Bab 17
"BILA ummi memasak ni, Safiyyah tengoklah sama, ya?" Ummi Salmah berkata kepada anak perempuannya itu sambil tangannya sibuk meratakan garam pada ikan patin yang sudah dia siang itu.
Safiyyah tergelak kecil lalu mengangguk kepala. "Ya, ummi. Safiyyah tengah tengoklah ni," jawabnya ringkas dan kembali memberi perhatian kepada setiap pergerakan ibunya yang cukup pakar dalam menyadiakan juadah kegemaran ayahnya iaitu ikan patin masak tempoyak.
Sejujurnya, bukannya Safiyyah tidak reti memasak langsung. Waktu di sekolah menengah dahulu, dialah yang selalu menanak nasi sebaik saja pulang dari sekolah kerana ibunya sedang sarat mengandungkan Fateema.
Dia boleh menggoreng telur dengan sempurna sekali. Minta sajalah apa jenis masakan telur sekali pun. Safiyyah pasti boleh melakukannya! Telur dadar, telur rebus, telur separuh masak? Tiada masalah!
Teknik asas seperti menanak nasi, menjerang air, menggoreng ikan dan yang sewaktu dengannya masih lagi boleh dilakukan oleh Safiyyah. Tetapi, janganlah pula sampai dimintanya ikan patin masak tempoyak seperti yang sedang ibunya lakukan sekarang. Yang itu memang Safiyyah masih belum mahir lagi.
Tidak seperti kakak sulungnya yang memang mahir di dapur, Safiyyah pula yang sebaliknya. Dia tidak berapa gemar memasak tetapi dia kaki makan!
"Esok bila dah kahwin, Safiyyah kena pandai masak. Makan minum suami ni kita kena jaga. Barulah seronok suami kita balik kerja tengok makan malam dah tersedia depan mata," kata Ummi Salmah tiba-tiba saat dia memasukkan bawang-bawang yang telah ditumbuk tadi ke dalam periuk bersama dengan ikan patin.
Safiyyah terus memuncungkan bibir. "Nanti lepas kahwin, Safiyyah belajarlah memasak." Dia menjawab selamba kemudian tersengih manja saat Ummi Salmah menjegilkan matanya sedikit tanda mengugut anaknya itu. Gadis itu teruskan riak wajah comelnya tanpa menghiraukan ibunya yang sudah mengetap bibir.
"Jadi, bila nak berkahwin?"
"Ke situ pula."
"Ya ALLAH, betullah. Ummi tanya Safiyyah ni. Bila nak berkahwin? Sekarang tengah cuti semester kan? Elok sangat kalau nak buat majlis waktu cuti macam ni."
Safiyyah hanya mendiamkan diri. Dia tersenyum janggal saat bertukar pandangan dengan ibunya yang masih menantikan jawapan namun akhirnya tidak juga kedengaran.
SUDAH tiga hari Noah di Pulau Pinang tetapi dia masih belum punya kesempatan untuk pulang ke kampungnya di Tanjung Tokong. Dia sudah berjanji dengan ayahnya yang dia akan pulang untuk menziarahi mereka walaupun hanya sebentar namun kesibukan kerja membuatkan pergerakannya terbatas.
Tambahan pula, dia diberikan penginapan tiga hari dua malam di hotel tempat konferens itu sendiri sedang berlangsung jadi dia memilih untuk tetapi di situ saja.
Nasib baiklah konferens di hari terakhirnya itu berakhir lebih awal daripada waktu sebenar dan lelaki itu terus mengambil kesempatan yang ada untuk terus memandu ke Tanjung Tokong dengan secepat mungkin.
Ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas yang cukup sinonim dengan Pulau Pinang kerana kawasan tarikan pelancongnya, Noah akur dengan keadaan yang harus dia tempuhi untuk ke kampungnya petang itu.
Kereta Proton Saganya laju meluncur di atas jalan raya. Hampir setengah jam juga dia tersekat di dalam kesesakan lalu lintas. Akhirnya tiba juga di Tanjung Tokong.
Dia memasuki lorong-lorong kecil di perkampungan Cina itu lalu tersenyum lebar saat melihat rumah kampung lama milik neneknya itu masih lagi tersergam indah di tempat yang sama. Noah terus memarkirkan keretanya betul-betul di hadapan rumah lalu membunyikan hon.
"Pa, wo zai jia!" kata lelaki itu lagi saat dia melangkah keluar daripada keretanya lalu terus menuju ke arah pintu hadapan rumah itu.
Noah bergerak ke tempat duduk belakang untuk mengambil beberapa makanan ringan yang dia sempat beli di Gurney Drive tadi untuk diberikan kepada ayah dan neneknya.
Lelaki itu tersenyum bahagia saat melihat ayah serta neneknya berlari-lari anak ke pintu hadapan untuk menyambut kedatangannya. Dia terus mendepakan tangannya lalu memeluk neneknya dengan seerat mungkin.
Wanita tua yang hampir berumur 80 tahun itu tersenyum lebar. Dia seronok dapat melihat cucu kesayangannya itu pulang ke kampung. "Noah Lee! Kenapa lama sangat tak balik kampung," tanya Nenek Mei lagi sambil mencubit pinggang cucunya.
Noah melompat sedikit akibat terkejut. Dia tergelak kecil sambil menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal itu. "Wo zhen de duibuqi. Noah sibuk sikit dengan kerja di pejabat," jawabnya perlahan lalu mengerling ke sebelah untuk melihat ayahnya yang sudah berdiri di sisi pintu.
"Noah."
"Pa."
Noah senyum lalu terus berjalan ke arah ayahnya yang sudah menunggu. Dua orang lelaki itu saling bertukar pelukan sebelum Encik Lee mengangguk sambil mengajak Noah dan Nenek Mei ke ruang tamu.
Noah terus pergi ke dapur untuk meletakkan makanan ringan yang dia beli tadi sebelum berjalan semula ke ruang tamu untuk bersembang dengan ayahnya. Noah melabuhkan punggungnya di atas sofa lama itu lalu menoleh ke arah ayahnya.
"Pa, ni hao ma? Hari tu kata sakit dada. Dah buat pemeriksaan kesihatan di hospital?" tanya lelaki itu lagi dalam nada risau.
Encik Lee geleng. "Papa sihat saja. Tak payahlah sampai nak ke hospital untuk buat pemeriksaan. Biasalah bila kita dah tua ni macam-macam penyakit boleh datang," jawabnya dengan cukup tenang tanpa diulit sebarang reaksi cemas langsung.
"Jangan begitu. Kencing manis papa tu kena jaga juga."
"Ni bie danxin! Papa betul-betul sihat. Tengok nenek kamu tu. Dah umur dekat 80 tahun pun masih lagi cergas untuk ke pasar. Papa baru 60 tahunlah, Noah."
Noah tergelak kecil lalu iyakan saja kata-kata ayahnya itu. Dia sudah kenal benar dengan perangai ayahnya yang cukup keras kepala. Kalau ayahnya kata A, maka A lah jawapannya.
Tiada siapa yang boleh mengubah keputusan yang dibuat oleh ayahnya kecuali ibunya. Hanya ibunya saja yang boleh mencairkan ayahnya itu.
Kalau ayahnya itu api, maka ibunya adalah air. Mereka berdua saling melengkapi antara satu sama lain. Mungkin juga itu merupakan salah satu faktor kenapa ayahnya sukar untuk meneruskan hidup saat ibunya tewas 14 tahun yang lalu.
Terlampau banyak kenangan lama yang dia tempuhi bersama dengan isterinya itu. Noah ingat lagi kisah-kisah lama tentang pertemuan ayah dan ibunya yang diceritakan oleh neneknya sewaktu dia kecil dahulu.
Noah terjaga daripada lamunan saat neneknya memanggil anak dan cucunya itu untuk makan malam di dapur. Dia dan ayahnya terus berkejar ke meja makan dan terliur saat melihat ketam goreng cili kegemaran mereka sudah dihidangkan di atas meja.
"Wah, ketam goreng cili! Sedap ni," kata Noah lagi sambil menjilat bibir bawahnya.
"Sudah, jom makan! Kasihannya tengok cucu aku yang seorang ini. Kurus kering macam tak ada makanan di Kuala Lumpur tu!" marah Mei Cheah lagi sambil mencekak pinggangnya. Fasih betul wanita tua itu berbahasa Melayu.
"Apa yang kurusnya? Noah banyak makanlah akhir-akhir ni."
"Baguslah! Jangan kurus kering sangat nanti tak ada perempuan suka," kata Mei Cheah lagi lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Dia mula mengambil bekas berisi nasi lalu disenduknya sedikit ke pinggan Noah dan Encik Lee.
Noah senyum lagi. Walaupun sudah tua-tua begitu, Mei Cheah masih lagi mahu menyendukkan nasi buat cucu tersayang. "Tak ada perempuan suka pun tak apalah! Yang penting Noah ada nenek," jawab lelaki itu dengan tawa kecil membuatkan neneknya turut tersenyum sama.
Pa, wo zai jia! (Ayah, saya dah balik!)
Wo zhen de duibuqi. (Saya benar-benar minta maaf.)
Pa, ni hao ma? (Ayah sihat?)
Ni bie danxin! (Kamu jangan risau!)
YOU ARE READING
Satu Hari Nanti [ TERBIT ]
RomanceMarissa Safiyyah dan Noah Lee tidak pernah terfikir akan jatuh cinta. Sehingga takdir kembali menemukan mereka. SUDAH TERBIT JUN 2019! #30 Indonesia (as of 18.09.2020) #1 Islam (16.12.2021)