Bab 19
PAGI itu, Safiyyah dan adik-adiknya bangun awal pagi kerana sudah terlebih seronok memikirkan yang mereka sekeluarga akan ke Singapura untuk bercuti selama tiga hari.
Solehudin baru saja pulang daripada menghantar isterinya ke tempat kerja dan selepas ini akan ke lapangan terbang pula untuk menghantar ayah, ibu serta adik-adiknya untuk ke Singapura.
Safiyyah yang paling tua di situ bertanggungjawab untuk memastikan semua kelengkapan mereka cukup. Dia memeriksa pasport adik-adik serta ibu dan ayahnya.
"Angah dah masukkan barang-barang semua dalam kereta?" Safiyyah menanya saat melihat abangnya itu melangkah masuk ke dalam rumah dengan tangan kosong.
Solehudin angguk. "Sudah, Angah dah masukkan semua beg dekat dalam kereta. Safiyyah periksa dulu kalau ada beg yang tertinggal. Angah nak minum air sekejap," kata lelaki itu lagi sambil mengatur langkahnya ke ruang dapur untuk mendapatkan segelas air sejuk.
Safiyyah menoleh ke kiri dan kanannya untuk memeriksa jikalau ada beg-beg lain yang tertinggal. Setelah memastikan yang semua beg baju dia dan adik-adik sudah dibawa masuk, dia mengangguk puas kepada dirinya sendiri.
Gadis itu mula melangkah ke luar rumah lalu menunggu abangnya untuk keluar juga. Sambil diperhatikan oleh Solehudin, Safiyyah mengunci semua pintu pagar yang ada di rumah itu kemudian tersenyum lagi.
"Okey, dah kunci semua pagar. Kita boleh pergi sekarang," kata gadis itu lagi kepada abangnya sebelum melangkah masuk ke dalam kereta Toyota Avanza milik ayahnya.
Imam Hassan dan Ummi Salmah sudah pun menunggu di dalam kereta bersama Adam dan Fateema yang seronok duduk di kerusi paling belakang. Kereta Avanza milik Imam Hassan kini laju meluncur di atas jalan raya.
Safiyyah melontarkan pandangannya ke luar tingkap. Dia kenangkan zaman dahulu sebelum kehadiran adik-adiknya. Dialah yang paling manja di dalam keluarga mereka.
Kalau abang sulungnya menegur atau memarahinya, pantas saja Safiyyah mengadu pada Imam Hassan dan Ummi Salmah. Bukannya dia tidak sayang pada abang-abang dan kakaknya, Safiyyah sekadar ingin bermanja.
Dia tidak seperti abang-abang dan kakaknya yang cukup berilmu dalam selok-belok Islam. Sememangnya dia dididik oleh Imam Hassan dan Ummi Salmah sejak kecil lagi untuk taat akan perintah Tuhan serta berbakti kepada agama. Safiyyah tidak pernah merasa yang semua itu adalah suatu paksaan.
Dia gemar membaca kitab-kitab agama kerana dia mahukan ilmu. Namun begitu, ada yang melabelnya sebagai seorang Muslimah sejati hanya kerana dia anak seorang imam masjid.
Dia tidak mahu ayahnya dilihat sebagai simbol yang sebegitu rupa kerana masih banyak lagi yang perlu dia pelajari tentang agamanya sendiri.
Dia tidak mahu dilabel seorang Muslimah sejati hanya kerana dia solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, bersedekah, membayar zakat atau memakai tudung labuh saja.
Seorang Muslimah sejati itu harus punya kesedaran tinggi terhadap agamanya. Seorang Muslimah sejati itu harus punya tanggungjawab moral terhadap saudara seagama dengannya.
Seorang Muslimah sejati harus punya kesedaran diri tentang posisinya dalam menegakkan tiang agamanya. Safiyyah tidak rasa yang dia sudah menguasai mana-mana ciri itu lagi. Masih banyak yang perlu dia perbaiki diri.
"Amboi, jauh betul dia merantau. Dah sampai ke mana cik kak oi?" tanya Solehudin dalam nada bergurau saat dia membuka pintu kereta lalu membantu Ummi Salmah keluar dari kereta.
Safiyyah terus terjaga daripada lamunan saat dia disergah oleh Solehudin. Adam dan Fateema yang duduk di belakang juga sedang mentertawakannya.
"Lajunya Angah bawa kereta. Dah sampai KLIA ke?" tanya gadis itu pula lalu menoleh ke kiri dan kanannya.
YOU ARE READING
Satu Hari Nanti [ TERBIT ]
RomanceMarissa Safiyyah dan Noah Lee tidak pernah terfikir akan jatuh cinta. Sehingga takdir kembali menemukan mereka. SUDAH TERBIT JUN 2019! #30 Indonesia (as of 18.09.2020) #1 Islam (16.12.2021)