BAB 13

2.9K 19 0
                                    


Amru mundar-mandir di dalam bilik. Kurang sabar menanti kedatangan isterinya. Ada beberapa perkara penting yang perlu dia ambil tahu. Selain itu, benaknya masih teringatkan perbualan ringkas bersama Nafisah di ampaian. Dia mencari sang isteri sampai ke belakang rumah tapi alih-alih isterinya sedang sibuk memanjakan Hemo-Hemo di beranda.

Amru tak mampu sembunyikan rasa iri hati terhadap perhatian yang Hemo-Hemo terima. Lebih-lebih lagi isterinya nampak bahagia bila bersama kucing berbanding dengannya. Amru tak rela kalah dengan seekor kucing. By hook or by crook, dia harus menarik perhatian Nailufar sepenuhnya.

"Nana ada nampak Kak Lofa?" Dia bertanya sewaktu melihat Nafisah sedang menyidai pakaian.

"Kak Lofa ada kat dalam rumah. Cuba abang tengok dekat ruang tamu. Rasanya akak dengan Hemo-Hemo sekarang."

"Okay Nana, thanks."

"Err... Abang Amru." Seruan Nafisah mencegah langkahnya yang mula berpaling.

"Ada apa-apa Nana nak cakap?" soalnya tatkala melihat riak adik iparnya seperti memendam sesuatu.

"Hrmm... Nana sebenarnya nak abang buat sesuatu."

"Apa dia?"

"Sembuhkan Kak Lofa."

Berkerut dahinya. "Maksud Nana?"

"Sebenarnya Kak Lofa ada harapan untuk sembuh. Maksud Nana, ada kemungkinan suatu hari nanti Kak Lofa boleh bercakap semula. Akak bukan bisu sejak lahir. Tapi akak memilih tak bersuara dari umur sepuluh tahun. Ayah pernah cerita, Kak Lofa trauma lepas arwah ibu meninggal. Kak Lofa satu-satunya saksi arwah ibu kena bunuh. Dan sejak kejadian tu, akak tak pernah buka mulut. Kak Lofa asyik menangis dan menangis. Dia tak nak makan, minum dan tak boleh tidur. Jadi ayah buat keputusan pindah duduk kampung. Sejak pindah, baru Kak Lofa mula tenang. Kami semua tak pasti akak masih ingat lagi kejadian arwah ibu atau Kak Lofa dah padamkan semuanya dari ingatan."

Amru nyata terkejut. Cerita yang disampaikan oleh Nafisah memberi gambaran jelas kejadian sebenar yang dia sendiri kabur. Amru memang tahu yang Nailufar bukan bisu semula jadi. Tapi dia tidak menjangka isterinya telah menyaksikan sebuah kejadian ngeri. Apatah lagi umur Nailufar masih terlalu muda untuk menghadapi peristiwa gerun dan dahsyat dengan mata kepala sendiri.

"Habis, kalau betul Kak Lofa boleh sembuh, kenapa ayah dan Nana tak cuba cari jalan?"

"Abang Amru tentu faham keadaan keluarga kami. Rawatan untuk Kak Lofa bukan sekali dua jumpa doktor boleh terus sembuh. Kak Lofa kena selalu jumpa pakar. Semua itu banyak perlukan duit. Ayah cuba berusaha supaya Kak Lofa dapat rawatan. Tapi ayah tiba-tiba disahkan sakit jantung. Sejak itu, kami hanya fokus dengan kesihatan ayah. Kak Lofa banyak buat kerja dekat kebun masa ayah sakit. Kak Lofa terpaksa berhenti belajar waktu STPM dan sara kami sekeluarga. Padahal keputusan SPM Kak Lofa sangat cemerlang sampai dapat tawaran universiti tapi akak tak nak pergi. Dia nak sambung STPM supaya lebih mudah dan dekat dengan kami. Dan bila ayah sakit, baru kami sedar Allah dah tentukan dengan sebaiknya."

Amru terdiam. Dia menghela nafas panjang. Dalam hati terdetik rasa syukur jika benar Nailufar bisa berkata-kata dan bersuara seperti mereka. Tentu isterinya tidak lagi sunyi di dalam dunia sendiri. Terasa berkobar-kobar semangatnya sebaik saja mendengar cerita Nafisah itu. Lantas Amru menyimpan tekad untuk memulihkan isterinya. Walaupun perlu mengorbankan segenap hartanya, dia rela demi sang isteri. Dia hanya ingin melihat senyuman bahagia menghiasi bibir merah dan manis itu. Dan Amru teringin mendengar suara manja isterinya tatkala bersamanya.

Ketukan di pintu menarik perhatian Amru. Berkerut dahinya bila ketukan berterusan. Mulanya dia jangkakan Nailufar tapi mana mungkin isterinya mengetuk pintu bilik sendiri. Barangkali Nana atau ayah mentuanya yang mengetuk. Lantas dia menapak ke pintu.

Makmum Yang Paling Aku CintaWhere stories live. Discover now