Bab 67

7.1K 232 11
                                    

Pagi-pagi lagi Liana Qasha sudah bangun. Selesai solat subuh dia terus menuju ke dapur menyediakan sarapan. Mak Cah sendiri pun belum bangun untuk menunaikan solat subuh, Liana Qasha sudah bekerja keras di dapur. Hari ini dia nak masak sarapan untuk mereka. Bihun awal-awal sudah direndam. Kemudian Liana Qasha menyediakan perencah yang lain.

Siap memasak dan menghidangkan di atas meja, Liana Qasha berlari-lari anak pula menuju ke bilik untuk menggosok baju dan seluar Adrian. Kemudian kasut Adrian di dalam rak dikeluarkan dan dikilaskan. Setelah selesai segalanya, Liana menuju ke luar rumah dan menyapu sampah sarap yang berterbangan kerana malam semalam hujan lebat.

Mak Cah hairan dengan semangat baru Liana Qasha. Dia tersenyum. Ini pasti mengenai cadangannya semalam. Tanpa pengetahuan Liana Qasha, semalam lagi selepas menutup pintu bilik Liana Qasha, Mak Cah menuju ke tingkat atas. Dia tahu Adrian masih belum tidur. Dia berada di bilik kerjanya. Mak Cah sudah menceritakan segala-galanya kepada Adrian. Akhirnya Adrian sudi juga membantu Liana Qasha.

"Mak Cah!" tegur Adrian.

Mak Cah yang sedang menuang air ke dalam cawan terkejut dengan teguran Adrian. Mujur air yang dituang tidak tumpah.

"Siapa kilatkan kasut saya tu?" soal Adrian.

"Liana Qashalah, siapa lagi. Pagi-pagi lagi dia dah bangun. Sarapan ni pun dia yang buat. Mak Cah bangun-bangun aje semua dah siap terhidang kat atas meja." Mak Cah tersenyum girang.

"Well, nampaknya Andie kena bayar gaji lebih untuk Qasha," usik Datuk Faizal.

"Mestilah papa, Abang Andie nak bayar 20 ribu ringgit serba satu!" usik Adrena pula.

Pantas Adrian menoleh merenung tajam adiknya. Isy, tak guna betul si Ad ni! Janganlah dia cerita pasal bukan-bukan pasal malam tu.

"Hah! Betul ni? Mama pergi pinangkan. She's better than Eva, Andie," usik Datin Salma pula.

Mak Cah yang mendengar hanya tersenyum meleret dan memandang Adrian penuh makna. Adrian hanya buat muka sedih. Macam tak faham apa-apa.

"Dahlah, Andie nak pergi ofis dulu. Papa nak saing sekali ke apa?" Eleh, nak cover malulah tu!

"Boleh jugak, tapi lain keretalah. Sebab papa nak terus ke rumah Datuk  Johan lepas kerja nanti," balas Datuk Faizal.

Adrian mengangguk faham. Dia bangun dan merapatkan diri ke arah Mak Cah. Dia bisikkan  sesuatu. "Angin dia dah okey kut, Mak Cah?"

"Tapi, Mak Cah tak cakap pun lagi pasal Andie setuju nak tolong dia," balas Mak Cah kehairanan.

"Tak apalah, Mak Cah. Janji dia gembira. Tak adalah muncung panjang sedepa. Ingatkan masalah apabila tadi. Cuma nak pinjam duit aje." Adrian juga turut tersenyum.

Sedang mereka berbual-bual, Liana Qasha muncul di muka pintu hendak masuk ke dalam rumau, tapi tak jadi bila dia lihat Adrian dah nak berangkat ke tempat kerja. Dia tersenyum manis ke arah Adrian dan Mak Cah.

" Qasha buat apa tak henti-henti dari tadi? Mak Cah minta maaf sebab tak sempat nak tolong Qasha. Qasha bangun awal sangat." Mak Cah tersenyum.

Adrian dan Mak Cah mendekati Liana Qasha.

"Tak apalah, Mak Cah. Bukan kerja berat sangat pun," ujar Liana Qasha.

Dia segera mengambil kasut yang dah dikilatkan dan diletakkan di hadapan kaki adrian. Adrian jadi kekok pula bila Liana Qasha terlebih melayan dia. Kalau sebelum ini dia memang suka tapi sekarang tak lagi. Dia tak mahu lagi membuli orang yang mula bertapak dalam hatinya.

"Qasha temankanlah Adrian sampai ke kereta ya. Mak Cah ada kerja kat dapur tu," balas Mak Cah.

Dia terus ke dapur tanpa menunggu kata-kata Liana Qasha selanjutnya. Sengaja Mak Cah membiarkan mereka berdua. Dia pasti Adrian mahu memberikan duit kepada Liana Qasha. Risau pula kalau Liana Qasha segan bila dia berada di situ sekali.

Adrian memandang lembut wajah Liana Qasha. Kelihatan sedikit ceria. Kenapalah kau tak bagi tau aku yang kau nak pakai duit! Jangan kata 10 ribu ringgit, 100 ribu ringgit pun aku sanggup bagi kalau itu yang membuatkan kau kembali tersenyum. Adrian tersenyum melihat Liana Qasha yang terkulat-kulat di hadapannya.

"Qasha," tegur Adrian perlahan.

"Saya, encik," jawab Liana Qasha sopan. Dia memanggung kepala memandang Adrian.

"Tolong ambilkan kot dengan briefcase aku masuk dalam kereta." Lain yang dia mahu buat, lain yang mulutnya berkata.

"Okey," balas Liana Qasha. Laju saja Liana Qasha patuh dengan arahan Adrian. Dia menjinjit briefcase dan kot Adrian lalu dibawa masuk ke dalam kereta. Adrian pula leka memandang Liana Qasha.

"Okey, encik. Selamat jalan. Pandu hati-hati." Seperti biasa memang itulah pesanan Liana Qasha setiap pagi.

"Qasha." Liana Qasha menoleh bila terlihat tangannya disentuh.

"Aku tahu kau perlukan duit. Kebetulan aku memang ada simpan. Ambillah." Adrian meletakkan duit di atas tapak tangan Liana Qasha.

Terus Liana Qasha mencari anak mata Adrian. Dia belum cakap pun lagi yang dia perlukan duit. Ini mesti Mak Cah yang beritahu. Liana Qasha masih merenung anak mata Adrian. Adrian mengangguk perlahan. Kemudian Liana Qasha melihat duit yang berada di tapak tangannya. Terasa menggigil lutut Liana Qasha melihat duit sebanyak itu. Dia tiba-tiba rasa bersalah.

"Err... Encik, tak apalah encik. Encik ambiklah balik duit ni," ujar Liana Qasha.

Wajahnya ketara rasa bersalah. Dia telah menipu Mak Cah. Sekarang dia menipu Adrian pula. Apalah nak jadi dengan kau ni Qasha. Disebabkan Fazrul kau dah pandai menipu orang yang dah berhutang nyawa dengan kau suatu ketika dulu.

"Jangan macam tu. Ambiklah. Mak Cah dah ceritakan kat aku semuanya. Kenapalah kau tak bagi tau aku arah awal? Aku tak suka tengok kau sedih. Menangis sampai bengkak-bengkak mata. Tengok mata kau tu!" Adrian menunjuk ke mata Liana Qasha.

Liana Qasha meraba-raba matanya. Mungkin betul apa kata Adrian. Memang semenjak dua menjak ini dia senang sangat menangis. Menangis mengenangkan Fazrul yang tak berhati perut.

"Terima kasih, encik. Saya janji saya akan ganti duit encik. Encik potonglah daripada gaji saya," kata Liana Qasha bersungguh-sungguh.

"Kau tak payah nak fikir macam mana kau nak ganti balik duit ni. Kau kahwin dengan aku aje cukup," gurau Adrian sambil ketawa. Dia mula membuka pintu kereta.

Liana Qasha terdiam. Lagi sekali Adrian bermain dengan perasaan. Dia pun hampir tergoda dengan gurauan-gurauan nakal Adrian,tapi dia cuba tahan hatinya. Liana Qasha memandang ke dalam rumah. Aku juga mula sayangkan rumah ni. Tak tahu kenapa.

"Aku betul-betul lamar kau ni, Qasha," kata Adrian serius. Merenung jauh ke dalam anak mata Liana Qasha.

Liana Qasha mula tidak tentu arah. Rasa malu mula menerjah hatinya secara tiba-tiba. Dia memandang ke tempat lain. Malu mahu menatap mata Adrian.

"Baik encik pergi kerja sekarang. Nanti lewat pulak sampai pejabat. Terima kasihlah ya, encik! Saya akan bayar balik! Encik jangan risau. Saya mesti bayar. Terima kasih banyak-banyak," ucap Liana Qasha.

"Lepas ni aku tak nak tengok kau menangis lagi. Aku nak tengok kau sentiasa senyum. Practice to be my wife. Cantik-cantik. Senyum sampai telinga. Sambut aku balik kerja dengan minyak wangi satu botol, okey? Mama ada bagi kau perfume, kan?" Adrian senyum menggoda lagi sampai sukar untuk Liana Qasha nak tepis aura cinta yang masuk dalam hatinya.

" Encik janganlah main-mainkan perasaaan saya. Saya malulah. Encik cepatlah pergi kerja. Petang nanti saya tunggu encik balik. "Liana Qasha tersenyum penuh makna.

Adrian senang membalas senyuman Liana Qasha dan masuk ke dalam kereta dengan senang hati.

Liana Qasha pula memandang sayu kereta Adrian bergerak meninggalkan perkarangan rumah. Pergi sahaja Adrian, Liana Qasha kembali memandang duit yang berada di dalam genggamannya. Aku harap lepas ni Abang Fazrul takkan ganggu aku lagi.

Andai Itu TakdirkuWhere stories live. Discover now