Walaupun esok hari bersejarah baginya, Amru masih termenung di kepala katil. Mata enggan lelap lantaran hati menghadapi pergolakan. Mindanya bingung. Bukan dia ingin menarik diri dari pentas perkahwinan. Sebaliknya mula merasakan dirinya tak layak menjejakinya.
"Aku tahu kau terkejut dan pelik, Mus. Tentu kau tak sangka aku akan pilih Nailufar," katanya tenang pada pagi Isnin sewaktu bersarapan bersama-sama di sebuah kafe. Jumaat lalu, Mustafa telah menyempurnakan sebahagian perancangannya. Nailufar kini menjadi tunangannya. Manakala Amru selesai menghadiri kursus perkahwinan Sabtu dan Ahad semalam. Begitu juga dengan Nailufar.
"Kalau kau bercakap tentang kekurangan Nailufar, aku langsung tak pelik. Ini soal hati, Amru. Bila kau dah sayang dan cinta, kekurangan bukan lagi halangan. Yang penting kemahuan hati untuk bersama."
Ya, tak dinafikan! Dia menerima bukan atas dasar simpati atau semata-mata melindungi maruah Nailufar. Hakikatnya hati lelakinya menuntut gadis itu dari mula. Selagi belum terikat, selagi itu jiwanya berkeluh-kesah. Batin Amru menjerit terseksa.
"Tapi menurut cerita Pak Cik Hamdan, kau berkahwin dengan Nailufar atas sebab murni. Katanya kau nak lindungi maruah mereka sekeluarga. So, aku agak keliru tujuan utama kau pilih Nailufar. Sama ada simpati atau kau jatuh sayang lebih dulu?"
"Pak Cik Hamdan cerita dekat kau?" Amru agak terkejut.
"Waktu tu cuma kami berdua dekat luar. Isteri dengan orang tua aku ada kat dalam rumah lagi. Aku sengaja tanya macam mana kau boleh berkenalan dengan Nailufar. Tak sangka dia bercerita jujur tanpa selindung. Betullah ada orang cuba usik Nailufar?"
"Yes. Aku selamatkan Nailufar tapi sebaliknya aku kena tuduh buat kerja tak senonoh. Untuk elakkan maruah Nailufar tercalar, aku tawarkan diri jadi suami dia. Mulanya Pak Cik Hamdan tak nak terima sebab dia rasa terhutang budi. Tapi bila difikir balik, aku sebenarnya yang terdesak nak dapatkan Nailufar." Amru tersenyum di hujung kata.
"Maksudnya, kau memang suka Nailufar sebelum kejadian tu?"
Amru sekadar angguk. Kalau tak suka, dia tak mungkin sebegini nekad.
Mustafa menarik sengih.
"Pandai kau ambil kesempatan, kan? Gunakan kejadian tu sebagai alasan untuk Pak Cik Hamdan terima kau."
"Aku memang pandai, Mus. Kau ingat lagi masa study dulu siapa yang tidur dan siapa bersengkang mata tengah malam dekat meja study?" Amru berlawak sambil jongket-jongket kening.
Mustafa julingkan mata ke atas. Menyampah. "Siapa pula yang kejut kau bangun pagi supaya tak terlepas exam?"
Amru tersengih.
"Anyway, thank you so much for everything. Aku ingat nak belanja walid dan umi kau pergi umrah."
"Wow, lumayan tu! Tapi lebih baik kau yang pergi dulu sebelum hantar orang lain ke sana. Lagipun kau tak pernah jejak kaki ke sana, kan?"
Amru hanya tersenyum kecil. Tak ada idea hendak membidas kata-kata Mustafa. Dia lebih daripada mampu untuk berulang-alik setiap bulan tapi keinginan untuk ke sana belum hadir. Paling penting, Amru rasa tak layak kerana dia hanya Muslim tanpa jiwa Muslim.
"Aku bersyukur kau pilih menjadi sebahagian daripada keluarga Pak Cik Hamdan."
"Maksud kau?"
"Pak Cik Hamdan kata dekat aku, dia percaya kau mampu lindungi Nailufar. Tapi aku ragu-ragu dengan keupayaan kau untuk lindungi anaknya."

YOU ARE READING
Makmum Yang Paling Aku Cinta
RomanceDalam Tahajud Nailufar merintih hiba. Sesungguhnya dia keliru menghadapi lamaran Dato' Syed Qassim. Seorang lelaki yang telah beristeri lebih dari seorang. Malah lelaki berumur itu sudi melunaskan hutang keluarganya dengan syarat dia menerima pinang...