Bab 18: Cinta Monyet

691 23 1
                                    

Bab 18

"ABAH rancang nak bawa kita semua ke Singapura minggu hadapan untuk bercuti," kata Imam Hassan usai makan malam bersama anak-anak dan isterinya malam itu.

Dia menghirup perlahan kopi panas yang disediakan oleh Ummi Salmah sewaktu mereka semua meluangkan masa bersama di ruang tamu. Safiyyah dan adik-adiknya terus tersenyum lebar apabila mendengar pengumuman yang dibuat oleh ayah mereka.

"Betul ke ni abah? Kita sekeluarga nak pergi bercuti dekat Singapura," tanya Safiyyah sekali lagi untuk mengesahkan kata-kata ayahnya tadi.

"Betullah. Kenapa pula abah nak tipu Safiyyah? Tapi, kita pergi berlima sajalah sebab Angah tak dapat nak ikut sekali. Dia kena jaga isteri dia di sini. Lagi pun Kak Fina kamu tak dapat cuti."

"Iyalah, betul juga tu. Kita nak pergi Singapura berapa hari abah?"

Imam Hassan senyum lalu mengangguk kecil. Cawan berisi kopi tadi kini sudah kosong lalu dia letakkan kembali ke atas meja. "Kita pergi sana tiga hari dua malam. Abah dah tempah hotel di sana," kata lelaki tua itu lagi lalu mengusap kepala Fateema yang sudah menyanyi tanda seronok.

Safiyyah tergelak kecil. Jadi tidak sabar pula rasanya apabila Imam Hassan membuat keputusan untuk membawa dia dan adik-adik ke Singapura untuk bercuti.

Tambahan pula, adik-adiknya akan bercuti seminggu mulai Jumaat nanti untuk cuti pertengahan tahun. Sudah lama juga mereka tidak bercuti sekeluarga.

Semenjak abang-abang dan kakaknya mendirikan rumah tangga, sejak itu jugalah mereka adik-beradik sudah jarang bercuti sekali. Semua sudah punya komitmen masing-masing.

Safiyyah pula sering ke luar negara untuk pertandingan debat antarabangsanya. Tiga tahun berturut-turut dia ke negara orang untuk berdebat dan tiga tahun jugalah jadualnya sering penuh dengan jemputan ke majlis-majlis forum perdana serta temubual untuk suratkhabar.

Memandangkan semester depan adalah semester terakhirnya di universiti, Safiyyah akhirnya mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada bakat-bakat baru untuk menggantikan tempatnya.

Melihat Imam Hassan yang sedang bersembang dengan Solehudin, Safiyyah mengambil keputusan untuk mengajak Adam dan Fateema turut naik bersamanya.

Mereka semua menuju ke kamar tidur Safiyyah untuk tidur bersama namun ditegah oleh Safiyyah saat mengerti yang Adam kini sudah berumur 9 tahun dan harus dipisahkan tempat tidurnya dengan Fateema.

"Kak Safiyyah, apa yang menarik ada di Singapura? Fateema dah tak sabar nak bercuti ke Singapura," kata adik perempuannya itu manja saat Safiyyah menarik kain selimut untuk menutupi separuh badan anak kecil itu.

Safiyyah tergelak kecil. Dia tidak berapa ingat apa yang ada di sana kerana dia juga baru ke sana sekali. Itu pun atas tujuan pertandingan debatnya. "Ada banyak bangunan besar-besar, tinggi dan makanan dia sedap-sedap!" kata gadis itu sambil tersenyum.

"Ya ke Kak Safiyyah? Wah, seronoknya kalau macam tu!"

"Memanglah seronok! Tapi, kena tunggu Fateema dan Adam cuti sekolah dululah."

"Sekolah tinggal 3 hari saja lagi, kan?"

"Iya, jadi cepat tidur. Esok nak sekolah! Kalau tak pergi sekolah, tak dapat cuti. Boleh cakap selamat tinggal sajalah dekat Singapura kalau tak dapat cuti nanti."

Fateema terus menggeleng laju, lalu menarik kain selimut ke paras dadanya. Setelah Safiyyah mematikan suis lampu dan hanya cahaya daripada lampu mejanya saja yang menyala, akhirnya adik perempuannya itu tertidur juga.

Safiyyah terus melangkah ke bilik air untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat sunat Tahajjud dan solat sunat hajat. Sudah menjadi kebiasaannya hampir setiap malam untuk melakukan dua solat sunat itu.

Satu Hari Nanti [ TERBIT ]Where stories live. Discover now