Bab 66

7.1K 221 16
                                    

Sudah beberapa hari selepas insiden lamar-melamar itu, Liana Qasha masih lagi begitu. Muram dan sedih saja wajahnya. Mana tidak sedih, Fazrul sentiasa mengganggunya. Tak cukup dengan telefon, dia hantar sms pula.

Hidup Liana Qasha memang tidak tenteram. Bukan dia tak bahagia dengan kata-kata Adrian tempoh hari, tapi dia belum mahu memikirkannya selagi masalah utama tidak selesai.

Adrian dan Mak Cah hanya memandang sayu langkah Liana Qasha masuk ke dalam bilik. Keluhan terdengar di bibir Adrian. Mak Cah hanya memandang penuh simpati. Dia tahu Adrian bosan. Rumah itu juga sudah tak seceria sewaktu mula-mula Liana Qasha datang.

"Tak apa, Andie. Nanti Mak Cah tengok-tengokkan dia," ujar Mak Cah.

Adrian hanya diam tak terkata. Bagi Adrian, kehidupannya yang baru dihiasi warna-warni ceria kini pudar semula. Adrian terus bangun dan sama seperti Liana Qasha, menuju ke biliknya di tingkat atas.

Mak Cah yang melihat juga jadi sedih sama. Tanpa menghabiskan nasi di dalam pinggan, Mak Cah juga turut bangun dan menuju ke dapur. Meja makan dikemaskan. Pinggan-pinggan kotor juga dicuci.

Siap segala tugasnya, Mak Cah menutup lampu dapur. Waktu malam hanya lampu di bahagian tangga sahaja yang terbuka. Langkah Mak Cah terhenti di depan pintu bilik Liana Qasha. Dia nekad untuk masuk. Pintu bilik itu diketuk. Liana Qasha membukanya lambat-lambat. Dia cuba tersenyum ke arah Mak Cah.

"Kenapa Qasha murung ni?" soal Mak Cah.

Liana Qasha berpaling dan duduk di birai katil. Dia menunggu Mak Cah duduk di sebelahnya. Mereka diam seketika melayan perasaan masing-masing. Liana Qasha memintal-mintal rantai emas yang tak pernah tanggal dari lehernya.

"Mak Cah, kalau Qasha jual rantai ni, berapa Qasha dapat?" soal Liana Qasha. Sayu sahaja suaranya.

"Kenapa Qasha nak jual? Seingat Mak Cah, Qasha ada kata yang ni rantai arwah mak Qasha, kan?" sial Mak Cah terkejut dengan tindakan Liana Qasha yang tiba-tiba.

"Qasha nak pakai duitlah Mak Cah," balas Liana Qasha.

"Qasha nak pakai berapa?" soal Mak Cah prihatin. Kalau setakat dua, tiga ratus memang ada dalam simpanannya.

"Kalau boleh Qasha nak guna 10 ribu ringgit," jawab Liana Qasha jujur.

"Hah? 10 ribu ringgit? Mana Mak Cah nak cari? Kalau ratus-ratus tu boleh lagi Mak Cah tolong," ujar Mak Cah. Dia memang terkejut. Liana Qasha nak buat apa dengan duit sebanyak itu?

"Sebab tu Qasha nak jual rantai ni. Agak-agak Mak Cah berapa duit yang Qasha akan dapat?" soal Liana Qasha. Dia memang tak tahu-menahu soal pajak gadai ni.

Mak Cah membelek dan menimbang-nimbang rantai di leher Liana Qasha.

"Qasha, kalau setakat rantai halus macam ni, takkan sampai 10 ribu ringgit Qasha," beritahu Mak Cah.

Kedengaran keluhan kecil dari bibir Liana Qasha.

"Boleh Mak Cah tahu Qasha nak buat apa dengan duit banyak tu?" soal Mak Cah. Dia memandang wajah Liana Qasha yang jelas kelihatan serba salah.

"Qasha, err... Qasha nak pakai. Mak tiri Qasha sakit kuat kat kampung. Kata jiran, mak tiri Qasha kena dibedah. Jadi nak pakai duit." Liana Qasha terpaksa berbohong. Maafkan Qasha Mak Cah. Kalau tak sebab Abang Fazrul, Qasha takkan jadi pembohong macam ni. Entah apalah nasib Liana Qasha lepas ni.

"Ya ke? Kenapa Qasha tak cakap awal-awal? Macam ni, apa kata kalau Qasha pinjam dulu dengan Andie. Andie mesti ada duit. Kalau tak pun, boleh pinjam dengan Datuk Faizal," cadang Mak Cah. Matanya bersinar. Dia memegang lembut bahu Liana Qasha.

Sebut nama Datuk Faizal, Liana Qasha jadi gerun. Dia tak berani dengan bos-bos besar itu. Walaupun Datuk Faizal dan Datin Salma sangat baik, tapi tak sampai ke situ dia nak meminjam.

"Nak ke Encik Adrian tolong Qasha, Mak Cah?" soal Liana Qasha perlahan. Air matanya mahu merembes lagi.

"Mesti! Adrian mesti boleh tolong. Percaya cakap Mak Cah!" balas Mak Cah bersungguh-sungguh. Dia nekad sendiri akan beritahu Adrian pasal perkara ini. Kemurungan Liana Qasha berpunca daripada masalah kewangan. Mak Cah tahu soal duit pasti Adrian tak ada masalah.

"Kalau macam tu, nanti Qasha cakaplah dengan Adrian. Qasha harap sangat Adrian dapat tolong," ucap Liana Qasha.

Nampaknya memang tak ada cara lain selain minta tolong dengan Adrian. Adrian mahu tolong ataupun tidak itu belakang cerita. Apa yang penting dia kena cuba dahulu walaupun dia terpaksa berbohong.

Dia merenung wajah Mak Cah dengan penuh kasih. Kalau tak ada Mak Cah sekarang ini, kepada siapa dia nak mengadu? Liana Qasha memeluk Mak Cah dengan erat.

Andai Itu TakdirkuWhere stories live. Discover now