Bab 64

7K 225 2
                                    

Kerja Liana Qasha yang sedang melipat baju terganggu dek deringan telefon rumah. Liana Qasha tertinjau-tinjau kalau-kalau Mak Cah yang mahu mengangkat telefon. Nampaknya Mak Cah juga sibuk di dapur barangkali. Liana Qasha bingkas bangun dan menjawab telefon.

"Helo, assalamualaikum," ucap Liana Qasha.

Kedengaran ketawa galak di hujung talian. Liana Qasha mengerutkan dahi. Cuba mengecam suara siapa yang ketawa itu.

"Hai, Qasha," sapa pemanggil itu.

Hampir terlepas ganggang di tangan Liana Qasha. Fazrul! Jantungnya berdegup laju. Macam mana dia tahu nombor telefon rumah ni? Liana Qasha cuba untuk bertenang. Dia harus beritahu Fazrul supaya jangan menganggunya lagi.

"Abang Fazrul," seru Liana Qasha.

Terasa lemah seluruh anggotanya. Entah apa lagilah yang Fazrul mahukan daripada dia. Saat ini Liana Qasha hanya terbayang wajah Adrian. Mahukah Adrian menolongnya kalau Liana Qasha berterus terang?

"Hah! Kau ingat dan kenal suara aku rupanya! Bagus! Mesti kau tak pernah lupakan aku, kan?" soal Fazrul. Kemudian dia ketawa lagi.

"Mana Abang Fazrul tahu nombor telefon rumah ni?" soal Liana Qasha. Dia betul-betul hairan.

"Itu kau tak perlu tahu. Apa yang penting kau kena ikut cakap aku," gertak Fazrul. Dia tersengih di hujung talian. Atas bantuan Eva Natasha, Fazrul berjaya memperolehi nombor telefon rumah Adrian. Senang betul kerjanya.

"Abang Fazrul nak apa lagi?" soal Liana Qasha perlahan. Matanya meliar mencari kelibat Mak Cah. Risau pula kalau Mak Cah dengar segala perbualannya.

"Kau dah lupa ke dengan apa aku mintak kat kau? Aku nak duit!" jerkah Fazrul.

Sememangnya dia perlukan duit kala ini. Duit yang dia ada pun hampir habis. Kerjanya di kampung pun terbengkalai. Bujang dah berhari-hari menelefonnya supaya pulang. Dia boleh dikategorikan dalam bahaya kalau tak balik ke Kampung secepat mungkin dan meneruskan kerjanya seperti biasa. Mr.Peng ada orang-orangnya menjejaki Fazrul. Jadi, dia harus cepat!

"Qasha mana ada duit. Mana Qasha nak cari duit sebanyak 10 ribu ringgit tu?" soal Liana Qasha semula. Dia mengeluh kecil. Terlalu berat permintaan Fazrul.

"Apa yang kau susah sangat? Kau mintak ajelah kat lelaki kaya tu! Mesti dapat punya!" senang betul Fazrul memerintah.

"Maaflah, Abang Fazrul. Qasha tak boleh tolong abang. Bos Qasha takkan percaya kalau Qasha kata nak pinjam duit. Qasha sendiri berhutang dengan dia," balas Liana Qasha. Dia berharap sangat fazrul mengerti akan kesempitannya.

"Aku tak kira, Qasha. Aku nak kau sediakan duit yang aku mintak!" balas Fazrul dengan kasar.

"Abang Fazrul tolonglah faham situasi Qasha susah sekarang ni." Liana Qasha mula menangis. Liana Qasha tersentak apabila terdengar Fazrul menghentak sesuatu dengan kasar.

"Kau jangan degil Qasha. Aku tak nak tahu semua tu. Aku tak kira macam mana kau nak dapatkan duit 10 ribu ringgit tu! Apa yang aku tahu, kau kena sediakan. Aku akan telefon lagi nanti," ujar Fazrul. Ugutannya berjaya menakutkan Liana Qasha.

"Qasha tak boleh janji." Liana Qasha masih cuba membuatkan Fazrul faham.

"Argh! Ingat, Qasha. Kalau kau tak ikut cakap aku, kau akan menyesal seumur hidup. Ingat orang yang kat sekeliling kau, Qasha. Dia orang akan jadi mangsanya. Ingat tu!" ugut Fazrul sebelum meletakkan gagang telefon dengan kasar.

Liana Qasha terkedu seketika. Apa yang harus dia buat? Dia buntu sekarang. Perlukah dia meminta kepada Adrian? Pasti Adrian akan bertanya macam-macam. Minta kepada Mak Cah? Mak Cah ada tanggungan. Anaknya di asrama pasti perlukan banyak duit. Minta kepada Azhar dan Syakilla? Apalah sangat kalau pekerja operator pengeluaran macam mereka?

Liana Qasha mengeluh lagi. Perlahan-lahan dia duduk dan melipat kain yang tergendala. Tangannya sahaja yang bekerja. Otaknya masih berfikir bagaimana mahu dapatkan duit yang diminta oleh Fazrul.

Selesai melipat kain, Liana Qasha masuk ke bilik untuk menunaikan solat asar. Sekejap lagi tuan-tuan besar akan balik. Baik dia bersiap sedia awal. Selesai mengaminkan doa, Liana Qasha berteluku sebentar di atas sejadah. Dia merenung lambang Kaabah yang ada di atas kain sejadah.

Deringan telefon membuatkan jantungnya berdegup laju. Cepat-cepat dia ambil dan lihat siapa si pemanggil. Liana Qasha menarik nafas lega bila nama Syakilla yang tertera.

"Helo, Assalamualaikum Sya. Kau sihat ke? Macam mana keadaan kau? Lama aku tunggu berita kau tau," tanya Liana Qasha sebaik saja dia menekan butang hijau untuk bercakap dengan Syakilla.

Kedengaran Syakilla ketawa senang di hujung talian. Mendengar suara Syakilla yang ceria, Liana Qasha menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya Syakilla masih selamat.

" Waalaikummussalam. Amboi, tak menyempat aku nak jawab apa-apa," usik Syakilla di hujung talian.

Liana Qasha ketawa kecil. Dia masih menunggu kata-kata Syakilla seterusnya.

"Aku nak bagi tau kau berita baik ni."

"Apa dia?" soal Liana Qasha tak sabar.

"Mak tiri kau tu dah kena tangkap basah dengan lelaki yang selalu dia bergendut tu!"

"Macam mana boleh jadi?" soal Liana Qasha sambil menutup mulutnya.

"Mestilah menjadi kalau rancangan si Jahat. Puas hati aku dapat kenakan mak tiri kau tu! Cuma Fazrul aje kau kena hati-hati," balas Syakilla.

"Nak hati-hati apanya, Sya. Dia dah cari aku sampai ke rumah. Aku tak boleh lari mana. Bayangkan dia mintak aku duit sampai 10 ribu ringgit. Mana aku nak cari?" adu Liana Qasha. Air matanya kembali mengalir. Dia betul-betul buntu sangat. Dia tak tahu dengan jalan apa dia mesti bayar duit kepada Fazrul durjana itu.

"Kejamnya abang tiri kau! Kau dengar sini baik-baik, Qasha. Kau jangan bagi sesen pun kat dia! Walaupun dia ugut kau apa-apa. Dia cakap aje, Qasha. Dia takkan berani buat apa-apa. Negara kita ni ada undang-undang!" balas Syakilla.

"Tak, Sya. Kau tak kenal Fazrul. Dia boleh buat apa saja. Aku tak nak kau orang diapa-apakan. Aku tak nak orang yang dah banyak tolong aku dalam rumah ni terbabit sama." Liana Qasha menangis lagi.

Menambah gusar di hati Syakilla. Kalaulah dia boleh terbang sekarang, dia akan peluk Liana Qasha erat-erat.

Mak Cah menjenguk Liana Qasha di dalam bilik. Liana Qasha membuat isyarat tunggu. Mak Cah hanya tersenyum dan menutup semula pintu bilik Liana Qasha.

"okeylah, Sya. Aku rasa bos aku dah balik. Aku nak sediakan minum petang dia. Nanti kita berbual lagi. Bye, assalamualaikum," ucap Liana Qasha seraya menekan butang merah untuk menamatkan panggilan. Terkocoh-kocoh dia membuka dan melipat telekung dan terus keluar semula melakukan tugasnya.

Andai Itu TakdirkuWhere stories live. Discover now