Bab 9
MULANYA Safiyyah tidak berapa berminat untuk melihat lelaki yang baru masuk ke dalam kelas tadi, mengikuti betul-betul di belakang langkah pensyarahnya yang berasal dari Jordan itu.
Dia menoleh sekejap sekadar untuk memandang wajah lelaki itu tetapi tiba-tiba timbul rasa curiga di dalam hati. Dahi Safiyyah berkerut dan dia terus memandang lelaki yang kini sudah berdiri di hadapan kelas bersama pensyarahnya.
"Amboi, Safiyyah. Pandang sampai tak lepas nampak," tegur Sabrina dalam nada bergurau membuatkan Safiyyah terus terjaga daripada lamunannya.
Pipi sudah mula merona merah apabila dia disergah begitu. "Ta.. tak adalah! Mana ada aku pandang dia," balasnya dalam malu-malu tapi dia curi pandang juga ke arah lelaki di hadapan kelasnya itu.
Encik Nassier berdehem perlahan, cuba untuk mendapatkan perhatian para pelajarnya. Yang lelaki sudah buat muka tidak puas hati apabila melihat pelajar perempuan yang lain sudah berminat dengan lelaki yang baru masuk ke dalam kelas mereka.
Apabila kelas itu senyap, Encik Nassier senyum kemudian menganggukkan kepalanya ke arah Noah. Noah senyum dan mula menyapa seluruh kelas apabila diberi lampu hijau oleh rakannya.
"Nama saya Noah Lee dan saya kawan lama pensyarah awak. Kami sama-sama belajar di UTM 10 tahun yang lepas. Saya seorang jurutera IT dan sedang bekerja di salah sebuah syarikat IT terkenal di ibu kota," terang Noah panjang lebar.
Dia hanya mengukir senyuman tatkala melihat pelajar-pelajar perempuan yang sudah mengenyit mata ke arahnya. Baru saja beberapa ayat dia tuturkan kepada meraka semua tetapi hampir kesemua pelajar perempuan di dalam kelas itu sudah pun tersenyum puas.
"Dah kahwin atau masih bujang, Encik Noah Lee?" soal seorang pelajar perempuan yang duduk di belakang sekali tiba-tiba sambil tergelak kecil dengan kawan-kawannya.
Noah turut tergelak sama. Dia tersipu-sipu malu dan akhirnya bertindak menjawab soalan yang diajukan oleh pelajar perempuan tadi. Walaupun yang bertanya itu orang Melayu, dia tetap membalas dalam bahasa Inggeris memandangkan ada tiga atau empat orang di dalam kelas itu nampak jelas bukan warganegara Malaysia.
"Masih bujang. Muda lagi. Baru 28 tahun," jawab lelaki itu ringkas.
Nassier mula mencekak pinggang apabila melihat tingkahlaku pelajar-pelajar perempuannya yang sudah mula naik kepala, menanya yang bukan-bukan kepada Noah. Dia kembali ke sisi bekas rakan sekerjanya itu lalu menepuk-nepuk bahu Noah perlahan.
"Noah dan saya pernah bekerja di syarikat sama beberapa tahun yang lalu sewaktu kami baru tamat belajar. Noah pemegang ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan perisian. Ya kan, Noah?"
"Ya, betul."
"Noah juga mahir dalam bidang programming technology, computer basics and JAVA technology. Kalau awak semua nak tahu, kawan saya ini digelar 'computer genius' sewaktu di universiti dahulu," tambah Encik Nassier lagi lalu mempelawa Noah untuk duduk di kerusi yang telah disediakan.
Safiyyah terdiam sejenak apabila Noah mula menerangkan tentang bidang kerjanya kemudian membuka komputer ribanya untuk menunjukkan slaid yang telah dia sediakan.
Dia tidak pernah berdiam diri di dalam kelas kerana selalunya ada saja yang dia hendak bertanyakan kepada pensyarahnya.
"Tak ada soalan daripada awak hari ini, Safiyyah? Pelik." Tiba-tiba, pensyarahnya bersuara membuatkan Safiyyah sedikit terperanjat. Dia terus membetulkan duduknya.
Jiha di sebelahnya bertindak menyiku lengannya dari bawah meja. Terus Safiyyah terbangun daripada duduknya. "Sebenarnya, saya ada soalan nak tanya Encik Noah." Matanya terus terpandang ke arah Noah yang sudah berdiri di hadapan kelas. Berdebar-debar jantungnya saat Noah mengukir segaris senyuman buatnya.

YOU ARE READING
Satu Hari Nanti [ TERBIT ]
RomanceMarissa Safiyyah dan Noah Lee tidak pernah terfikir akan jatuh cinta. Sehingga takdir kembali menemukan mereka. SUDAH TERBIT JUN 2019! #30 Indonesia (as of 18.09.2020) #1 Islam (16.12.2021)