bab 2

26.8K 635 12
                                    

Selang dua hari, Rahimah sudah seperti sediakala. Bangun saja waktu pagi, dia terus mengetuk kasar pintu bilik Liana Qasha. Suaranya saja dah boleh didengari seluruh Penduduk kampung. Mana boleh dia biarkan Liana Qasha bersenang-lenang dan goyang kaki di dalam rumah peninggalan arwah Ramlan ini.

Bagi Rahimah,untung juga Ramlan tak ada. Tak payah dia nak bersikap hipokrit depan Ramlan. Sakit sangat hatinya kalau dia terpaksa berlembut-lembut dengan Liana Qasha. Geli-geleman rasanya.

"Hoi,budak sial! Bangun!" Jerit Rahimah sambil menggodam pintu bilik Liana Qasha berkali-kali. Hampir roboh pula pintu itu diketuk sekuat hati.

Liana Qasha yang baru bangun terpisat-pisat menuju ke arah pintu. Tak sempat langsung rambutnya yang panjang itu diikat. Kalau lagi lambat dia buka pintu, memang nahaslah jawabnya.

Perlahan-lahan Liana Qasha membuka engsel pintu biliknya. Belum sempat dia memulas tombol pintu, Rahimah telah pun menolak kasar dari luar. Dengan tidak semena-mena dahi Liana Qasha terhantuk kuat ke bucu pintu yang ditolak kasar dari luar. Liana Qasha duduk terhentak dan tak sempat berpaut pada meja solek. Terus rasa mengantuknya hilang. Dahi yang mula terasa sengal dipekap dengan telapak tangan. Benjol mula kelihatan di dahi. Ya Allah! Sakitnya!.

"Padan dengan muka kau! Itulah,apasal kau lembap sangat nak bukak pintu! Kau ingat kau tu boleh bersenang-lenang ke? Ha!" Rahimah sudah menunjal kepala Liana Qasha tanpa sempat gadis itu bangun semula daripada terduduk tadi.

Liana Qasha hanya diam tidak melawan. Dia hanya menunduk. Malas pula dia mahu menjawab seperti selalu. Dia masih lemah. Lemah dengan segala apa yang baru sahaja berlaku dalam hidupnya.

"Sekarang ni aku nak kau mandi! Lepas tu aku nak kau cuci sekali baju-baju yang dah berlonggok kat dalam bilik air ni! Senang-lenang kau ya!" Perintah Rahimah sambil menarik rambut Liana Qasha sekuat hati. Apabila dirasakan Liana Qasha tidak bergerak dan hanya mengeraskan tubuh di situ,Rahimah menarik sekuat hati dan terus mengheret Liana Qasha yang terkial-kial mengikut gerak Rahimah sampai ke muka pintu bilik air.

"Aku pantang betul kalau orang degil ni! Lain kali bila aku suruh tu, cepat-cepat buat! Jangan sengaja kau nak lengah-lengah! Aku tak suka! Dahlah aku memang tak sukakan kau! Jangan pulak bagi kau tunjuk perangai kau yang aku tak suka tu!"

Menyeringai wajah Liana Qasha kerana menahan sakit. Sudahlah sedihnya atas kematian ayah masih lagi rasa, ditambah pula dengan perlakuan kasar si ibu tiri.Ah! Malangnya dia bukan Cinderella yang akan menemui puteranya,dibawa pergi daripada semua kisah sedih ini.

Liana Qasha hanya menurut perintah Rahimah. Dia menuju semula ke biliknya dan mencapai tuala yang tergantung di belakang pintu bilik. Sambil itu dia mengumpul semua kain baju yang ada untuk dibasuh. Rahimah hanya memerhati geram dengan tingkah laku Liana Qasha yang serba perlahan. Mahu sahaja rasanya dia tendang-tendang belakang Liana Qasha supaya bekerja pantas sedikit. Rimas!

"Fazrul mana?" Soal Rahimah sambil duduk menyandar di ruang tamu pulak.

Liana Qasha yang berjalan untuk ke bilik air,terhenti seketika. Takut-takut dia menentang pandangan Rahimah.

"Qasha tak tahu, mak. Masuk hari dah lima hari abang Fazrul tak balik,"jawab Liana Qasha perlahan.

"Huh. Itu sorang lagi! Kerjanya menyusahkan aku! Sampai sekarang tak nampak batang hidung. Entah manalah perginya," rungut Rahimah lebih kepada diri sendiri.

Liana Qasha terus berlalu sebelum dimaki lagi oleh Rahimah. Kalau Rahimah sudah mula membebel, sampai malam pun belum tentu dia puas hati memaki Liana Qasha. Buat sakit telinga saja.

"Bilik air tu cuci sekali! Dah berlumut! Geli aku!" Jerit Rahimah.

Liana Qasha hanya mendengar. Setitis air mata jatuh lagi ke pipinya. Masuk sahaja ke dalam bilik air, Liana Qasha melepaskan tangisan sepuas-puasnya. Ayah... Qasha tak tahu sampai bila keadaan nak macam ni. Qasha rasa tak tahan sangat. Tak tahulah sampai bila Qasha akan bertahan. Kalau boleh Qasha nak ikut ayah, rintih Liana Qasha dalam hati.

Liana Qasha melihat dahinya di cermin kecil yang tergantung di dalam bilik air. Dia memicit-micit benjol yang ketara kelihatan. Sesekali Liana Qasha mendesih menahan sakit. Dahinya mula kelihatan membiru. Ah! Terasa malu pula kalau kawan-kawannya mula bertanya.

Liana Qasha tak kisah kalau disuruh melakukan kerja rumah. Malah selama ni pun segala tugas di dalam rumah itu memang dia yang lakukan. Dia cuma tak tahan bila dimaki hamun. Telinga dan hatinya cukup sakit apabila perkataan sial,jahanam,anak tak guna yang keluar dari mulut Rahimah dan Fazrul. Apa yang sial dalam dirinya juga dia tak tahu.

Liana Qasha mengesat air matanya dengan kasar. Dia berharap jangan mengalir lagi air mata itu. Baginya, mengalirkan air mata menandakan seseorang itu lemah. Dia tak nak jadi lemah. Dia kena kuat semangat. Hidup kena teruskan. Dia dah tak ada siapa-siapa untuk bergantung harap.

Dia mula membasuh kain yang bertimbun-timbun. Setiap helai kain digonyoh kuat tanda melepaskan rasa geram dalam hati. Selesai membasuh kain, dia menyental pula bilik air yang memang ternyata kotor dan berlumut sehingga licin berseri. Biar Rahimah puas hati. Biar Rahimah tak akan menjerit-jerit kepadanya lagi.

Rahimah yang sedang bersantai menonton televisyen terkejut apabila Fazrul terus sahaja menerjah masuk. Dia mendengus apabila melihat kelibat Fazrul yang terus sahaja menuju ke dapur.

"Memang anak tak ada adab kau ni! Masuk rumah pun tak bagi salam. Ke mana kau ni, Fazrul? Dah berapa hari tak nampak batang hidung kau?" Soal Rahimah apabila Fazrul ke ruang tamu semula dengan sebotol air mineral di tangan. Air di dalam botol itu diteguk dengan rakus.

Rahimah hanya memandang jengkel anaknya itu. Sakit betul hatinya. Ada anak lelaki pun tak boleh diharap. Nasib baiklah dia mengambil upah menjahit baju. Dapat juga menampung perbelajaan di dalam rumah itu. Razrul pula hanya pandai meminta duitnya. Janji mahu cari kerja, tapi sampai sekarang kerja tak pernahnya dapat. Bila ditanya ada saja alasan yang diberinya.

"Biasalah mak! Tidur rumah kawan. Ada kerja sikit," jawab Fazrul.

"Kerja apa? Mencuri? Merompak?" Soal Rahimah dengan nada sinis.

"Eh, mak ni! Ke situ pulak," jeling Fazrul. Dia duduk bersandar di dinding papan ruang tamu itu. "Adalah kerja sikit."

"Daripada kau buat kerja yang tak berfaedah, lebih baik kau kerja betul-betul, Fazrul. Sekarang ni siapa nak tanggung kita? Ayah kau dah tak ada,"ujar Rahimah. Dia mula mengesat air mata yang mengalir.

Fazrul memandang wajah Rahimah. Ada riak terkejut. Ayah dah tak ada? Tak mungkin. Baru saja lima hari aku tak ada. Tup-tup dah mati orang tua tu?

"Ayah dah tak ada?" Soal Fazrul kembali.

"Ya! Itulah kau. Lima hari kau tak balik,mana kau pergi? Sampai ayah dah meninggal pun kau tak tahu. Ayah kemalangan. Semua sebab budak sial tu!" Marah Rahimah. Dia menjuih mulutnya ke arah bilik air di dapur.

Fazrul tersenyum sinis. Ah! Buat apa aku nak kisah sangat! Bukan ayah aku pun. Ayah aku dah lama mati. Buat membazir air mata aje menangiskan orang lain.

"Yang mak nak sedih sangat ni kenapa?" Soal Fazrul selamba.

Rahimah menoleh terus ke arah Fazrul. Bulat matanya memandang wajah selamba Fazrul. Budak yang tak ada perasaan langsung!

"Mestilah mak sedih. Dia kan suami mak. Kau ni tak ada perasaan ke?" Soal Rahimah. Dia menjeling paras Fazrul yang bersiul-siul. Rasa mahu ditampar sahaja bibir tebal anaknya.

"Dia bukan ayah aku pun mak. Buat apa nak sedih. Lagipun, mak sepatutnya suka tau! Sekarang ni dah tak ada siapa nak ambil tahu pasal Qasha lagi. Tak ada siapa nak bela dia lagi," hasut Fazrul sambil menjongketkan kening kepada Rahimah. Sesekali kepalanya terjengah-jengah ke arah dapur. Tahu pula dia takut kalau Liana Qasha terdengar perbualan mereka.

Rahimah terdiam. Berfikir-fikir sejenak. Betul juga apa kata Fazrul. Sekarang ni aku boleh buat apa aje kat budak tak guna tu. Bukan ada siapa pun yang nak bela dia lagi. Ayah dia pun dah mati. Tak payah lagi aku nak bersemuka-muka.

"Betul jugak tu," jawab Rahimah perlahan. Fazrul pula sudah tersenyum jahat.

Andai Itu TakdirkuWhere stories live. Discover now