Mustafa menarik kerusi meja makan. Sambil duduk, dia menghela nafas berat. Melepaskan kepenatan setelah bekerja seharian.
Yuna menuang air ke dalam gelas suaminya.
"Banyak kerja dekat kilang tu, abang?"
"Biasalah, hari-hari benda yang sama. Cuma hari ni supplier lambat hantar tepung. Ada masalah transport katanya. Abang terpaksalah keluar mencari back-up supplier. Risau tak sempat siap oder untuk hantar ke kedai dan kantin sekolah."
"Tak apalah, masalah macam ni tak selalu timbul. Dalam sebulan Allah bagi kita bahagia dan selesa dalam posisi kita, sesekali ujian datang. Lagipun Allah tahu abang mampu handle masalah-masalah yang datang." Siap menyenduk nasi ke dalam pinggan, Yuna ke belakang suaminya. Tangannya mengurut bahu dan pangkal leher Mustafa.
Mustafa tarik sebelah tangan isterinya lalu memberikan sebuah kecupan. "Kalau penat hari-hari macam ni tapi ada tangan cantik yang rajin mengurut, terasa tenaga abang dicas semula macam bateri triple A."
Yuna tersenyum seraya menepuk lembut bahu suaminya.
"Abang cepatlah makan, nanti sejuk pula lauk."
Mustafa mula membaca doa makan tapi sebelum suapan pertama masuk ke mulut, matanya meliar ke sekeliling.
"Yuni dah tidur?"
"Dahlah. Dia tunggu abang dari pukul lapan tadi tapi abang pula lambat balik hari ni. Masuk pukul sembilan terus Yuni terlelap dekat ruang tamu." Sambil menjawab, Yuna menarik kerusi di sebelah kanan suaminya seraya duduk bersama.
"Tak apa, lepas makan nanti, abang jenguk dia sekejap."
"Hari ni abang ada jenguk Amru?"
Mustafa pandang isterinya sekilas sebelum angguk.
"Macam hari pertama kita melawat dia. Belum sedar lagi."
Yuna mengeluh halus.
"Kalau berterusan macam tu, kesian dengan Lofa. Yuna tak sampai hati nak berdiam diri. Sebagai isteri, dia perlu tahu."
"Abang pun serba salah tapi keadaan tak mengizinkan. Kita kena tunggu juga Amru sedar. Kalau Lofa dapat tahu, tentu dia nak datang ke sini jaga Amru. Habislah terbongkar status perkahwinan diaorang. Abang tak dapat bayangkan bila seluruh keluarga Amru dapat tahu. Mahu bencana baru jadinya."
"Tapi kita boleh ceritakan kedudukan sebenar dekat Lofa. Cakaplah Amru terpaksa rahsiakan sementara perkahwinan mereka daripada pengetahuan keluarga. Yuna pasti, Lofa boleh faham dan tunggu sampai Amru sedar."
Kepala Mustafa menggeleng perlahan.
"Tak semudah itu, sayang. Abang tak ada kuasa nak terangkan cerita sebenar. Abang risau tindakan kita menambahkan masalah. Mungkin sampai mengeruhkan hubungan Lofa dengan Amru. Dari permulaan, Amru dah menipu Pak Cik Hamdan. Jadi, lebih baik Amru yang bangkit dan terangkan kedudukan sebenar."
"Tapi sampai bila kita nak biarkan Lofa ternanti-nanti suaminya pulang? Amru tak pasti lagi bila akan bangkit. Tengok keadaan dia sekarang, rasanya makan bulan untuk dia sembuh. Takkan selama itu abang nak biar Lofa menanti? Yuna tak terbayang kalau Yuna berada dekat tempat Lofa. Penantian tanpa sebarang jawapan tu sakit, abang."
Mustafa mengeluh. "Kita tunggu untuk beberapa hari lagi. Ikut cakap doktor, Amru akan bangkit bila-bila masa. Luaran aje kita nampak teruk tapi dalam tubuh tak ada kecederaan parah."
"Tak parah abang cakap? Yuna tengok satu kepala dia berbalut. Tangan, kaki dan dada pun sama. Siap pakai penyokong leher. Sikit lagi dah macam mumia tau, abang. Itu bagi Yuna dah kategori teruk dan parah."

YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...