Bab 1: Assalamualaikum, Cinta!

3.1K 73 1
                                    

Bab 1

"ASSALAMUALAIKUM, Safiyyah. Kaifa haluki?"

"Alhamdulillah, ana bikhair."

" Anti min mahallah?"

"Laa, ana min al-maktabah. Baru habis perbincangan berkumpulan untuk kertas kajian semester akhir ini," kata Marisa Safiyyah sambil tersenyum manis kepada bekas rakan sekelasnya.

Mereka berdua bersalaman dan bertukar pelukan dan ciuman di pipi. Sudah lama juga dia tidak bertemu dengan gadis itu selepas sudah tidak sekelas sewaktu dia di tahun keduanya.

Mereka berdua mula bersembang rancak di hadapan kuliyyah sambil bergurau senda. Menyedari yang jarum jam di tangan sudah menginjak ke nombor tiga, Safiyyah meminta untuk mengundur diri kerana khuatir terlepas bas.

"Nanti bila-bila anti lapang, telefonlah ana! Boleh kita berjumpa lagi," kata bekas rakan sekelas Safiyyah.

Safiyyah mengangguk tanda setuju. "Insha ALLAH. Tak ada masalah!" Mereka bertukar pelukan sekali lagi lalu membawa haluan masing-masing.

Safiyyah melangkah pantas ke arah hentian bas yang terdekat kerana dia sudah terlewat untuk pulang ke rumah. Begitulah rutin hariannya setiap minggu.

Isnin hingga Jumaat di universitinya manakala hujung minggu pula di rumah orang tuanya di Bangsar. Dia amat bertuah petang itu apabila ada sebuah bas datang menghampirinya sebaik saja dia sampai di hentian bas.

Setelah bas itu berhenti dan membuka pintunya, semua pelajar yang sedang menunggu termasuk Safiyyah dengan pantas memanjat naik ke dalam bas.

Safiyyah membawa keluar kad Rapid KL-nya dan menyentuhkannya pada mesin sebelum bergerak ke belakang bas di mana ada lagi dua atau tiga tempat kosong.

Dia mengeluh keletihan. Sepanjang minggu ini dia agak sibuk dengan tugasan kuliahnya juga pembentangan projek yang masih lagi tertunda. Ada lagi dua atau tiga kertas kerja yang masih perlu diperbaiki dan dia sudah kesuntukan masa.

Kerana itulah dia sering berjaga malam untuk menyiapkan kerjanya dan kadang-kadang terlelap sebentar sewaktu di dalam kelas kerana terlampau mengantuk.

Safiyyah sedang leka berfikir sambil melontarkan pandangannya ke luar tingkap. Tiba-tiba, dia terdengar telefon bimbit Nokia 3310-nya berbunyi.

"Assalamualaikum abah. Ya, Safiyyah dalam perjalanan balik ke rumah ni. Baru saja naik bas," kata gadis itu sambil tersenyum.

"Kenapa lambat sangat naik bas? Dah dekat pukul 5.00 petang ni! Safiyyah dah solat Asar ke belum, nak?"

"Dah, abah. Sebelum keluar universiti tadi Safiyyah dah solat dulu dekat masjid."

"Baguslah kalau dah solat Asar. Nanti abah suruh Angah ambilkan kamu di stesen LRT, ya?"

"Ya, abah."

Safiyyah memberi salam sekali lagi sebelum meletakkan panggilan. Dia simpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket baju kurung sebelum melangkah keluar dari bas yang baru tiba di stesen LRT Gombak.

Setelah menambah nilai kad Rapid KLnya yang sudah kehabisan baki, dia melangkah ke arah platform di tingkat satu. Kedengaran bunyi LRT yang baru tiba membuatkan langkah Safiyyah semakin laju.

"Nasib baik sempat," katanya separuhnya berbisik sebelum berjalan masuk ke dalam ruang LRT yang sejuk dengan pendingin hawa.

Safiyyah duduk di koc hujung sekali kerana dia suka dapat melihat trek. LRT mula bergerak dan dia membawa keluar Al-Quran mininya dari dalam beg galas supaya masa lapangnya terisi.

Satu Hari Nanti [ TERBIT ]Where stories live. Discover now