Enjin kereta aku matikan selepas meletakkan kereta benar-benar dihadapan rumah Pakcik Lee. Dengan penuh kasih sayang, aku bersuara.
"Please, please, please. Tak mau buat perangai macam tadi lagi eh? Kita nak guna awak lama tau.. Nanti kita belanja minyak full tank nak? Takpun hujung minggu ni, kita pergi servis. Okay, sayang? Nak tak, nak tak?"
Ujarku sambil mengusap-usap dashboard. Kereta Wira aeroback itu sudah aku anggap pakwe yang aku usung ke sini sana. Cuma pakwe yang ini, aku boleh belai, usap, cium berkali-kali tanpa dipandang sinis masyarakat.
Mungkin kerana sudah lama tidak dimanjakan, kereta itu terhenti di tengah jalan sewaktu pulang dari menghantar Lily di Padang Jawa tadi. Mujur saja ada yang memberi bantuan.
Aku mengunci pintu kereta dan mengerling skrin telefon. Sudah melepasi jam 8 malam. Aku mula cuak, walaupun Aunty Effy bukan ibu kandungku, tapi aku masih dibawah jagaannya. Harap-harap dia tiada dirumah.
Skrin telefon tiba-tiba bercahaya. Nama Keith terpapar sebagai pemanggil. Tanpa lengah, aku terus menekan butang hijau.
"Haa. Nak mintak tolong apa pulak kali ni?" Tanyaku sebagai pengganti salam. Aku berbual sedikit dengannya sambil melangkah ke perkarangan rumah. Keith mengucapkan terima kasih ke atas lakonanku petang tadi. Abang Ammar betul-betul percaya. Ah, serba salah pula aku jadinya.
"Haihh. Lambatnya you balik hari ni."
Aunty Effy memandangku tajam. Aku kaget melihat dia sedang bersandar di tepi pintu seolah-olah menanti kehadiran aku. Agak kalut aku menyimpan telefon bimbit. "Kereta Yuu rosak tengah jalan tadi. Dah lama tak servis agaknya."
Aku berbasa-basi namun Aunty Effy sekadar memandangku kosong.
"Tell me, Yuu. Personally. What do you think of this house?"
Mukaku berkerut seribu. Aku kurang faham dengan soalannya. "Errm, besar. And banyak bilik, banyak kereta. Decoration pun lawa.. Ermm,"
Terasa bodoh dengan jawapan sendiri bila aku perasan Aunty Effy menggeleng kepala. "Ermm, maksud Aunty apa sebenarnya? Yuu blur sikit."
"Entah. I pun tak tahu apa yang I maksudkan. Mungkin maksud Aunty – is this house rumah perlindungan bagi Yuu atau just tempat persinggahan? I don't know. I just want to have a small talk with you. We never got the chance to have this – 'woman to woman' talk." Aunty Effy menjawap sambil mengarah aku duduk di sofa bersebelahannya.
Aku bingung. Tapi aku rasa seronok. Tak pernah Aunty Effy semesra ini denganku, ayatnya juga panjang. Sejak dulu lagi aku mengharapkan hubungan aku dan dia menjadi erat, kerana telah aku anggap dia seperti ibu kedua. Yang boleh aku luahkan masalah, berkongsi rasa dan macam-macam lagi. Ibarat Bonda Bonding.
Tapi, aku tahu Aunty Effy dan Alya kurang senang dengan kehadiranku disini.
"Yuu dah ada boyfriend?"
"Hah?! Boyfriend? All so sudden.. Ermm, takde. Sapalah nak minat dekat Yuu ni? Hahaha.." Aku tersengih membuang debaran di hati.
"Exactly! Sapalah nak minat dekat Yuu?" Ulang Aunty Effy, sinis sekali bunyinya. "What do people actually sees in you, sampaikan nak jadikan you their girlfriend, their wife.. A part of their family.."
Aku tak sedap hati. Suaranya kedengaran begitu serius. Tiada liuk lentuk dalam bicaranya. Sedar mukaku berubah riak, dia menambah.
"Well.. Datin Azlin is on her way here, dengan anak sulung dia. We will be having light meals outside tonight. Tapi.."
Bagaikan mata helang, Aunty Effy merenungku. Aku cuma mampu tersenyum kelat.
"Hari tu dia merisik Alya, hari ni pulak dia nak merisik Yuu."