Bab 16: Pulang Kampung

674 31 0
                                    

Bab 16

TEPAT jam 9.00 pagi, Noah terus mengatur perjalanannya ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta Proton Saga berwarna merahnya itu.

Sebelum itu, dia sempat singgah di stesyan minyak yang terdekat untuk mengisi minyak serta membeli beberapa jenis kacang serta kudapan lain untuk menemaninya di sepanjang perjalanannya nanti.

Dia memang sudah biasa membawa keretanya untuk berjalan jauh tetapi satu kelemahannya ialah dia mudah bosan. Oleh sebab itulah dia perlukan snek ringan untuk menghilangkan rasa mengantuknya nanti.

Sebaik saja dia mengisi minyaknya, enjin kereta dihidupkan semula. Keretanya kembali meluncur di atas lebuh raya. Pendingin hawa dipasang di tahap minimum kerana cuaca pada pagi itu masih lagi dingin dan dia cukup tidak suka dengan keadaan yang terlampau sejuk.

Noah mengerling ke kiri dan kanannya untuk melihat keadaan lebuh raya yang sedikit lengang itu. Mujurlah tidak ada banyak kereta di pagi Rabu itu kerana dia cukup tidak suka dengan kesesakan di lebuh raya.

Pernah sekali sewaktu dia hendak pulang ke kampungnya di Pulau Pinang untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama ayah dan neneknya, dia tersekat di Terowong Menora hampir dekat dua jam!

Setenang-tenang Noah pun, boleh jadi panas baran juga dia apabila tersekat dua jam di dalam keretanya begitu. Dia tidak habis-habis menyalahkan dirinya malam itu kerana pulang sehari sebelum Tahun Baru Cina. Semuanya kerana dia terlampau pentingkan kerjanya.

Dia bergegas mencari telefon bimbitnya lalu nombor telefon ayahnya didail. Lama dia menunggu ayahnya untuk mengangkat panggilan telefon itu namun tidak juga diangkat. Noah berkerut sedikit sambil mengerling ke arah jam digital di meternya.

Sudah jam 10.00 pagi jadi tidak mungkin kalau ayahnya belum bangun tidur lagi. Panggilan itu kemudiannya mati dan Noah terus mendail kembali.

Dia menunggu dengan penuh sabar dan akhirnya tersenyum lega saat panggilan telefon itu terjawab juga. "Wei? Noah, shi ni ma?" tanya Encik Lee dengan senyuman di bibir saat mengangkat panggilan telefon anaknya.

Tadi, dia berada di dapur untuk bersarapan dengan ibunya dan tidak perasan akan panggilan telefon anaknya itu.

Noah hela nafas perlahan. "Pa, shi wo. Wo dui wo de fangshi lai Pulau Pinang. Baru masuk lebuh raya saja ni," jelas lelaki itu dengan tenang. Begitulah dia dengan ayahnya.

"Ya ke? Kenapa tak beritahu papa awal-awal? Bolehlah papa dan nenek kamu pergi ke pasar untuk belikan ketam kegemaran kamu tu," kata Encik Lee lagi dalam nada gembira. Seronok rasanya mendengar khabar yang anaknya itu akan pulang ke kampung.

"Tak payah susahkan diri, papa. Noah balik Pulau Pinang pun sebab ada konferens di Balik Pulau. Noah tak pasti sama ada Noah boleh balik ke Tanjung Tokong ataupun tidak."

"Tak balik Tanjung Tokong?"

"Tak pasti boleh balik ke tidak."

"Haiya, hui jia lah Noah! Nenek kamu sudah rindukan kamu!"

Noah tergelak kecil dan menggeleng tidak percaya. Ayahnya memang selalu begitu. Setiap kali mereka bercakap di telefon, lelaki tua itu pasti akan menyuruhnya balik dengan menggunakan neneknya sebagai alasan. Bukannya apa, ego seorang lelaki itu masih lagi ada di dalam diri ayahnya.

Di mulut kata tidak, tetapi di hati kata mahu. Dia selalu mahukan anaknya untuk kembali bekerja di Pulau Pinang supaya mereka lebih kerap berjumpa dan dapat menghabiskan masa bersama dengan memancing ikan seperti waktu dahulu.

Noah mengeluh perlahan. "Hao. Wo hui jinliang hui jia! Pastikan nenek masak ketam cili kegemaran Noah bila Noah balik nanti," ugut lelaki itu dalam nada bergurau membuatkan Encik Lee turut tergelak sama.


SUDAH tiga hari Safiyyah berada di rumahnya sejak peperiksaan akhir semesternya tamat tempoh hari. Dia hanya bercuti sebulan dan ayahnya pula tidak membenarkan dia keluar bekerja sambilan.

Imam Hassan mahu anak perempuannya itu tetap di rumah memandangkan Safiyyah hanya bercuti sebulan. Di waktu pagi saat adik-adiknya pergi ke sekolah, Safiyyah akan mengikuti Ummi Salmah ke pusat pemulihan untuk mengajar mengaji.

Usai mengajar mengaji dan memastikan remaja-remaja tadi sudah pulang ke asrama masing-masing, Safiyyah melangkahkan kakinya ke arah kereta Honda Accord milik Ummi Salmah.

Ummi Salmah masih lagi berada di dalam pejabat untuk berbincang dengan pengetua sekolah juvana itu tentang aktiviti yang bakal mereka kendalikan. Safiyyah membuat keputusan untuk menunggu saja di dalam kereta.

Dia menghidupkan enjin kereta lalu memasang pendingin hawa ke tahap maksimum. Jam di tangan dikerlingnya pantas  untuk melihat waktu. Sudah hampir tiga jam dia di situ untuk sesi perkongsian ilmu bersama dengan pelajar-pelajar sekolah juvana itu yang rata-ratanya dalam kalangan remaja.

Sedang dia leka menunggu Ummi Salmah, Safiyyah terlena sejenak dan wajah Noah serta-merta muncul di fikirannya. Gadis itu terus terjaga daripada lelap serentak itu beristighfar di dalam hati.

Dia menggelengkan kepala tidak percaya sambil dahinya berkerut sedikit. Otaknya ligat memikirkan kenapa lelaki itu boleh masuk ke dalam fikirannya walaupun sudah hampir dua minggu juga mereka tidak berjumpa.

Kali terakhir dia bersua muka dengan Noah adalah seminggu sebelum minggu peperiksaan akhir semesternya. Waktu itu Noah sedang menikmati minum petangnya bersama dengan Jiha di kafe.

Bukan main mesra lagi mereka berdua petang itu ditambah pula dengan deruan angin sepoi-sepoi bahasa. Ada satu perasaan janggal tiba-tiba merangkak naik ke jantung Safiyyah saat dia kembali teringatkan kejadian tempoh hari.

Gadis itu terasa sesak nafas seketika. Tangannya terus menggengam hadapan tudungnya sambil dia menghela nafasnya perlahan. "Buang perasaan tu Safiyyah. Ingat pesan ummi dan abah. Ikut kata hati mati," katanya lagi sambil mengingatkan dirinya untuk tidak lagi berfikir tentang Noah.

Safiyyah tidak bodoh. Sebenarnya perasaan itu sudah mula berputik ke arah bibit-bibit cinta yang entah daripada mana datang asal-usulnya pun Safiyyah tidak tahu. Dia sebenarnya buntu dengan perasaannya sendiri.

Terlanggar Noah di hadapan masjid, kelas Prof Nassier, makan tengah hari di kafe, menunggu hujan berhenti di hentian bas dan akhir sekali kejadian di klinik universitinya.

Perkenalan mereka hanya kebetulan semata-mata. Hatinya makin berbunga-bunga saat melihat kehadiran lelaki itu di dewan auditorium bulan lepas. Safiyyah terasa dadanya semakin sesak.

"Tapi, Ibrahim dah lama menunggu aku," katanya lagi pada diri sendiri. Dia mengeluh berat saat mindanya mula memikirkan tentang lamaran oleh si imam muda yang seorang itu pula. Safiyyah jadi serba salah.

Wajarkah dia menolaklamaran seorang lelaki yang nyata sudah punya segala kriteria yang dia mahukansebagai seorang suami yang soleh dan diyakini boleh membimbingnya untuk menjadiseorang isteri yang solehah untuk seorang lelaki yang dia sendiri tidak kenaliperibadinya seperti Encik Noah Lee?

***

Wei? Noah, shi ni ma? (Helo? Noah ke tu?)

Pa, shi wo. Wo dui wo de fangshi lai Pulau Pinang. (Ya, ayah. Ini saya. Saya dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang.)

Haiya, hui jia lah Noah! (Baliklah rumah, Noah!)

Hao. Wo hui jinliang hui jia! (Baiklah. Saya balik rumah.)

Satu Hari Nanti [ TERBIT ]Where stories live. Discover now