soal lelaki itu pelik. Dia bertambah pelik apabila mesejnya datang daripada Sally. Ada sekeping gambar yang dititipkan oleh wanita itu bersama dengan satu mesej ringkas.

From: Sally Iskandar

Time: 2:57am.

Wished you could join us tonight sayang! It was so much fun!

Noah sekadar menggeleng tidak percaya. Dia padam mesej itu dengan pantas sebelum mencampakkan iPhone-nya semula ke atas katil. Noah dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana dan kedua orang tuanya tidak pernah mengajarnya untuk bersikap liar apatah lagi ke kelab malam dengan perempuan.

Adalah sekali dua dia ke kelab malam. Itu pun sewaktu dia muda dahulu. Dah nak masuk three series ini, Noah lebih fokus kepada kerjayanya.

Rokok ada dia hisap sekali dua dalam sebulan tapi bukan alkohol. Dia sendiri tahu bahaya alkohol pada sistem badannya dan ayahnya juga berkali-kali berpesan padanya agar dia berhenti merokok juga.

Pak cik Alvin meninggal dunia kerana kanser paru-paru dan Mak cik Emma pula sekarang sedang menghidap penyakit kanser hati kerana terlampau banyak minum alkohol.

Noah tersenyum apabila mengenangkan pesanan ayahnya yang seorang itu. Walaupun wajahnya bengis dan garang sepanjang masa, ayahnya itu sebenarnya seorang yang penyayang.

Dia sering kali menelefon sekadar untuk menanya khabar anak lelaki kesayangannya yang seorang itu. Almaklumlah, anak seorang saja. Isteri pula sudah lima tahun meninggal dunia. Anak lelaki yang seorang ini masih membujang walaupun usia dah meningkat 28 tahun.

Bersembang tentang gosip di tempat kerja, bukan satu atau dua gosip yang sudah keluar tentang Noah sejak dia bekerja sebagai jurutera IT di syarikat tempatnya bekerja. Ada saja yang mahukan dia sebagai teman lelaki sehingga pening kepalanya.

Bukannya dia tidak tertarik dengan rakan wanita yang lain tapi dirinya mahukan sesuatu yang lebih sejuk mata memandang. Sesuatu yang boleh menghilangkan resahnya tatkala dia sedang resah.

Seorang wanita yang boleh dia gelarkan seorang isteri. Lamunan Noah terhenti. Dia segera bergerak ke arah meja kerjanya untuk menyiapkan kerja yang masih tertangguh.


"UMMI nak cakap apa dengan Safiyyah?" Safiyyah senyum lalu duduk di samping ibunya yang sedang membaca Al-Quran di ruang tamu. Wanita tua itu angguk lalu menghabiskan bacaannya sebelum menutup kitab suci itu. Ummi Salmah kucup penuh syahdu kitab suci itu lalu meletakkannya di atas meja.

Ummi Salmah elus lembut wajah anak perempuannya. "Safiyyah jangan pening-pening fikirkan lamaran Ibrahim tu, ya? Ummi dan abah tak paksa," kata ibunya.

Safiyyah tertawa kecil. "Safiyyah tak pening pun," jawabnya ringkas.

"Ummi cuma nak Safiyyah tahu yang ummi dan abah terima apa saja keputusan Safiyyah."

"Safiyyah ikut kehendak ummi dan abah."

"Jangan begitu. Walaupun kakak dan abang-abang Safiyyah semua dah berumah tangga ikut pilihan hati ummi dan abah, itu tak bermakna Safiyyah tak boleh cari pilihan hati Safiyyah sendiri."

Safiyyah sekadar tersenyum janggal. Dia rasa bersalah apabila ibunya mula berkata begitu. Sejak kecil lagi dia dididik dengan kata-kata bahawa pilihan orang tua adalah yang terbaik untuk diri kita.

Kalau ibu dan ayahnya dah berkenan dengan Ibrahim, siapa dia untuk membuat keputusan? Dia akan lebih bahagia jika ibu dan ayahnya sendiri yang memilih bakal suaminya untuk dirinya nanti.

"Safiyyah ada pilihan hati sendiri ke?" tanya ibunya tiba-tiba menbuatkan Safiyyah cuak.

Gadis itu terus menggelengkan kepalanya laju dan terus menunduk ke bawah untuk menahan malu. "Nak jaga diri sendiri pun tak terjaga. Inikan pula nak bercinta dan jaga hati anak orang," tambah Safiyyah lagi, selamba tanpa ragu-ragu.

Betul apa? Buat kerja kuliahnya pun sampai dah tak tidur malam. Ada hati nak bercinta? Boleh insomnia dia jadinya! Ummi Salmah sekadar menganggukkan kepalanya setelah mendengar jawapan yang keluar daripada mulut anak gadisnya yang seorang itu.

Dia tahu yang Safiyyah seorang yang peramah dan cepat mesra dengan semua orang tidak kira umur dan jantina. Almaklumlah, anaknya selalu merantau ke sana sini mewakili kelab debatnya.

Safiyyah juga sering menghadiri forum di universiti tempatan seluruh Malaysia. Boleh kata jarang jugalah dia hendak berjumpa dengan anak gadisnya itu kadang-kadang kerana terlampau sibuk.

Walau ramah macam manasekali pun Safiyyah dengan semua orang, tidak pernah sekali pun Safiyyahbercerita perihal kawan lelaki kepada Ummi Salmah. Bahkan Safiyyah melayansemua kawannya, baik lelaki atau perempuan, sama saja. Celah mana Safiyyah nakada teman lelaki?

Satu Hari Nanti [ TERBIT ]Where stories live. Discover now