Bab 12: Angau!

771 32 0
                                    

Bab 12

NOAH bangun awal pada pagi itu dengan senyuman di bibir. Entah kenapa hatinya terasa senang dan dada terasanya lapang. Mungkin sebab dia sudah berjaya menandatangani satu lagi projek dengan sebuah syarikat swasta dari Singapura semalam. Mungkin juga sebab Audrey bakal berkahwin hujung minggu ini.

Atau mungkin saja kerana sekaki payung berwarna putih lutsinar yang sedang tersandar elok di tepi almari bajunya. Noah tergelak sendiri kemudian menggeleng tidak percaya.

Kain tuala dia sangkutkan di belakang pintu bilik mandi. Butang air pancuran ditekannya lalu dia berdiri di bawah kepala air pancuran dengan kedua matanya tertutup.

Dia menikmati air pancuran yang sejuk itu mengalir di atas tubuhnya yang tinggi lampai itu. Agak lama dia begitu lalu akhirnya dia mencapai pula botol sabun dan shampu.

Lima belas minit kemudian, Noah kembali semula ke bilik tidur dengan tubuh yang sudah segar. Dia mengatur langkahnya ke ruang dapur pula.

"Awalnya kau bangun hari ni," sergah Armann daripada belakang, membuatkan Noah melompat sedikit. Dia letakkan dua bungkus nasi lemak berserta beberapa ketul kuih yang dia beli tadi ke atas meja.

Noah urut dada. "Ingatkan tak bangun lagi. Kau pergi mana?" tanya lelaki itu lagi kemudian terus terliur saat melihat dua bungkus nasi lemak yang dibeli oleh Armann tadi. Dia terus melabuhkan punggungnya ke atas kerusi.

"Turun bawah beli nasi lemak dekat makcik seberang jalan itulah."

Noah dan Armann sudah duduk di meja makan lalu dengan rakusnya membuka bungkusan nasi lemak yang dibaluti dengan daun pisang. Armann capai cawan kosong di atas meja lalu menuangkan air teh panas yang dibuat oleh Noah sebentar tadi.

Noah dan Armann terus menyuap nasi lemak itu ke dalam mulut mereka. "Hari ni aku carpool dengan kau lagi boleh tak?" Armann mula menanya sambil tangannya masih lagi sibuk menyuap nasi lemak ke dalam mulut. Lapar benar dia rasa pagi ini.

Noah geleng perlahan. "Aku baru ingat nak pergi kerja naik LRT hari ni," jawabnya ringkas sambil menjilat-jilat jarinya yang sudah penuh dengan sambal. Berselera betul dia makan nasi lemak pagi ini.

"Rasa malas pula aku nak naik LRT hari ni."

"Kalau kau nak pakai kereta tu pakai sajalah."

"Tak sedaplah macam tu, Noah. Kereta kau tapi aku pula yang naik sedangkan kau naik LRT."

"Kalau macam tu naik LRT sekali dengan aku," tambah Noah lagi dalam nada selamba.

Dia menghabiskan baki nasi lemaknya dengan suapan terakhir sebelum mencapai gelas air kosong. Air itu diteguknya perlahan untuk meredakan kepedasan yang terasa di tekak.

Armann pelik melihat sikap Noah pagi ini. Lelaki itu asyik tersenyum saja dan siap berterima kasih lagi apabila dia membawa pulang dua bungkus nasi lemak buat sarapan mereka pagi itu. Siap buatkan air teh lagi untuk mereka berdua.

"Okey, kejap. Ada yang tak kena ni." Armann berkata tiba-tiba saat Noah sedang sibuk membasuh tangannya di sinki.

Noah terus berpaling ke belakang lalu menjungkitkan kening. "Apa yang tak kena?" Dia menanya teman serumahnya itu sambil mengelap tangan yang masih basah menggunakan kain kering yang tersangkut di dinding.

"Kau nampak lain macam je hari ni."

"Apa yang lain macamnya? Aku sama aje macam hari-hari lain."

"Aku perasan yang semenjak dua menjak ni kau dah lain sikitlah, Noah. Kau selalu pergi kerja awal lepas tu dah jarang naik kereta. Kau dah tak berkira dengan aku lepas tu kau bangun Subuh lagi awal daripada aku."

Noah tergelak kecil. "Mak aku pesan kalau nak cari rezeki kena bangun awal pagi, Man! Takkan kau tak tahu," tanyanya selamba sambil mengatur langkah ke ruang tamu untuk menonton berita pagi di televisyan.

Armann masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Noah. Dia berlari-lari anak pula ke ruang tamu lalu melabuhkan punggungnya di atas sofa.

"Eh, dia pula nak ajar kita konsep rezeki. Okeylah, yang itu aku setuju dengan kau. Tapi, ada sesuatu yang aku musykil sikit ni." Dia menggaru-garu dagunya sedikit.

"Apa dia lagi, Man oi?"

"Aku perasan kau selalu balik kerja awal tapi bila aku sampai rumah, kau tak ada juga dekat rumah. Kau pergi mana lepas keluar dari pejabat? Kau pergi dating dengan Sally ya, Noah?"

"Sejak bila pula aku dengan Sally tu bercinta? Jangan buat cerita yang tak betullah, Man. Fitnah tahu tak? Aku balik lambat tu pun sekali je sebab aku ada meeting dengan klien dekat Wangsa Maju. Alang-alang dah dekat sana, aku pergilah jenguk kawan aku dekat Gombak."

Armann tepuk tangannya kemudian bingkas bangun daripada duduknya. Dia berdiri di depan Noah dengan tangan yang sudah bersilang di dada. Dia tersenyum penuh makna.

"Gombak lagi? Aku dah agak dah! Kau ni dah tangkap cintan dengan budak universiti itu kan, Noah?" tanyanya lagi.

"Aku tak ada masa nak bercinta dengan budak universiti."

"Kau jangan tipu akulah, Noah! Aku kenal betul kau ni macam mana. Bila kau dah mula minat dekat seseorang tu, kau kejar dia sampai tak ingat dunia! Betul tak cakap aku?"

Noah sekadar tergelak kecil kemudian menggeleng kepala tidak percaya. Dia nak kejarkan si Safiyyah? Tak mungkin! Gadis seperti Safiyyah semestinya bukan ciri-ciri materialnya.

Bukannya dia ingin mengatakan yang Safiyyah tidak layak untuknya tetapi dia punya kesedaran diri. Dia tidak akan pernah layak untuk gadis sebaik Safiyyah. Tetapi, ada sesuatu tentang Safiyyah yang sering menarik minatnya untuk lebih memahami personaliti gadis itu yang agak tertutup.

Satu Hari Nanti [ TERBIT ]Where stories live. Discover now