BAB 7

2.1K 20 0
                                    


Dia sukar lelap malam itu. Fikirannya terkenangkan setiap kejadian yang berlaku. Hari yang membawa satu titik perubahan dalam hidupnya. Hari yang penuh sejarah. Hari yang mustahil untuk dia lupakan selagi ingatannya bersatu dengan kewarasan.

Nailufar mengalihkan tubuh. Dia baring di atas rusuk kiri membelakangi Nafisah. Telapak tangan menyapa dada. Masih terkesan degup jantung yang terkejut. Pegun tubuhnya saat lelaki itu menyatakan sebuah hasrat.

"Pak cik, saya nak tawarkan diri menjadi suami Nailufar."

Terangkat wajah Nailufar saat itu. Terkejut. Matanya lekas melihat reaksi ayahnya yang turut terkedu.

"Kenapa tiba-tiba, Amru? Pak cik tak faham apa niat kamu sebenarnya?" soal ayahnya.

"Saya ingin lindungi maruah Nailufar."

"Hari tu kamu dah selamatkan maruah Nailufar, Amru. Pak cik yang terhutang budi dengan kamu."

"Selepas kejadian dekat kebun, ramai yang akan membuat pelbagai andaian tentang Nailufar. Dengan tuduhan Nabil yang tak berasas, maruah Nailufar pasti tercalar. Saya percaya orang kampung akan lebih percaya Nabil memandangkan dia anak ketua kampung. Saya orang luar mungkin tak terkesan tapi keluarga pak cik yang akan menanggung pandangan serong orang kampung."

Ayahnya menyepi. Nailufar tak menjangka masalah akan menjadi rumit selepas ini. Dia tak harap Amru mengahwininya demi menyelamatkan maruahnya. Namun Nailufar tidak sanggup ayahnya dipandang keji oleh penduduk kampung. Walaupun dia nyata benar tetapi dia tidak berdaya membetulkan tanggapan semua orang.

"Dengan menjadikan Nailufar isteri saya, dapat menutup aib yang akan datang."

"Pak cik tak boleh terima, Amru."

Berderau darahnya. Amru terkedu. Pinangannya ditolak? Dia teguk liur.

"Kenapa, pak cik? Nailufar dah jadi milik sesiapa ke?" soalnya dalam debaran kencang.

"Pak cik dah terhutang budi bila kamu selamatkan Nailufar. Besar pertolongan kamu, Amru. Entah bila pak cik mampu membalasnya. Sekarang kamu tawarkan diri untuk mengahwini Nailufar semata-mata nak selamatkan maruah kami sekeluarga. Pak cik tak boleh terima pengorbanan kamu."

"Mungkin sebab saya orang luar yang baru muncul, pak cik susah nak percayakan saya."

Hamdan menggeleng.

"Kamu jangan salah sangka, Amru. Tak mudah untuk pak cik lepaskan Nailufar ke tangan orang lain. Di mata pak cik, Nailufar sama dengan anak-anak yang lain. Dia sempurna dengan caranya tersendiri. Pak cik tak nak kamu menyesal dengan keputusan kamu hari ni. Amru baliklah dulu ke Kuala Lumpur. Fikir baik-baik. Bila kamu dah yakin, datanglah semula jumpa pak cik."

"Saya yakin, pak cik. Saya tak mungkin sia-siakan Nailufar. Saya akan lindungi dia sebelum saya lindungi nyawa sendiri." Amru jeda. "Saya tak mungkin patah balik ke sini tanpa saya fikir baik dan buruknya, pak cik," luahnya lebih jelas.

Jiwa gadisnya terusik. Nailufar tidak reti menilai kejujuran manusia. Tapi hatinya senang dengan kesungguhan Amru. Namun Nailufar percaya, ayahnya lebih pandai menilai peribadi seseorang.

Serba salah Hamdan hendak memberi kata putus. Amru nampak nekad. Terasa berat sekali mahu menolak. Dari mata seorang lelaki, Hamdan melihat Amru seperti dirinya yang bersungguh mahu menikahi Siti Hazlina, arwah isterinya. Dia juga pernah merasakan detik cemas berhadapan ayah kepada gadis yang ingin disuntingnya. Walaupun hakikatnya ayah Hazlina hanyalah ayah angkat. Berkat kesungguhan, pinangannya diterima. Mereka bahagia sepanjang sepuluh tahun bersama.

Makmum Yang Paling Aku CintaWhere stories live. Discover now