Perlahan-lahan Nailufar turun katil. Tidak mahu pergerakannya mengganggu lena si adik. Pintu juga diselak lembut agar tidak mengejutkan isi rumah. Maklumlah pintu yang telah lama selalunya berkeriut bunyi engsel.
Selesai mengambil wuduk di bilik air, Nailufar masuk semula ke bilik. Sejadah dibentang menghadap kiblat seraya menyarung makenah. Lantas niat Solat Tahajud dilafaz sebelum mengangkat takbir.
Usai solat, dia berzikir lama sebelum menadah tangan. Berdoa dengan sesungguh hati. Kata Imam Syafie, doa di saat Tahajud umpama panah yang tepat mengenai sasaran. Dia yakin Tuhan Maha Mendengar rintihan hatinya. Apatah lagi selepas mengerjakan solat sunat Tahajud.
Demikian firman Allah dalam Surah Al-Isra, ayat 79. " Dan pada sebahagian malam hari, bersolat Tahajudlah kamu sebagai ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhan mengangkat kamu ke tempat terpuji."
Menurut hadis Riwayat Muslim, Rasulullah bersabda: " Di waktu malam terdapat satu saat di mana Allah akan mengkabulkan doa setiap malam."
Gara-gara lamaran yang dibawa oleh Haji Sufian, Nailufar jadi tak keruan. Ketenangannya bagai diragut tanpa amaran. Sejak pulangnya lelaki tua itu, dadanya seakan sukar bernafas. Nailufar mula mendiamkan diri. Makannya tidak kenyang, duduknya gelisah hingga menjejaskan lenanya.
" Lelaki tu berkenan sangat dengan Lofa. Sekali pandang anak kau terus dia tanyakan dekat aku. Bila tahu Lofa masih anak dara, dia terus suruh aku masuk meminang." Ujar Haji Sufian dengan senyum menyeringai di depan ayah dan dia ketika di ruang tamu.
" Aku ada bercerita fasal hutang kau dengan aku, dia bersetuju nak langsaikan hutang kau sekali gus. Asalkan kau terima pinangan dia." Tokok Haji Sufian. " Hamdan, dah lama sangat kau bersusah payah selama ni, lebih baik kau kahwinkan Lofa. Senang hidup kau nanti. Lagipun bukan dengan lelaki biasa. Orang kenamaan yang ada pangkat dato'. Anak kau bertuah tak macam anak aku, Si Sara tu! Aku sebenarnya cemburu dengan kau."
Nailufar lihat ayahnya mengeluh. Hati begitu bimbang jika ayah bertindak menerima pinangan tersebut dek termakan pujukan Haji Sufian. Sungguh Nailufar menyesal mengikuti adik-adiknya ke majlis perasmian balai raya minggu lalu. Mereka ke sana hanya mahu makan percuma. Tetapi tidak menyangka lelaki yang bergelar dato' itu terlihat kelibatnya dalam beratus-ratus orang. Lebih malang bila Haji Sufian gatal mulut bercerita tentangnya.
" Macam nilah, Pian. Aku tak boleh bagi keputusan sekarang. Biar aku bincang dulu dengan Lofa. Perkara ni perlukan masa untuk diputuskan."
Nailufar sedut nafas lega. Ayah memang seorang yang prihatin. Selalu mendahulukan kehendak anak-anak sebelum kehendak sendiri.
" Dah alang-alang Lofa ada sekali, kau tanyalah dia sekarang." Desak Haji Sufian seolah-olah tidak menyabar.
Pandangan mereka anak-beranak bersatu. Nailufar tidak memberi apa-apa reaksi. Sebaliknya berharap ayah mampu menilai dari sinar matanya. Kemudian ayahnya tala semula mata kepada Haji Sufian. " Bagi aku sikit masa dulu, Pian. Nanti bila ada keputusan aku beritahu kau."
Haji Sufian mengeluh. Lebih kepada merengus tidak puas hati. " Jangan lambat sangat. Bukan senang nak dapat lelaki yang boleh terima Lofa. Kau mesti faham maksud aku. Anak kau betul-betul bertuah. Sekarang dulang emas dah ada depan mata, tinggal Lofa lompat dalam tu. Rugi kalau terlepas. Sementara orang tengah sayang, minta apa saja tentu dibaginya."
Ayah dan dia hanya membisu. Nailufar tidak berkenan dengan bicara Haji Sufian. Seolah-olah dia dan ayah perlu mengejar lelaki yang berharta dan berpangkat itu. Sesungguhnya mereka sekeluarga tidak laparkan harta dunia tetapi harus mendapatkan harta dunia demi melunasi hutang yang tertunggak.
" Ya Allah, KAU lorongkanlah aku sebatang jalan yang mampu menyelamatkan aku dari kemelut ini. Aminnn ya rabbal alamin." Berkali-kali hatinya berdoa dengan renungan berkaca-kaca.
Sementara menunggu Subuh yang tiba tiga jam lagi, Nailufar mengerekot atas sejadah. Bibirnya terus berzikir hingga perlahan-lahan matanya terkatup dek rasa kantuk.

YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...