BAB 16

2.9K 18 0
                                    


Pagi esoknya setelah bersarapan di hotel, Amru membawa isterinya ke Bukit Bendera. Antara destinasi wajib dikunjungi bila sampai ke Penang. Mujur sewaktu mereka tiba, pengunjung belum ramai.

Nailufar jadi tidak sabar tatkala terpandang pengangkutan yang akan membawa mereka ke atas bukit. Pengalaman pertama dia menaiki kereta kabel. Terkilan rasa hati bila ayah dan adik-adiknya tidak bersama. Tentu semakin meriah suasana dengan gelagat Hanif dan Haziq.

Kepalanya terteleng ke kanan dan kiri setelah kereta kabel bergerak di atas landasan. Semakin Nailufar rasa teruja untuk sampai ke atas.

"Ketinggian kita sekarang dari paras laut lebih lapan ratus meter."

Demi mendengar maklumat suaminya, Nailufar lekas mencapai tangan Amru. Tiba-tiba dia seram dengan fakta itu. Ketinggian lapan ratus meter bukan boleh dibawa bergurau!

Amru tertawa. Lucu dengan tingkah isterinya. Dari riak teruja bertukar cemas.

"Sweetheart, abang bukan sengaja nak takutkan Lofa. Cuma maklumat tambahan. Lagipun abang belum pernah dengar berita orang mati naik cable car dekat Malaysia. Tapi kalau Lofa tetap takut, abang bagi pinjam lengan untuk Lofa berpaut selamanya."

Lantaran itu, Nailufar tetap memeluk lengan suaminya. Lebih tenang begitu. Sesekali dia mengintai suasana sekeliling. Sedang Amru pula gembira dengan perbuatan isterinya itu. Nailufar menjadikannya tempat berpaut bermaksud isterinya percaya dia mampu menjadi pelindung.

"Sorry, abang buat Lofa tak cukup tidur," tuturnya perlahan setelah beberapa kali perasan tangan isterinya asyik menahan kuap. Senyumannya berkelana di hujung bibir.

Nailufar terpisat-pisat sebelum memahami maksud suaminya. Jemarinya mengutil kulit lengan itu. Geram. Sempat lagi Amru mengusiknya. Dia harapkan suaminya mengaduh sakit tapi sebaliknya Amru tergelak suka. Lantas Nailufar tidak jadi marah. Hatinya kembang bahagia setiap kali mendengar tawa suaminya.

Sepuluh minit kemudian, mereka tiba di atas bukit. Amru membawa isterinya melawat muzium burung hantu, meninjau pemandangan sekeliling melalui teropong berbayar, bergambar di kawasan love padlock dan Astaka Bukit Bendera. Penat berjalan, mereka bersantai di David Brown's Restaurant & Tea Terrace. Restoran ala-ala English style.

Nailufar menghirup teh yang terhidang manakala Amru di sisi sedang mengunyah cream puff. Deringan telefon pintar suaminya menarik perhatian. Pertama kali telefon tersebut mengeluarkan bunyi sepanjang percutian mereka. Dia termangu bila Amru merengus setelah menatap skrin telefon pintarnya. Suaminya nampak terganggu dengan panggilan tersebut.

"One minute, sweetheart."

Amru bangun dari sebelahnya lalu bergerak ke tepi lereng yang berpagar. Nailufar melihat riak suaminya yang tegang dengan dahi berkerut-kerut. Rahang Amru ketat seolah-olah menahan amarah. Walaupun emosi itu tidak ditujukan kepadanya, Nailufar agak seram melihat air muka yang belum pernah Amru pamerkan di depannya.

Syukur, wajah Amru kembali tenang bila menghampirinya semula. Nailufar menyedut udara segar sekeliling. Dia sedang mengumpul kekuatan dalaman untuk bertanya. Sebaik saja suaminya duduk, tangan Amru disentuh lembut. Matanya menghulurkan renungan lembut. Kedua-dua belah keningnya terangkat sambil ekor mata melirik telefon bimbit suaminya. Bertanya dengan bahasa tubuhnya.

Amru balas genggaman isterinya. Hati jadi sejuk dengan kelembutan Nailufar. "Ada masalah kerja dekat KL. Sepatutnya masalah tu diaorang boleh handle tanpa abang. Tapi jadi rumit sebab klien cuma nak berurusan dengan abang. Hari ni kita terpaksa balik ke rumah ayah. Esok lepas subuh, abang terus bertolak ke KL. Pukul 10 pagi esok, abang ada meeting dengan klien."

Amru berjeda untuk menyedut nafas panjang sebelum mengeluh halus. Sebenarnya masalah kerja itu menuntut perhatian segera. Ikutkan, Amru sempat pulang ke KL pada hari ni juga untuk menyelesaikan semuanya. Namun hati keberatan meninggalkan isterinya mendadak. Untuk satu malam lagi Amru ingin bersama isterinya. Menikmati keindahan dan kemanisan hubungan yang terjalin antara mereka.

"Lofa tunggu abang dekat rumah ayah dulu. Lepas selesai semuanya, abang datang ambil Lofa balik ke rumah kita dekat KL, okey?" tambahnya lagi.

Nailufar terdiam tanpa respons. Terkilan mendengar berita itu. Berat hatinya mahu melepaskan segala kenangan yang sedang mereka bina. Lebih syahdu, terpaksa melepaskan suaminya pergi. Nailufar sendiri tidak mengerti perasaannya tiba-tiba dirundung sepi dan sayu.

"I'm sorry, sweetheart."

Bisikan itu menyedarkan Nailufar daripada terus tenggelam dalam rasa kecewa. Suaminya nampak terbeban dengan masalah yang baru timbul. Kepala menggeleng lembut dan bibir tersenyum. Sebelah tangannya mencapai telefon pintar Amru. Telunjuk melakar sesuatu di atas skrin gelap.

"Lofa nak cakap sesuatu?" tanya Amru lalu Nailufar mengiakan dalam bentuk anggukan. Lantas Amru mengeluarkan stylus pen yang terselit di tepi telefon pintarnya.

Abang tak salah apa-apa dengan Lofa, jangan minta maaf dengan Lofa.

Telunjuk Amru mengelus lekuk pipi isterinya. Dada berasa terbeban bila terpaksa meninggalkan buah hatinya esok. "Tak sepatutnya kerja abang mengganggu cuti kita. Abang dah rosakkan semuanya."

Nailufar laju menggeleng. Tangan kiri menyapa dadanya sekejap seraya tangan kanan menulis lagi.

Terima kasih sudi bawa Lofa ke sini. Walaupun cuma sekejap bulan madu kita tapi Lofa sangat bahagia.

"Sweetheart, abang tak cakap ini bulan madu kita. Next time abang bawa Lofa ke tempat lain. Jauh dari Malaysia. Sepanjang waktu honeymoon kita nanti, abang takkan on smartphone. Itu janji abang."

Terkedu Nailufar menanggapi janji suaminya. 'Next time? Honeymoon jauh dari Malaysia? Tentu perlukan duit yang banyak.' Bila melibatkan duit, Nailufar terus tak sedap hati. Terlalu banyak Amru berikan. Dia tak mahu mengambil kesempatan atas kesenangan suaminya. Walaupun Nailufar sedar dia punya hak dalam bahagian harta Amru melalui perkahwinan mereka.

Abang janganlah membazir sebab Lofa.

"Sebab Lofa tak pandai meminta, so abang kena selalu memberi. Jangan risau, sweetheart. Rasanya abang masih mampu bawa Lofa pusing sekeliling dunia. Itu pun kalau Lofa sudi temankan abang."

Lofa sudi. :)

Hati mendesak dan dia tak mampu menolak. Amru mengucup dahi isterinya. Lantas sebelah tangan memeluk bahu Nailufar sehingga kepala isterinya terlentok di bahunya. Untuk seumur hidup, dia tak pernah rasa begini. Bersama Nailufar, hatinya mampu mencapai kebahagiaan paling maksimum.

Namun Amru belum bersedia untuk berterus terang. Masih keliru mentafsirkan perasaan sendiri. Lagipun kisah antara mereka baru bermula. Kelak dia punya peluang untuk meluahkan rasa yang belum tersingkap.

"Kita balik, sayang."

'Sayang?' Hati Nailufar terkesan dengan panggilan itu. Benaknya dihimpit sebuah persoalan. 'Sungguhkah Amru sayangkan aku?'

Makmum Yang Paling Aku CintaWhere stories live. Discover now